omniture

Penganjur Qatar 2022 mengumumkan 30,000 bilik tambahan tersedia kepada para pengunjung Piala Dunia

Supreme Committee for Delivery & Legacy
2022-10-19 06:25

Negara ini berhasrat untuk menjadi destinasi hiburan yang tiada tandingan semasa kejohanan berlangsung 

DOHA, Qatar, 18 Oktober 2022 /PRNewswire/ -- Jualan tiket untuk Piala Dunia FIFA Qatar 2022™ kini menghampiri 3 juta menjelang edisi pertama kejohanan ini di rantau Timur Tengah dan Arab yang akan berlangsung di Stadium Al Bayt pada 20 November.

Supreme Committee for Delivery & Legacy (FIFA World Cup Qatar 2022™ One Month to Go Press Conference at the St. Regis Doha – 17 October, 2022).

Semasa sidang media di Doha, para penganjur mengumumkan bahawa 30,000 buah bilik tambahan telah disediakan kepada pengunjung Piala Dunia sebagai persediaan Qatar menganjurkan 64 perlawanan di lapan buah stadium yang canggih. Pelbagai jenis penginapan boleh didapati di Agensi Penginapan Qatar. Bilik-bilik boleh ditempah pada harga bermula daripada USD80 seorang untuk satu malam berdasarkan kadar penginapan dua orang sebilik. Pilihan penginapan yang disediakan merangkumi hotel, apartmen dan perkampungan peminat.

"Kami yakin bahawa Qatar akan menghasilkan edisi Piala Dunia FIFA yang terbaik. Dan jika anda meninjau ke seluruh negara pada hari ini, di stadium yang canggih, padang latihan, metro, infrastruktur keseluruhan, semuanya sudah bersedia dan semua orang dialu-alukan," kata Presiden FIFA, Gianni Infantino, dalam sebuah mesej video. "Seluruh dunia berasa teruja. Qatar sudah bersedia. Pentas sudah diatur. Kami akan berganding bahu untuk menghasilkan Piala Dunia terbaik dalam sejarah, di dalam dan di luar padang."

Penganjur mengatakan bahawa sebanyak 2.89 juta tiket telah habis dijual untuk 64 perlawanan yang akan diadakan di lapan buah stadium yang canggih. Permintaan paling tinggi datangnya daripada para peminat yang berada di Qatar, Amerika Syarikat, Arab Saudi, England, Mexico, Emiriyah Arab Bersatu, Argentina, Perancis, Brazil dan Jerman. Kejohanan kali ini juga mencapai rekod baharu dari segi penjualan tiket hospitaliti. Tiket untuk semua perlawanan akan terus dikeluarkan sekarang sehingga berakhirnya kejohanan ini dan para peminat digalakkan untuk menyemak tiket terkini di laman web FIFA.com/Tiket. Bermula pada minggu ini, para pemegang tiket akan menerima e-mel dengan maklumat tentang cara memuat turun aplikasi tiket dan mendapatkan tiket mudah alih mereka.

Penganjur kejohanan turut mengingatkan para peminat untuk memohon Kad Hayya yang wajib dimiliki dan menempah penginapan mereka secepat mungkin. Kad Hayya akan berfungsi sebagai permit kemasukan untuk para peminat antarabangsa. Ia juga akan menyediakan pengangkutan awam percuma di seluruh negara dan membenarkan akses ke stadium untuk para peminat yang mempunyai tiket perlawanan yang sah.

Penganjur turut menyenaraikan pelbagai pilihan hiburan yang disediakan untuk para pengunjung semasa kejohanan ini. Festival Peminat FIFA di Taman Al Bidda mampu menempatkan seramai 40,000 orang peminat setiap hari semasa kejohanan ini berlangsung. Kehadiran dan tontonan perlawanan langsung, artis jemputan terkenal global dan aktiviti bola sepak yang ditampilkan di sini adalah percuma. Terdapat juga pelbagai pilihan makanan dan minuman tempatan dan antarabangsa.

Selain itu, Corniche Activation yang diadakan sepanjang 6 km dari Sheraton Park ke Muzium Kesenian Islam akan menampilkan persembahan hiburan bergerak, kedai runcit serta gerai makanan dan minuman. Aktiviti-aktiviti lain merangkumi pertunjukan 'Welcome to Qatar' (Selamat Datang ke Qatar) setiap hari – iaitu pertunjukan air dan piroteknik yang akan menampilkan muzik daripada Runut Bunyi Rasmi Qatar 2022, komposer Qatar, Wael Binali, dan Orkestra Filharmonik Qatar.

Permainan di taman tema dan tarikan-tarikan lain di Al Maha Island Lusail juga akan dibuka kepada para peminat, begitu juga dengan Ras Abu Aboud 974 Beach Club, Hayya Fan Zone di Lusail South Promenade dan QetaiFAN Beach Fest. Peminat muzik tarian bakal berpusu-pusu memenuhi Arcadia Spectacular yang mempunyai kapasiti untuk 15,000 orang dan ARAVIA by MDL BEAST yang mempunyai kapasiti untuk 5,000 orang. Di samping itu, acara Last-Mile Cultural Activation akan menampilkan lebih 6,000 persembahan di 21 buah lokasi yang akan menghiburkan para peminat dalam perjalanan mereka ke stadium.

Jurutera Yasir Al Jamal, Ketua Pengarah Jawatankuasa Agung untuk Penyampaian & Warisan berkata: "Selepas lebih satu dekad bekerja keras dan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan di seluruh negara, Qatar bersedia untuk menjadi tuan rumah bagi edisi Piala Dunia FIFA yang tidak dapat dilupakan ini. Acara kejohanan kami yang padat ini bermakna para pengunjung tidak akan berada jauh daripada aksi kejohanan – mereka akan sentiasa berada dekat dengan stadium atau aktiviti hiburan. Kami tidak sabar untuk menganjurkan sebuah kejohanan yang akan kekal dalam ingatan para peminat dari seluruh dunia."

Nasser Al Khater, Ketua Pegawai Eksekutif FIFA World Cup Qatar 2022 LLC berkata: "Qatar bersedia untuk menjadi tuan rumah yang akan meraikan perlawanan yang indah ini. Kami tidak sabar untuk mengalu-alukan kedatangan para peminat dan pemain dari seluruh dunia yang akan menikmati sambutan penuh kemesraan kami, pelbagai pilihan hiburan dan pastinya, bola sepak antarabangsa terbaik. Kejohanan ini dijanjikan akan menjadi edisi Piala Dunia FIFA yang unik – dan akan meninggalkan kesan positif yang berkekalan kepada Qatar, negara-negara Timur Tengah dan dunia Arab." 

"Kami mengendalikan lebih 168 buah lokasi rasmi dengan bentuk semula jadi Qatar yang padat dan setiap lokasi ini penting untuk pelaksanaan dan penganjuran Piala Dunia yang berjaya. Selain ujian ke atas lapan buah stadium perlawanan, para sukarelawan dan pusat akreditasi kini beroperasi sepenuhnya dengan pusat jualan tiket di Pusat Pameran & Konvensyen Doha yang akan dibuka esok dan akan disusuli dengan pembukaan Pusat Penyiaran Antarabangsa dan Pusat Media Utama. Saya hanya ingin mengulangi keyakinan dan penghargaan FIFA yang mendalam terhadap segala persediaan yang dilakukan untuk menghasilkan Piala Dunia FIFA terbaik yang dilakukan hanya dalam masa sebulan lebih sahaja," kata Ketua Pegawai Operasi FIFA – Piala Dunia, Colin Smith.

Maklumat lanjut tentang destinasi para peminat kebudayaan dan hiburan tambahan di Qatar boleh didapati di https://www.qatar2022.qa/en/live-it-all-in-qatar.

Para peminat yang berminat untuk menghadiri Qatar 2022 perlu mengklik di sini untuk mendapatkan maklumat terkini tentang tiket, penginapan dan Kad Hayya. 

Untuk mendapatkan imej beresolusi tinggi dan kandungan media daripada wartawan, sila klik di sini.

Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1923076/Qatar_2022_One_Month_to_Go_Press_Conference__17_10_2022.jpg?p=medium600

Source: Supreme Committee for Delivery & Legacy
Keywords: Amusement Parks and Tourist Attractions Sporting Events Sports Travel New products/services