omniture

YC dan Segmed yang disokong oleh Alchemist Mendapat Pusingan Pembiayaan $5.2M dan Melancarkan Platform Pengimejan Dunia Sebenar Perubatan

Segmed
2022-11-17 00:22 441

PALO ALTO, California, 17 November 2022 /PRNewswire/ -- Segmed - sebuah platform pengimejan dunia nyata berasaskan awan yang mempercepat inovasi penjagaan kesihatan dengan memudahkan akses kepada data perubatan - mengumumkan penutupan pusingan pembiayaan permulaan bernilai $5.2 juta yang diketuai oleh Nina Capital, dengan penyertaan daripada iGan Partners, M3 Inc, Mighty Capital, Expeditions Fund dan Alchemist Accelerator, menjadikan jumlah dana terkumpul melebihi $10 juta. Syarikat ini juga melaporkan pelancaran Segmed Insight.

Segmed Insights telah dibina dengan matlamat untuk memberikan set data pengimejan perubatan dunia nyata yang berkualiti tinggi kepada para klinisian, penyelidik dan pembangun; terutamanya bagi mereka yang ingin melatih atau mengesahkan algoritma AI mereka.

Para penyelidik perubatan dan pembangun AI yang menggunakan Segmed Insight boleh menjalankan carian, melihat kajian dan laporan yang sepadan dengan kriteria carian mereka serta membina set data khusus berdasarkan parameter mereka. Selepas membuat pesanan, pengguna akan terus menerima data dalam masa beberapa hari sahaja - satu proses yang mengambil masa bertahun-tahun sebelum wujudnya Segmed.

Dengan menjalin kerjasama bersama sistem penjagaan kesihatan, hospital dan klinik pengimejan di lebih 1,000 buah lokasi di 5 benua, Segmed telah mempermudahkan hal-hal berkaitan dengan data perubatan agregat yang pelbagai.

Privasi pesakit dan pengawasan data kekal menjadi keutamaan Segmed. Syarikat ini mengekalkan pematuhan HIPAA/GDPR yang ketat, memperoleh pengesahan SOC2 pada tahun ini dan hanya berkongsi data yang tidak mempunyai identiti langsung, sekali gus memastikan tiada maklumat peribadi yang terdedah.

"Industri penjagaan kesihatan kini semakin menerima pakai kaedah kecerdasan buatan, namun halangan yang dihadapi dalam pembangunan algoritma yang tidak berat sebelah dan berprestasi tinggi ialah pengambilalihan pelbagai data berkualiti tinggi yang tepat pada masanya," kata Dr. Martin Willemink, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Bersama Segmed. "Dengan Insight, para pelanggan kami dapat mengurangkan tempoh penyumberan data secara signifikan, seterusnya mempercepat penyelidikan dan pembangunan dalam bidang perubatan."

"Segmed berada pada kedudukan yang baik untuk mengurangkan halangan inovasi dalam bidang AI perubatan dengan merapatkan jurang antara penyedia data dan pengguna data," kata Sebastian Anastassiou, Ketua Pelaburan Nina Capital. "Ini akan lebih memudahkan pengendalian masalah penjagaan kesihatan yang sukar, seterusnya meningkatkan kualiti penjagaan pesakit pada tahun-tahun akan datang."

"Kami teruja kerana dapat menyokong Segmed dalam pengumpulan dananya – kami percaya bahawa syarikat ini berada pada hala tuju pertumbuhan yang betul untuk menjadi salah satu platform data AI yang terkemuka dalam industri penjagaan kesihatan. Segmed mempunyai akses masa nyata kepada data yang boleh dibaca mesin dengan fokus terhadap pengimejan perubatan, iaitu sejenis data yang tidak ternilai untuk penjagaan kesihatan. Dengan pusingan pengumpulan dana ini, iGan tidak sabar untuk bekerjasama dengan Martin dan pasukannya dalam memacu kerjasama luaran dan memperluas ciri-ciri utama platform ini." kata Sam Ifergan, Rakan Kongsi Pengurusan iGan Partners.

Tentang Segmed

Melalui kerjasama dengan penyedia penjagaan kesihatan global; tindakan menyeragamkan dan tidak mendedahkan identiti data melalui jujukan algoritma proprietari; serta membolehkan pengguna membina set data tersuai, Segmed telah menjadi tempat sehenti untuk pengagregatan data perubatan yang pantas. Untuk mengetahui lebih lanjut, sila layari segmed.ai atau mulakan di join.segmed.ai.

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1346461/Segmed_Logo.jpg?p=medium600

Source: Segmed
Keywords: Computer/Electronics Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals New products/services Venture Capital