Ia merupakan pertandingan kanak-kanak global yang telah dilancarkan pada Hari Pencipta Dunia untuk meningkatkan kesedaran tentang kehilangan pendengaran dan manfaat rawatannya
INNSBRUCK, Austria, 17 November 2022 /PRNewswire/ -- MED-EL, penyedia dan pencipta sistem implan pendengaran terkemuka, hari ini melancarkan pencarian tahunannya dari seluruh dunia untuk ciptaan masa depan melalui pertandingan kanak-kanak global, ideas4ears.
Pertandingan ini menjemput kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun dari seluruh dunia untuk menghasilkan ciptaan bagi meningkatkan kualiti kehidupan mereka yang kehilangan pendengaran. Penyertaan boleh dihantar melalui video, lukisan atau arca, tetapi faktor yang paling penting adalah untuk membuatkan golongan muda berfikir dengan luas dan menyalurkan idea mereka untuk membantu golongan yang tidak dapat mendengar.
Inspirasi di sebalik ideas4ears dan Ketua Hakim bagi pertandingan ini ialah Geoffrey Ball. Geoffrey mempunyai kisah hidup yang luar biasa, di mana apabila beliau menjadi pekak semasa kecil, beliau kemudian berusaha mencipta implan telinga tengah yang revolusioner untuk merawat masalah kehilangan pendengaran beliau sendiri.
"Penciptaan kebiasaannya adalah satu proses penyingkiran. Bagi kes VIBRANT SOUNDBRIDGE, saya terpaksa membina dan menguji banyak peranti yang tidak berfungsi dengan baik atau tidak berfungsi sama sekali sehinggalah saya akhirnya berjaya menghasilkan reka bentuk yang sempurna. Apabila saya mencipta komponen untuk implan telinga tengah di Stanford University, orang ramai akan memberitahu saya 100 sebab mengapa ciptaan saya tidak akan berfungsi, tetapi saya hanya memerlukan satu sebab mengapa ciptaan saya akan berjaya." kata Geoffrey Ball, Ketua Pegawai Teknikal MED-EL dan pencipta implan telinga tengah, VIBRANT SOUNDBRIDGE.
Sebagai seorang pencipta yang berjaya, dengan lebih 100 pemfailan paten atas nama beliau dan banyak produk peranti perubatan yang dibangunkan, Geoffrey telah menggunakan pengalaman hidupnya untuk dijadikan sebagai sumber galakan kepada pencipta muda di ideas4ears, yang kebanyakannya ialah pengguna implan pendengaran.
"Kepada semua kanak-kanak di luar sana yang kehilangan pendengaran dan ingin mencari penyelesaian yang lebih baik untuk diri mereka sendiri, saya ingin katakan bahawa jangan pernah berhenti mencipta, percaya kepada diri sendiri, terus mencuba, kejar impian anda, dan seperti mana yang Winston Churchill katakan, jangan pernah berputus asa, jangan sekali-kali!" ujar Geoffrey.
Pertandingan ideas4ears ini meraikan kreativiti kanak-kanak dan bermatlamat untuk meningkatkan pemahaman tentang cabaran yang berkaitan dengan kehilangan pendengaran serta manfaat rawatannya. Ibu bapa yang berminat hendaklah melayari www.ideas4ears.org/enter untuk menyerahkan penyertaan anak mereka. Tarikh tutup penyertaan ialah pada tengah malam 17 Januari 2023.
Menangi hadiah yang luar biasa! Terdapat peluang untuk memenangi pelancongan ke Innsbruck, Austria dan beberapa pek hadiah yang hebat.
Semua idea dialu-alukan; satu-satunya kriteria ialah ciptaan tersebut perlu mempunyai potensi untuk membantu meningkatkan kehidupan orang yang kehilangan pendengaran pada sebarang usia. Ikuti halaman Facebook ideas4ears untuk mendapatkan kemas kini tentang pertandingan tersebut.
Tentang MED-EL
MED-EL Medical Electronics, peneraju dalam penyelesaian pendengaran boleh implan, didorong oleh misi untuk mengatasi masalah kehilangan pendengaran yang menjadi penghalang kepada komunikasi dan kualiti kehidupan. Perniagaan milik persendirian yang berpangkalan di Austria ini diasaskan bersama oleh perintis industri, Ingeborg dan Erwin Hochmair, yang mana penyelidikan baharu mereka membawa kepada pembangunan implan koklear (CI) mikro elektronik berbilang saluran yang pertama di dunia, yang berjaya diimplan pada tahun 1977 dan menjadi asas kepada CI moden hari ini. Ia menjadi asas kepada pertumbuhan syarikat yang berjaya pada tahun 1990 apabila mereka melantik pekerja pertama mereka. Setakat ini, MED-EL mempunyai lebih 2,400 orang pekerja dari sekitar 80 buah negara dan 30 lokasi di seluruh dunia.
Syarikat ini menawarkan pelbagai penyelesaian implan dan bukan implan untuk merawat semua jenis masalah kehilangan pendengaran yang membolehkan orang ramai di 134 buah negara menikmati anugerah pendengaran dengan bantuan peranti MED-EL. Penyelesaian pendengaran MED-EL termasuklah sistem implan koklear dan telinga tengah, iaitu sebuah gabungan sistem implan pendengaran rangsangan akustik elektrik, implan batang otak pendengaran serta peranti pengaliran tulang pembedahan dan bukan pembedahan. www.medel.com
Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1946442/Aim_high_for_science.jpg?p=medium600
Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1860202/MED_EL_Logo.jpg?p=medium600