omniture

NDC Partnership Membantu Negara-negara Membangun Menyelaraskan Pembangunan Jangka Panjang Dengan Tindakan Iklim

NDC Partnership
2022-11-09 20:53 121

SHARM EL SHEIKH, Mesir, 9 November 2022 /PRNewswire/ -- Ketika para pemimpin global berkumpul di Sharm El Sheikh minggu ini untuk acara COP27, negara-negara membangun memperbaharui seruan mereka untuk mewujudkan laluan pembangunan lestari bagi menggerakkan tindakan iklim yang mendesak.

Demi menggalakkan tindakan segera, NDC Partnership hari ini telah melancarkan Thematic Call untuk membantu ahli-ahli dari kalangan negara membangun melalui dua tindakan yang saling berkaitan: menyedia, mengemas kini dan menambah baik Strategi Pembangunan Pelepasan Rendah Jangka Panjang (LT-LEDS) serta meningkatkan kualiti dan matlamat Sumbangan Nasional Ditentukan (NDC) negara mereka.

LT-LEDS merupakan instrumen dasar yang berkuasa untuk negara-negara mengenal pasti dan mengutamakan perubahan sistemik serta menyediakan peluang kepada negara-negara untuk membangunkan strategi jangka panjang yang kukuh yang dihubungkan kepada proses NDC dan mengaitkan pembangunan ekonomi dengan tindakan iklim.

Bagi melaksanakan peralihan ini, negara-negara perlu mengenal pasti keperluan kewangan, memahami dan menilai implikasi dasar serta pembaharuan yang berkaitan dan membangunkan rangka kerja yang membolehkan pelaburan digerakkan. Sebagai tindak balas kepada keperluan khusus negara-negara tersebut, NDC Partnership akan menawarkan bantuan yang menyeluruh dan disesuaikan dengan matlamat untuk menyediakan hala tuju dasar jangka panjang yang jelas dan direka untuk memacu pembangunan lestari.

NDC Partnership kini sedang melaksanakan pendekatan menyeluruh ini melalui kerjasama dengan UNFCCC secara percubaan dengan tiga buah negara iaitu Jordan, St. Vincent dan Kemboja untuk membantu membangunkan LT-LEDS mereka yang sejajar dengan NDC dan memberi penekanan terhadap Rangka Kerja Ketelusan.

Menteri Alam Sekitar Jordan, Tuan Yang Terutama Dr. Al-Kharabsheh Saleh berkata: "Kami teruja kerana menjadi sebahagian daripada projek bersama NDC Partnership-UNFCCC dalam LT-LEDS dan Thematic Call NDC. Kami tidak sabar untuk mempercepat tindakan iklim dengan menonjolkan kaitan antara komitmen kami terhadap ketelusan dengan pelaksanaan NDC dan rancangan jangka panjang kami terhadap pembangunan lestari."

Pengarah Global NDC Partnership, Pablo Vieira mengulas: "Melalui Thematic Call kami, NDC Partnership mengalu-alukan permohonan daripada negara-negara membangun untuk membantu membangunkan LT-LEDS. LT-LEDS merupakan mekanisme dasar yang berkuasa untuk menghubungkan pembangunan negara-negara pada masa akan datang dengan berkesan kepada iklim, membimbing pembangunan negara ke arah daya tahan dan pelepasan sifar bersih karbon menjelang atau sekitar tahun 2050. Negara-negara ini telah menunjukkan peningkatan yang penting dalam matlamat dan komitmen mereka terhadap tindakan iklim melalui NDC mereka yang terkini. Dengan menyelaraskan NDC mereka kepada strategi jangka panjang, negara-negara ini boleh menyepadukan tindakan iklim ke dalam dasar mereka bagi mewujudkan rangka kerja untuk menarik dan menggerakkan kewangan iklim yang penting."

Untuk maklumat lanjut dan siaran akhbar yang lengkap, sila dapatkan di sini: https://ndcpartnership.org/lt-leds-and-ndc-alignment-update-and-enhancement.

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1687000/NDC_Partnership_Logo.jpg?p=medium600

 

 

Source: NDC Partnership
Keywords: Banking/Financial Service Computer/Electronics Environmental Products & Services Environmental Issues New products/services