omniture

Tata Communications berhasrat untuk memperkasa 5 juta orang wanita menjelang tahun 2024

Tata Communications
2022-11-04 22:19 318

Melancarkan Fasa 2 projek 'School of Hope and Empowerment' melalui kerjasama dengan The Better India; Memperluas jangkauan ke Negeri Bihar dan Odisha 

MUMBAI, India, 4 November 2022 /PRNewswire/ -- Tata Communications, sebuah syarikat pendaya ekosistem digital global, hari ini melancarkan Fasa 2 projek 'School of Hope and Empowerment' (S.H.E) yang bertujuan untuk menyediakan pendidikan keusahawanan dan panduan profesional kepada 5 juta orang wanita menjelang tahun 2024 di seluruh negeri Bihar dan Odisha di India. Fasa 1 projek ini telah mendorong kaum wanita untuk melengkapkan siri pendidikan serta diperkasakan dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menubuh dan menguruskan perniagaan secara berdikari, sekali gus memastikan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua orang. 

"Fasa 1 projek School of Hope and Empowerment telah memajukan kesejahteraan kaum wanita di Jharkhand dan memperkasakan mereka untuk memainkan peranan yang penting dalam memajukan keluarga mereka dan seluruh komuniti," kata Aadesh Goyal, Ketua Pegawai Sumber Manusia Tata Communications. "Dalam Fasa 2, kami kini sedang meningkatkan projek ini sebanyak 10 kali ganda bagi membantu kaum wanita di Negeri Bihar dan Odisha di India. Melalui projek ini, kami memperluas akses kepada modul pembelajaran pemerkasaan diri, ekosistem sokongan tempatan dan komuniti mikro untuk merapatkan jurang pembangunan luar bandar dan jantina."

Fasa 1 projek ini yang dilancarkan pada Persidangan Dunia UNESCO 2021 telah mengatasi sasarannya dan memberi pendidikan keusahawanan kepada lebih 1 juta orang wanita di negeri Jharkhand dalam masa hanya 1 tahun, berbanding masa yang disasarkan selama 3 tahun. 

Wanita yang diperkasakan melalui projek ini melambangkan keberanian dan keyakinan untuk mengatasi halangan berstruktur termasuk stereotaip jantina, tanggungjawab isi rumah, kekangan kewangan dan tekanan sosial. Sebagai sebuah inisiatif komunikasi berimpak yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dengan pelbagai medium, projek ini direka melalui kerjasama antara Tata Communications dengan The Better India untuk membantu dan mendidik wanita dari kawasan luar bandar India. Seperti yang dilaporkan dalam Laporan Pembangunan Kelestarian 2022 Tata Communications, kelestarian dibina berdasarkan hasil ekonomi positif yang boleh dicapai apabila kita menguruskan aktiviti alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kita dengan berkesan serta dasar dan amalan yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG). Projek School of Hope and Empowerment sejajar dengan UN SDG nombor 5 (Kesaksamaan Jantina) dan nombor 8 (Pertumbuhan Ekonomi). Ia memperkasakan golongan belia dan komuniti luar bandar (terutamanya wanita) secara ekonomi dan sosial melalui latihan kemahiran hidup, keusahawanan dan vokasional yang meningkatkan akses kepada sumber, teknologi baharu dan perkhidmatan kewangan yang seterusnya membantu mereka menjadi penyumbang aktif kepada ekonomi.

Bagi meraikan dan mengiktiraf kejayaan fasa 1 projek ini, kedua-dua rakan kongsi telah melancarkan satu siri video pendidikan yang menampilkan usahawan wanita dalam dunia realiti dengan kisah-kisah mereka. Salah satu kisah tersebut ialah tentang Kalawati Kumari, seorang penduduk kampung Kurumdegi di daerah Simdega, Jharkhand.  Sebagai seorang penerima manfaat projek ini, beliau telah memperolehi geran perniagaan untuk menubuhkan sebuah kilang tepung yang kini beliau uruskan dengan menggunakan dana beliau sendiri. Beliau juga menjalin dan memupuk hubungan dengan para pelanggan serta mengendalikan kilang tepung tersebut. "Bengkel ini telah melatih tentang subjek seperti simpan kira akaun, mengurus perhubungan pelanggan, persekitaran kedai dan kepentingan untuk menabung," ujar Kalawati. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.tatacommunications.com

Tentang School of Hope and Empowerment (S.H.E.)

School of Hope and Empowerment ialah satu inisiatif komuniti yang dicipta bersama dan disokong oleh Tata Communications yang memanfaatkan teknologi mudah alih bagi melengkapkan ahli-ahli komuniti dengan pengetahuan, kemahiran dan alat yang diperlukan untuk terlibat dalam pilihan mata pencarian yang mampan. Ia merupakan inisiatif komunikasi berimpak yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, pelbagai saluran dengan pelbagai medium yang memanfaatkan kuasa perkongsian dan ketersambungan digital dalam menyampaikan pendidikan keusahawanan kepada golongan wanita dari kawasan terpencil. Melalui inisiatif ini, matlamat kami adalah untuk mewujudkan persekitaran yang membolehkan kaum wanita menjadi usahawan dan pemimpin tempatan melalui inspirasi, pendidikan dan bimbingan. Ia juga merangkumi contoh-contoh di mana pelaburan sektor swasta, organisasi berasaskan komuniti, NGO dan misi mata pencarian negeri bersatu untuk menyampaikan pendidikan tidak formal sambil memacu kemajuan SDG lain yang saling berkaitan (SDG 5 dan 8).

Tentang Tata Communications 

Sebagai sebahagian daripada Tata Group, Tata Communications (NSE: TATACOMM; BSE: 500483) ialah sebuah syarikat pendaya ekosistem digital global yang memperkasakan ekonomi digital dan sedang berkembang pesat pada hari ini di lebih 190 buah negara dan wilayah. Dengan kepimpinan melalui kepercayaan, ia mendayakan transformasi digital perusahaan di seluruh dunia melalui kolaborasi dan penyelesaian terhubung, kesalinghubungan utama dan generasi seterusnya, penyelesaian pengehosan awan serta keselamatan dan perkhidmatan media. 300 buah syarikat Fortune 500 merupakan pelanggannya dan syarikat ini menghubungkan perniagaan kepada 80% syarikat awan gergasi di dunia. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.tatacommunications.com 

Pernyataan berpandangan ke hadapan dan amaran 
Perkataan dan pernyataan tertentu dalam siaran ini berkenaan Tata Communications dan prospeknya serta pernyataan lain, termasuk yang berkaitan dengan jangkaan kedudukan kewangan Tata Communications, strategi perniagaan, pembangunan masa depan operasi Tata Communications dan ekonomi umum di India, merupakan pernyataan berpandangan ke hadapan. Pernyataan sedemikian melibatkan risiko yang diketahui dan tidak diketahui, ketidakpastian dan faktor-faktor lain termasuk kewangan, kawal selia dan alam sekitar, serta faktor yang berkaitan dengan pertumbuhan industri dan unjuran trend yang boleh menyebabkan keputusan, prestasi atau pencapaian sebenar Tata Communications atau hasil industri berbeza secara material daripada yang dinyatakan atau yang tersirat dalam pernyataan berpandangan ke hadapan ini. Faktor-faktor penting yang boleh menyebabkan keputusan, prestasi atau pencapaian sebenar berbeza secara material daripada pernyataan berpandangan ke hadapan ini antaranya termasuk kegagalan meningkatkan volum trafik pada rangkaian Tata Communications; kegagalan membangunkan produk dan perkhidmatan baharu yang memenuhi permintaan pelanggan dan menjana margin yang boleh diterima; kegagalan melengkapkan ujian komersial teknologi dan sistem maklumat baharu bagi menyokong produk dan perkhidmatan baharu termasuk perkhidmatan penghantaran suara; kegagalan menstabilkan atau mengurangkan kadar pemampatan harga pada perkhidmatan komunikasi syarikat yang tertentu; kegagalan menyepadukan pengambilalihan strategik dan perubahan dasar kerajaan atau peraturan di India, khususnya perubahan yang berkaitan dengan pentadbiran industri Tata Communications; dan secara amnya, suasana ekonomi, perniagaan dan kredit di India. Faktor tambahan yang boleh menyebabkan hasil, prestasi atau pencapaian sebenar berbeza secara material daripada pernyataan berpandangan ke hadapan ini yang kebanyakannya di luar kawalan Tata Communications termasuk, tetapi tidak terhad kepada faktor risiko yang dibincangkan dalam Laporan Tahunan Tata Communications Limited.  

Laporan Tahunan Tata Communications Limited boleh didapati di www.tatacommunications.com. Tata Communications tidak bertanggungjawab terhadap dan secara jelas menafikan sebarang tanggungjawab untuk mengemas kini atau meminda pernyataan berpandangan ke hadapan ini. 

© 2022 Tata Communications Ltd. Hak cipta terpelihara. 
TATA COMMUNICATIONS dan TATA merupakan tanda dagangan atau tanda dagangan berdaftar Tata Sons Private Limited di India dan di negara-negara tertentu.

Source: Tata Communications
Keywords: Computer/Electronics Education New products/services Women-related news