omniture

Ujian Omicron COVID-19 Fasa 3 Novavax Menyokong Penggunaan Vaksin Prototaip Novavax yang Berterusan dan Akan Datang Sebagai Dos Penggalak

Novavax, Inc.
2022-11-10 00:10 216
  • Calon vaksin BA.1 Novavax mencapai titik akhir perubahan strain utamanya yang membolehkan pembangunan vaksin varian, sekiranya perlu
  • Vaksin prototaip Novavax mencetuskan tindak balas imun yang luas terhadap strain asal Wuhan, BA.1 dan BA.5
  • Ujian ini menunjukkan tiada manfaat untuk vaksin bivalen yang menggunakan teknologi adjuvan/protein rekombinan Novavax 

GAITHERSBURG, Maryland, 10 November 2022 /PRNewswire/ -- Novavax, Inc. (Nasdaq: NVAX), sebuah syarikat bioteknologi yang dikhususkan untuk membangun dan mengkomersialkan vaksin generasi seterusnya untuk penyakit berjangkit yang serius, hari ini mengumumkan keputusan barisan teratas daripada Ujian Dos Penggalak Fasa 3 untuk Vaksin Varian rS SARS-CoV-2 (COVID-19) yang menunjukkan bahawa calon vaksin BA.1 (NVX-CoV2515) daripada Syarikat ini telah mencapai titik akhir perubahan strain utamanya. Data ini menunjukkan bahawa tindak balas peneutralan calon vaksin BA.1 pada kumpulan yang tidak pernah terdedah kepada COVID-19 sebelum ini adalah lebih besar berbanding kumpulan vaksin prototaip (NVX-CoV2373), sekali gus membolehkan perubahan kepada vaksin varian baharu, sekiranya perlu (lihat carta 1).

Selain itu, data ini turut menunjukkan tiada manfaat untuk calon vaksin bivalen Novavax berbanding calon vaksin BA.1 atau vaksin prototaip dalam keseluruhan populasi ujian. Tindak balas antibodi imunoglobulin G (IgG) terhadap strain BA.1 dan prototaip menunjukkan tindak balas yang sama dalam tiga kumpulan vaksin (prototaip [n=273], calon vaksin BA.1 [n=279] dan bivalen – prototaip + calon vaksin BA.1 [n=277]).* Yang paling penting, bagi strain BA.5 (yang strukturnya serupa dengan BA.1), tindak balas peneutralan pseudo menunjukkan bahawa tiada manfaat untuk calon vaksin BA.1 atau bivalen berbanding vaksin prototaip.**

Secara keseluruhan, data ini menunjukkan bahawa vaksin prototaip mencetuskan tindak balas imun yang luas terhadap strain asal prototaip, BA.1 dan BA.5. Vaksin prototaip ini mencetuskan tindak balas IgG yang kuat terhadap strain BA.1 dan strain prototaip yang sepadan.* Tindak balas peneutralan pseudo terhadap BA.5 untuk vaksin prototaip ini adalah setanding dengan yang dicetuskan oleh calon vaksin BA.1 dan vaksin bivalen yang hampir sepadan.*

"Keputusan yang diperoleh pada hari ini menunjukkan bahawa penggunaan vaksin prototaip kami sebagai dos penggalak mencetus tindak balas silang terhadap pelbagai varian yang meluas serta berpotensi untuk melindungi daripada strain yang akan datang. Ini merupakan keistimewaan teknologi vaksin kami dan menunjukkan bahawa vaksin prototaip semasa kami sesuai sebagai dos penggalak walaupun landskap COVID-19 terus berkembang," kata Gregory M. Glenn, M.D., Presiden Penyelidikan dan Pembangunan Novavax. "Vaksin kami yang memberikan tindak balas imun yang luas walaupun berhadapan dengan varian yang semakin berkembang, menawarkan strategi yang berpotensi untuk memberi perlindungan terhadap COVID-19 pada masa kini dan masa hadapan."

Apabila diberikan sebagai dos penggalak kedua (dos keempat), ketiga-tiga formulasi vaksin ini juga dapat ditoleransi dengan baik yang selaras dengan profil keselamatan vaksin prototaip yang mantap. Simptom setempat yang paling biasa berlaku akibat pengambilan dos penggalak ini ialah kesakitan/nyeri (BA.1 69%, prototaip 71%, bivalen 65%). Simptom sistemik yang paling biasa berlaku kesan dari pengambilannya ialah keletihan dan kelesuan (BA.1 45%, prototaip 41%, bivalen 45%), sakit kepala (BA.1 38%, prototaip 35%, bivalen 36%), sakit otot (BA.1 25%, prototaip 24%, bivalen 24%) dan sakit sendi (BA.1 10%, prototaip 11%, bivalen 6%), dengan kebanyakan tindak balas adalah ringan atau sederhana.

Carta 1: Nisbah Min Geometri bagi Kumpulan Kajian Tindak Balas Peneutralan jenis liar BA.1 (Hari ke-14) pada Peserta yang Tidak Pernah Dijangkiti sebelum ini 


Perbandingan Kumpulan

Antibodi peneutralan BA.1

Vaksin BA.1 berbanding
vaksin prototaip

Vaksin bivalen berbanding
vaksin prototaip

Vaksin bivalen berbanding
vaksin BA.1

Nisbah Min Geometri (GMR)

1.6

1.2

0.7

GMR 95% Selang Keyakinan

1.31, 2.03

0.94, 1.44

0.57, 0.89

*Tindak balas IgG tidak signifikan dari segi statistik.
**Analisis sesuai untuk tujuan disahkan dengan asai yang sah.

Tentang Ujian Fasa 3 Omicron
Ujian Fasa 3 Omicron Novavax ialah sebuah ujian rawak yang mempunyai dua bahagian dan pemerhati dibutakan untuk menilai calon vaksin subvarian Omicron. Calon vaksin NVX-CoV2515 (BA.1) dan bivalen (NVX-CoV2373 + subvarian Omicron NVX-CoV2515) telah dibandingkan dengan NVX-CoV2373 pada golongan dewasa yang berumur 18 hingga 64 tahun yang sebelum ini telah divaksin dengan tiga dos vaksin mRNA. Semua formulasi termasuk adjuvan Matrix-M™ adalah untuk meningkatkan dan memperluas tindak balas imun. Ujian ini menilai tindak balas imun dan reaktogenik terhadap ketiga-tiga formulasi tersebut. Titik akhir utama ujian ini merangkumi ukuran tindak balas imun, manakala titik akhir sekundernya merangkumi ukuran tambahan terhadap tindak balas imun dan langkah-langkah keselamatan. Ujian ini dirancang bakal mendaftarkan 2,090 orang dewasa yang berumur dari 18 hingga 64 tahun di 19 buah tapak di Australia.

Tentang NVX-CoV2373
NVX-CoV2373 ialah vaksin berasaskan protein yang direkayasa daripada jujukan genetik strain pertama SARS-CoV-2 iaitu virus yang menyebabkan penyakit COVID-19. Vaksin ini telah dicipta menggunakan teknologi nanopartikel rekombinan Novavax untuk menghasilkan antigen yang diperoleh daripada protein pepaku koronavirus dan diformulasikan dengan adjuvan Matrix-M™ berasaskan saponin Novavax yang dipatenkan untuk meningkatkan tindak balas imun dan merangsang antibodi peneutralan bertahap tinggi. NVX-CoV2373 mengandungi antigen protein tulen yang tidak boleh direplika serta tidak menyebabkan penyakit COVID-19.

Vaksin ini dibungkus sebagai satu formulasi cecair sedia guna ke dalam bebuli yang mengandungi sepuluh dos. Regimen pemvaksinan ini memerlukan dua dos 0.5 ml (5 mcg antigen dan 50 mcg adjuvan Matrix-M) yang diberikan secara intraotot dalam selang masa 21 hari. Vaksin ini disimpan pada suhu 2° hingga 8° Celsius yang membolehkan penggunaan saluran rantaian bekalan vaksin dan rantaian sejuk yang sedia ada. Penggunaan vaksin ini hendaklah mematuhi saranan rasmi. 

Novavax telah menjalin kerjasama untuk pembuatan, pengkomersialan dan pengedaran vaksin ini di seluruh dunia. Kebenaran sedia ada memanfaatkan kerjasama pembuatan Novavax dengan Serum Institute of India iaitu pengeluar vaksin terbesar di dunia berdasarkan jumlah pengeluaran. Ia kemudiannya akan ditambah dengan data daripada tapak pembuatan tambahan di seluruh rantaian bekalan global Novavax.

Tentang Adjuvan Matrix-M™
Adjuvan Matrix-M berasaskan saponin Novavax yang dipatenkan ini telah menunjukkan kesan yang kuat dan dapat ditoleransi dengan merangsang kemasukan sel penyaji antigen ke dalam tempat suntikan dan meningkatkan penyajian antigen di nodus limfa setempat yang dapat menggalakkan tindak balas imun.

Tentang Novavax
Novavax, Inc. (Nasdaq: NVAX) ialah sebuah syarikat bioteknologi yang mempromosikan kesihatan yang lebih baik di seluruh dunia melalui penerokaan, pembangunan dan pengkomersialan vaksin inovatif untuk mencegah penyakit berjangkit yang serius. Platform teknologi rekombinan proprietari syarikat ini memanfaatkan kuasa dan kepantasan kejuruteraan genetik untuk menghasilkan nanopartikel imunogen tinggi dengan cekap yang direka untuk menangani keperluan kesihatan global yang mendesak. Vaksin COVID-19 Novavax telah mendapat kebenaran daripada pelbagai pihak berkuasa kawal selia di seluruh dunia termasuk Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan A.S, Suruhanjaya Eropah dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Vaksin ini kini sedang dinilai oleh pelbagai agensi kawal selia di seluruh dunia, termasuklah untuk petunjuk dan populasi tambahan seperti golongan remaja serta sebagai dos penggalak. Selain vaksin COVID-19 ini, Novavax juga sedang menilai calon vaksin Gabungan Influenza dengan COVID-19 (CIC) dalam sebuah ujian klinikal Fasa 1/2, iaitu calon vaksin percubaan influenza kuadrivalen miliknya dan vaksin berasaskan strain Omicron (NVX-CoV2515) serta vaksin berasaskan strain asal / berasaskan Omicron berformat bivalen. Calon-calon vaksin ini menggabungkan adjuvan Matrix-M berasaskan saponin proprietari Novavax untuk meningkatkan tindak balas imun dan merangsang tahap antibodi peneutralan yang tinggi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.novavax.com dan berhubung dengan kami di LinkedIn.

Pernyataan Berpandangan ke Hadapan
Pernyataan-pernyataan di sini berkaitan dengan masa depan Novavax, rancangan dan prospek operasinya,  waktu keputusan ujian klinikalnya, pembangunan berterusan bagi NVX-CoV2373, termasuk NVX-CoV2515 dan vaksin berasaskan strain asal / Omicron bivalen, calon vaksin percubaan CIC, skop, masa serta hasil keputusan pemfailan dan tindakan kawal selia pada masa hadapan, termasuk  rancangan Novavax untuk menambah kebenaran sedia ada dengan data daripada tapak pembuatan tambahan dalam rantaian bekalan global Novavax, kebenaran tambahan di seluruh dunia bagi NVX-CoV2373 untuk kegunaan pada golongan dewasa dan remaja, serta sebagai dos penggalak, potensi impak dan jangkauan Novavax dan NVX-CoV2373 dalam menangani akses vaksin, mengawal pandemik dan melindungi populasi, keberkesanan, keselamatan serta penggunaan dan pengambilan yang diharapkan bagi NVX-CoV2373 merupakan pernyataan berpandangan ke hadapan. Novavax memberi amaran bahawa pernyataan berpandangan ke hadapan ini tertakluk kepada pelbagai risiko dan ketidakpastian yang boleh menyebabkan keputusan sebenar berbeza secara material daripada yang dinyatakan atau tersirat dalam pernyataan tersebut. Risiko dan ketidakpastian ini merangkumi, dan tidak terbatas kepada, cabaran yang memuaskan, secara bersendirian atau bersama-sama dengan rakan kongsi, pelbagai keperluan keselamatan, keberkesanan, dan pencirian produk, termasuk yang berkaitan dengan kelayakan proses dan pengesahan asai, yang diperlukan untuk memenuhi kehendak pihak berkuasa kawal selia yang berkenaan; cabaran atau kelewatan yang tidak dijangka dalam menjalankan ujian klinikal; kesukaran mendapatkan bahan mentah dan bekalan yang sukar didapati; kekangan sumber, termasuk modal insan dan kapasiti pembuatan, kemampuan Novavax untuk meneruskan laluan peraturan yang dirancang; cabaran untuk memenuhi keperluan kontrak di bawah perjanjian dengan pelbagai entiti komersial, kerajaan, dan lain-lain; serta faktor risiko lain yang dikenal pasti dalam bahagian "Faktor Risiko" dan "Perbincangan dan Analisis Pengurusan Bagi Keadaan Kewangan dan Keputusan Operasi" Laporan Tahunan Novavax pada Borang 10-K untuk tahun tersebut yang berakhir pada 31 Disember 2021 dan Laporan Suku Tahunan seterusnya pada Borang 10-Q, seperti yang difailkan dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC). Kami mengingatkan para pelabur untuk tidak terlalu bergantung pada pernyataan berpandangan ke hadapan yang terdapat dalam siaran akhbar ini. Anda digalakkan membaca pemfailan kami dengan SEC, yang boleh didapati di www.sec.gov dan www.novavax.com untuk melihat perbincangan tentang perkara ini serta risiko dan ketidakpastian yang lain. Pernyataan yang berpandangan ke hadapan dalam siaran akhbar ini adalah tepat hanya pada tarikh dokumen ini dan kami tidak bertanggungjawab untuk mengemas kini atau menyemak semula mana-mana pernyataan tersebut. Perniagaan kami tertakluk kepada risiko dan ketidakpastian yang tinggi termasuk yang dirujuk di atas. Para pelabur, pelabur yang berpotensi dan lain-lain perlu mempertimbangkan dengan teliti tentang risiko dan ketidakpastian ini. 

Hubungan:
Pelabur
Erika Schultz | 240-268-2022
ir@novavax.com

Media
Ali Chartan atau Giovanna Chandler | 202-709-5563
media@novavax.com

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1506866/Novavax_High_Res_Logo.jpg?p=medium600

 

 

Source: Novavax, Inc.
Related Stocks:
NASDAQ:NVAX
Keywords: Biotechnology Health Care/Hospital Infectious Disease Control Medical/Pharmaceuticals Pharmaceuticals Clinical Trials/Medical Discoveries