omniture

Arab Saudi Akan Mengadakan Persidangan Sektor Perlombongan Global di Forum Mineral Masa Depan yang Kedua pada bulan Januari 2023

Future Minerals Forum
2022-10-26 11:47 168

Forum Mineral Masa Depan akan berlangsung dari 10 hingga 12 Januari 2023 di Riyadh dan ia dijangka bakal menarik lebih 9,000 orang peserta

RIYADH, Arab Saudi, 26 Oktober 2022 /PRNewswire/ -- Kementerian Perindustrian dan Sumber Mineral (MIM) Arab Saudi hari ini mengumumkan butiran awal tentang Forum Mineral Masa Depan (FMF) kedua yang akan berlangsung dari 10 hingga 12 Januari 2023 di Pusat Persidangan Antarabangsa Raja Abdulaziz di Riyadh.

FMF 2023 akan mengumpulkan para pemimpin industri perlombongan global, termasuk kerajaan dan eksekutif perniagaan dari seluruh dunia dan menyediakan sebuah platform untuk membincangkan potensi perlombongan masa depan di Afrika serta Asia Barat dan Asia Tengah.

Mengulas tentang acara tersebut, Menteri Perindustrian dan Sumber Mineral, Tuan Yang Terutama Bandar Ibrahim Alkhorayef berkata, "Forum Mineral Masa Depan ini merupakan acara yang unik bagi para pemimpin perlombongan global untuk bersidang, berbincang dan meneroka hab perlombongan baharu yang muncul dari Afrika hingga ke Asia Barat dan Asia Tengah. Dengan sumber mineral yang luas dan masih belum diterokai, kawasan ini merupakan peluang pelaburan yang signifikan bagi mereka yang mempunyai wawasan dan keupayaan untuk menyokong pembangunan ekonomi kitaran karbon global dan transformasi sektor tenaga."

FMF dijangka akan mengalu-alukan kedatangan lebih 9,000 orang peserta dan 170 orang penceramah antarabangsa terkemuka, termasuk para menteri, pemimpin pelaburan perlombongan dan ketua syarikat perlombongan utama dari lebih 100 buah negara. Pada 10 Januari, persidangan Meja Bulat Menteri akan dihadiri oleh wakil-wakil kerajaan peringkat atasan dan organisasi bukan kerajaan yang terlibat dalam sektor perlombongan.

Pada 11 dan 12 Januari, FMF akan menganjurkan pelbagai sesi pembentangan dan perbincangan tentang topik serantau dan antarabangsa yang berkaitan dengan sektor tersebut. Antara isu-isu yang termasuk dalam agenda ialah:

  • Pandangan global dan masa depan perlombongan di peringkat serantau dan di seluruh dunia
  • Peranan penting sektor tersebut dalam peralihan tenaga
  • Sumbangan aktiviti perlombongan terhadap pembangunan masyarakat
  • Peluang perlombongan di Arab Saudi dan kawasan yang lebih luas yang merangkumi Afrika hingga ke Asia Barat dan Asia Tengah.

Acara tersebut akan turut menawarkan peluang kepada para hadirin untuk meneroka bagaimana mereka boleh bekerjasama dengan lebih rapat untuk memaksimumkan manfaat perlombongan bagi menghasilkan pembangunan ekonomi yang mampan, pembangunan rantaian nilai, teknologi dan kelestarian yang bersepadu.

Edisi pertama FMF yang telah diadakan pada bulan Januari 2022 yang lalu telah dihadiri oleh wakil-wakil kerajaan, organisasi antarabangsa, syarikat perlombongan utama, institusi kewangan, ahli akademik dan penyelidik. Para peserta secara sebulat suara bersetuju tentang kepentingan rantau ini (Afrika, Asia Barat dan Asia Tengah) dalam memenuhi permintaan mineral global oleh kerana faktor geologinya yang unik dan rizab komoditi mineralnya yang banyak serta permintaan yang tinggi. Selain itu, para hadirin turut memuji Arab Saudi kerana keupayaan sektor perlombongannya dan bersetuju bahawa negara ini mempunyai ciri-ciri yang tepat untuk menjadi pusat kecemerlangan perlombongan yang mampu menerajui pembangunan industri merentasi rantau Afrika hingga ke Asia Barat dan Asia Tengah.

Logo: https://mma.prnasia.com/media2/1928831/Future_Minerals_Forum_Logo.jpg?p=medium600

 

 

Source: Future Minerals Forum
Keywords: Banking/Financial Service Environmental Products & Services Mining Mining/Metals Trade show news Future Events