Kumpulan Perubatan Menggantikan Pernyataan Konsensus Lapuk yang Terlalu Mengehadkan Akses kepada Pembedahan Penurunan Berat Badan Masa Kini
NEWBERRY, Florida, 21 Oktober, 2022 /PRNewswire/ -- Dua pihak berkuasa terkemuka di dunia dalam bidang pembedahan bariatrik dan metabolik telah mengeluarkan garis panduan klinikal baharu berasaskan bukti yang merangkumi pelbagai cadangan yang memperluas kelayakan pesakit untuk menjalani pembedahan penurunan berat badan dan menyokong pembedahan metabolik pada pesakit yang menghidap diabetes jenis 2 yang mempunyai indeks jisim badan (BMI) bermula daripada 30, iaitu sejenis ukuran lemak badan berdasarkan ketinggian dan berat badan seseorang serta merupakan salah satu kriteria saringan yang penting untuk menjalani pembedahan.
Garis Panduan ASMB/IFSO tentang Indikasi untuk Pembedahan Metabolik dan Bariatrik – 2022 yang telah diterbitkan dalam talian pada hari ini di dalam jurnal Surgery for Obesity and Related Diseases (SOARD) dan Obesity Surgery, bertujuan untuk menggantikan pernyataan konsensus yang dibentuk oleh Institusi Kesihatan Negara (NIH) lebih 30 tahun yang lalu yang menetapkan piawaian bagi kebanyakan syarikat insurans dan doktor yang masih lagi bergantung padanya untuk membuat keputusan tentang siapa yang perlu menjalani pembedahan penurunan berat badan, jenis pembedahan apa yang perlu dijalani dan bila mereka perlu menjalaninya.
Persatuan Pembedahan Metabolik dan Bariatrik Amerika (ASMBS) ialah kumpulan pakar bedah bariatrik dan ahli profesional kesihatan bersepadu yang terbesar di Amerika Syarikat, manakala Persekutuan Antarabangsa untuk Pembedahan Obesiti dan Gangguan Metabolik (IFSO) mewakili 72 buah persatuan dan pertubuhan kebangsaan di seluruh dunia.
"Pernyataan Konsensus NIH 1991 mengenai Pembedahan Bariatrik merupakan panduan yang bernilai suatu ketika dahulu, namun selepas lebih tiga dekad dan beratus-ratus kajian berkualiti tinggi yang dijalankan, termasuk ujian klinikal rawak, ia tidak lagi mencerminkan amalan terbaik dan kurang relevan dengan prosedur dan populasi pesakit yang wujud pada zaman ini," kata Teresa LaMasters, MD, Presiden ASBES. "Sudah tiba masanya untuk mengubah pemikiran dan amalan perubatan demi kebajikan pesakit. Ia sudah sekian lama tertangguh."
Dalam pernyataan konsensus tahun 1991, pembedahan bariatrik adalah terhad kepada pesakit dengan BMI sekurang-kurangnya 40 atau yang mempunyai BMI 35 atau lebih dan sekurang-kurangnya mengalami satu keadaan berkaitan obesiti seperti hipertensi atau penyakit jantung. Tiada rujukan untuk pembedahan metabolik yang membabitkan pesakit diabetes atau rujukan untuk teknik dan prosedur laparoskopik yang baru muncul yang boleh dijadikan sokongan utama dan menjadikan pembedahan penurunan berat badan sebagai pembedahan yang selamat atau lebih selamat daripada pembedahan biasa termasuk pembedahan pundi hempedu, apendiktomi dan penggantian lutut. Pernyataan ini juga mengesyorkan agar pembedahan tidak dilakukan pada kanak-kanak dan remaja walaupun dengan BMI melebihi 40 kerana ia belum dikaji secukupnya.
Piawaian Pemilihan Pesakit Baharu -- Zaman Telah Berubah
Garis Panduan ASMB/IFSO kini mengesyorkan pembedahan metabolik dan bariatrik untuk individu yang mempunyai BMI 35 atau lebih "tanpa mengira kehadiran, ketiadaan atau tahap keterukan keadaan berkaitan obesiti" dan ia dipertimbangkan untuk individu yang mempunyai BMI 30 hingga 34.9 dengan penyakit metabolik serta untuk "kanak-kanak dan remaja yang dipilih dengan sewajarnya."
Namun walaupun tanpa penyakit metabolik, garis panduan mengatakan bahawa pembedahan penurunan berat badan perlu dipertimbangkan bermula daripada BMI 30 untuk mereka yang tidak mencapai penurunan berat badan yang ketara atau kekal atau mereka yang tidak mengalami penambahbaikan penyakit berkaitan obesiti setelah menggunakan kaedah bukan pembedahan. Disyorkan juga supaya definisi obesiti menggunakan ambang BMI standard yang diselaraskan mengikut populasi sementara individu dari Asia boleh mempertimbangkan pembedahan penurunan berat badan dengan BMI yang bermula daripada 27.5.
Tahap Keselamatan dan Keberkesanan yang Lebih Tinggi untuk Pembedahan Penurunan Berat Badan Masa Kini
Garis panduan baharu ini seterusnya menyatakan bahawa "pembedahan metabolik dan bariatrik pada masa ini merupakan rawatan berasaskan bukti yang paling berkesan untuk masalah obesiti pada kesemua kelas BMI" dan bahawa "kajian dengan susulan jangka panjang yang diterbitkan beberapa dekad selepas Pernyataan Konsensus NIH tahun 1991 telah menunjukkan secara konsisten bahawa pembedahan metabolik dan bariatrik memberikan hasil penurunan berat badan yang unggul berbanding rawatan bukan pembedahan."
Panduan ini juga menyatakan bahawa pelbagai kajian telah menunjukkan peningkatan yang signifikan pada penyakit metabolik dan kadar kematian berkurangan secara keseluruhan selepas pembedahan dan bahawa "operasi pembedahan lama telah digantikan dengan pembedahan yang lebih selamat dan berkesan." Dua prosedur laparoskopik, iaitu 'gastrectomy sleeve' dan Pintasan Gastrik Roux-en-Y (RYGB), kini menyumbang kepada kira-kira 90% daripada semua pembedahan yang dilaksanakan di seluruh dunia.
Secara kasar, kira-kira 1 hingga 2% daripada populasi pesakit di dunia yang layak, menjalani pembedahan penurunan berat badan dalam mana-mana tahun tertentu. Pakar mengatakan bahawa pernyataan konsensus yang terlalu ketat sejak tahun 1991 telah menyumbang kepada penggunaan terhad rawatan yang terbukti selamat dan berkesan. Di peringkat global, lebih 650 juta orang dewasa mempunyai masalah obesiti pada tahun 2016, iaitu kira-kira 13% daripada populasi golongan dewasa di seluruh dunia. CDC melaporkan lebih 42% rakyat Amerika mengalami obesiti, iaitu kadar tertinggi yang pernah dicapai di A.S.
"Garis Panduan ASMB/IFSO menyediakan tetapan semula yang penting yang melibatkan rawatan obesiti," kata Scott Shikora, MD, Presiden IFSO. "Syarikat insurans, penggubal dasar, penyedia khidmat penjagaan kesihatan dan pesakit perlu memberikan perhatian yang teliti serta berusaha untuk menghapuskan halangan dan pemikiran lapuk yang menghalang akses kepada salah satu operasi yang paling selamat, berkesan dan paling banyak dikaji dalam bidang perubatan."
Garis Panduan ALAS/IFSO merupakan panduan yang terkini dalam satu siri saranan baharu daripada kumpulan perubatan yang menyeru agar penggunaan pembedahan metabolik dapat diperluaskan. Pada tahun 2016, 45 persatuan profesional, termasuk Persatuan Diabetes Amerika (ADA), mengeluarkan satu pernyataan bersama bahawa pembedahan metabolik perlu dipertimbangkan untuk pesakit yang menghidap diabetes jenis 2 dengan BMI 30.0 hingga 34.9 sekiranya hiperglikemia tidak dapat dikawal secukupnya walaupun menerima rawatan optimum sama ada melalui ubat oral atau suntikan. Saranan ini turut disertakan dalam "Standards of Medical Care in Diabetes (Piawaian Penjagaan Perubatan Diabetes) - 2022 yang dikeluarkan oleh ADA."