MANAMA, Bahrain, 1 November 2022 /PRNewswire/ -- Agensi promosi pelaburan Bahrain, Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain (Bahrain EDB), mengumumkan penyertaannya dalam Festival Teknologi Kewangan Singapura (2-4 November) dengan matlamat untuk menyokong syarikat teknologi kewangan dan perkhidmatan kewangan menembusi pasaran MENA melalui Bahrain.
Semasa tiga suku tahun pertama 2022, Bahrain EDB telah membantu sembilan buah syarikat perkhidmatan kewangan untuk bermula dan juga berkembang di Bahrain yang menjana pelaburan langsung sebanyak USD72.7 juta (BHD27.5 juta). Pelaburan dalam perkhidmatan kewangan ini dijangka menghasilkan lebih 840 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Syarikat perkhidmatan kewangan yang berjaya ditarik oleh Bahrain EDB termasuk penyedia perkhidmatan rantaian blok global terkemuka iaitu Binance, syarikat Perbankan terbuka yang dikembangkan secara tempatan iaitu Spier Technologies dan ibu pejabat serantau baharu untuk Gulf Insurance Group (GIG).
Dalal Buhejji, Pengarah Eksekutif – Pembangunan Perniagaan Perkhidmatan Kewangan Bahrain EDB, berkata: "Kami gembira melihat semakin ramai pelabur memasuki sektor perkhidmatan kewangan Bahrain, mendapat manfaat daripada ekosistem yang kukuh dan tangkas yang dipimpin oleh badan kawal selia yang berwawasan. Perkhidmatan kewangan adalah sektor yang menjadi keutamaan kami dalam meningkatkan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan, selaras dengan objektif yang ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Bahrain."
Secara keseluruhan, Bahrain EDB telah berjaya menarik sejumlah USD921 juta (BHD348 juta) pelaburan langsung daripada 66 buah syarikat dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini. Pelaburan tersebut dijangka menghasilkan lebih 4,700 pekerjaan dalam tempoh tiga tahun akan datang dalam sektor utama, termasuk perkhidmatan kewangan, ICT, logistik, pembuatan dan pelancongan.
Sektor perkhidmatan kewangan Bahrain merupakan penyumbang terbesar kepada KDNK Negara tersebut selepas minyak dan merupakan sektor yang paling lama dan paling mantap di rantau ini. Hari ini sektor tersebut menyumbangkan lebih 17% KDNK Bahrain dan mempunyai lebih 13,600 pekerja dengan hampir 70% daripadanya terdiri daripada rakyat Bahrain.
Melalui Pelan Pemulihan Ekonomi ini, Bahrain menetapkan sasaran untuk meningkatkan sumbangan sektor perkhidmatan kewangan kepada KDNK sebanyak 20% menjelang tahun 2026. Strategi pembangunan sektor perkhidmatan kewangan memberi tumpuan kepada lima keutamaan penting: mewujudkan peluang pekerjaan, membangunkan pasaran modal, mengukuhkan undang-undang dan dasar kawal selia, mengembangkan sektor insurans serta membangunkan perkhidmatan kewangan dan teknologi kewangan.
Ketahui lebih lanjut tentang peluang pelaburan Bahrain dalam sektor perkhidmatan kewangan dan teknologi kewangan dengan bertemu pasukan Bahrain EDB di Festival Teknologi Kewangan Singapura – Dewan Antarabangsa 5, Reruai # 5J23.
Tentang Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain
Lembaga Pembangunan Ekonomi Bahrain atau Bahrain Economic Development Board (EDB) ialah sebuah agensi promosi pelaburan yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk menarik pelaburan ke Bahrain dan menyokong inisiatif yang menggalakkan persekitaran pelaburan.
EDB bekerjasama dengan kerajaan dan kedua-dua pelabur semasa serta bakal pelabur untuk memastikan bahawa persekitaran pelaburan Bahrain kelihatan menarik, untuk menyampaikan kekuatan utama negara serta untuk mengenal pasti peluang yang ada untuk pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan selanjutnya.
EDB memberi tumpuan kepada beberapa sektor ekonomi yang memanfaatkan kelebihan daya saing Bahrain dan menyediakan peluang pelaburan yang besar. Sektor-sektor ini merangkumi perkhidmatan kewangan, pembuatan, teknologi dan inovasi, pelancongan, pendidikan, penjagaan kesihatan, logistik dan pengangkutan.
Untuk maklumat lanjut tentang Bahrain EDB, sila layari www.bahrainedb.com