omniture

UCLan Buka Peluang bagi Ijazah Sarjana Muda Perubatan Baharu

University of Central Lancashire
2013-12-14 00:25 147

PRESTON, England, 14 Disember 2013 /PRNewswire/ --

Satu program ijazah sarjana muda perubatan pembiayaan sendiri dilancarkan oleh University of Central Lancashire (UCLan). Pusat Pengajian Perubatan dan Pergigian UCLan merancang untuk menawarkan program MB BS selama 5 tahun itu kepada 35 pelajar bermula dari September 2014. Agar setanding dengan Pusat Pengajian Perubatan baharu yang lain, General Medical Council (GMC) komited untuk bekerjasama dengan UCLan bagi membolehkan program MB BS ini memperoleh pengiktirafan penuh daripada GMC.

Sepanjang pengajian, para pelajar akan mempelajari sains perubatan serta kemahiran klinikal dan komunikasi di fasiliti UCLan yang bernilai jutaan paun dan bertempat di Preston dan Burnley. UCLan juga akan bekerjasama dengan East Lancashire Hospitals NHS Trust (ELHT) yang akan menyediakan kebanyakan penempatan klinikal, manakala Lancashire Care Foundation NHS Trust (LCFT) dan Lancashire Teaching Hospitals Foundation NHS Trust (LTHT) akan menyediakan kemudahan selebihnya. Penempatan penjagaan utama akan disediakan dalam General Medical Practices serantau dan kawasan komuniti yang menjalankan perkhidmatan bagi keperluan kesihatan yang signifikan di seluruh East Lancashire.

Profesor StJohn Crean daripada UCLan, Dekan Pusat Pengajian Perubatan dan Pergigian berkata: "Universiti ini telah lama bercita-cita untuk membangunkan program perubatan peringkat ijazah sarjana muda yang berasaskan kejayaan dan reputasi hebat program pergigian dan kesihatan bersepadu peringkat sarjana muda dan sarjana kami. Universiti ini juga mempunyai rekod prestasi yang kukuh dalam pembangunan dan penyampaian kursus berinovatif seperti program sarjana muda pergigian yang bermula pada tahun 2007 dan kini telah menghasilkan hampir 100 doktor gigi baharu yang berdaftar dengan General Dental Council. Program tersebut telah dibangunkan sejajar dengan syarat yang ditetapkan oleh General Dental Council (GDC). Dalam pada itu, program MB BS pula dibangunkan sejajar dengan proses jaminan kualiti GMC."

"Para pelajar akan menerima pengajian berkualiti tinggi di bangunan canggih dan penempatan klinikal mereka pula bertempat di tengah-tengah kawasan dengan populasi berkepelbagaian dan mempunyai masalah kesihatan yang ketara. Ini akan meningkatkan capaian pendidikan perubatan dan penyelidikan di seluruh negara ini."

Beliau turut menambah: "Pasaran penyelidikan kami menunjukkan terdapat permintaan daripada para pelajar luar negara untuk melanjutkan pelajaran perubatan di universiti UK dan kursus yang kami sediakan ini memberi tumpuan kepada mereka yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran di negara mereka sendiri. Yuran pengajian yang ditetapkan adalah setanding dengan yuran pengajian di luar negara dan swasta yang ditawarkan di Pusat Pengajian Perubatan UK yang lain pada £35,000 setiap tahun. Dengan yuran ini, para pelajar dapat menikmati kemudahan bagi mencapai kecemerlangan dalam akademik, kelas bersaiz kecil, hubungan pesakit yang berlaku pada peringkat awal, kemudahan terkini dan latihan klinikal amali yang luar biasa."

Dr Damien Lynch, Pengarah Pendidikan Siswazah di East Lancashire Hospitals NHS Trust berkata, "Kami berbangga dapat bergabung tenaga dengan UCLan dalam usaha baharu yang menarik ini. Pendidikan perubatan adalah sangat penting untuk kesihatan seluruh komuniti di kawasan Pennine Lancashire. ELHT mempunyai tradisi turun-temurun dalam menawarkan latihan perubatan berkualiti tinggi kepada para siswazah. Kami turut mempunyai kapasiti latihan yang signifikan di rantau ini dan sangat mengalu-alukan kemasukan kumpulan pelajar pertama pada masa terdekat ini."

Dr Jim Gardner, Pengarah Perubatan Pasukan Kawasan Lancashire NHS England berkata: "Pembangunan pusat pengajian perubatan persendirian yang berpusat di Preston, Blackburn dan Burnley ini merupakan isu penting bagi ekonomi kesihatan kami dan bagi penduduk Lancashire. Kami dapat menjangkakan pusat pengajian perubatan tersebut dapat memacu inovasi, pelaburan dan peningkatan kualiti bagi penjagaan kesihatan di seluruh negara. Kami mempunyai kapasiti untuk membiayai pusat pengajian perubatan baharu di Lancashire dan sememangnya negara ini memerlukan inisiatif sebegini bagi membantu melatih, merekrut dan mengekalkan tenaga kerja yang terbaik sekali untuk masa hadapan.

"Memajukan pusat pengajian perubatan bukan sahaja bermakna melatih bakal doktor. Hakikatnya adalah untuk membawa bersama pelbagai ahli daripada tenaga kerja perkhidmatan kesihatan dan terus membangun bersama. Ia juga adalah tentang sokongan berterusan dan mempertingkatkan kemahiran para doktor sedia ada."

Nota kepada para editor

The University of Central Lancashire (UCLan) mempunyai reputasi terbaik sebagai institusi yang terus berinovasi, mengembangkan portfolio kursusnya kepada lebih 500 program siswazah dan 180 program pascasiswazah. Universiti ini turut mempunyai reputasi yang baik bagi penyelidikan dalam bidang Perniagaan, Kesihatan, Kemanusiaan dan Sains. Bagi Latihan Penilaian Penyelidikan baru-baru ini, kesemua 17 bidang yang dikemukakan telah diiktiraf dengan kecemerlangan pada peringkat antarabangsa bagi penyelidikan manakala 11 bidang lagi telah diberi penilaian kerana menjalankan penyelidikan yang menerajui di dunia. Pada tahun 2012, UCLan telah dianugerahkan dengan empat bintang bagi QS Stars Development Road Map yang menunjukkan Universiti ini benar-benar diiktiraf pada peringkat antarabangsa bagi kecemerlangan penyelidikan dan pengajaran. UCLan mempunyai kira-kira 35,000 pelajar dan ini secara tidak langsungnya menyumbang hampir £300 juta kepada ekonomi serantau setiap tahun. Dalam tempoh lima tahun ini, UCLan telah melabur lebih £100 juta bagi bangunan baharu dan kemudahan yang dapat membantu pengajian, pembelajaran dan aktiviti masa lapang para pelajar.

East Lancashire Hospitals NHS Trust (ELHT) menyediakan pelbagai perkhidmatan berasaskan masyarakat dewasa dan hospital terutamanya kepada 529,000 penduduk di East Lancashire dan Blackburn bersama Darwen. Kami turut menawarkan khidmat pakar termasuk perkhidmatan Penjagaan Intensif Neonatal Tahap 3, pembedahan Hepatobiliari, Kepala dan Leher serta Kanser Urologi. Kami juga merupakan pusat yang sedang membangun bagi perkhidmatan Kardiologi.

Berikutan pemindahan perkhidmatan komuniti kepada Trust pada bulan April 2011, kami mampu memberikan penjagaan yang lebih baik serta sesuai sama ada di dalam atau sehampir yang mungkin dengan kediaman para pesakit.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, hubungi:

E-mel: cenquiries@uclan.ac.uk
Tel: +44(0)1772-892400

Sumber: University of Central Lancashire

Source: University of Central Lancashire
Keywords: Education Higher Education New products/services