Eco Caravan Mengurangkan Penggunaan dan Pelepasan Bahan Api, Menerajui Hala Tuju Ke arah Revolusi Kelestarian
CAMARILLO, California, 20 November 2022 /PRNewswire/ -- Eco Caravan milik Ampaire, sebuah pesawat serantau dengan sembilan tempat duduk, telah melakukan penerbangan pertama hari ini menggunakan sistem dorongan hibrid elektrik yang bersepadu sepenuhnya. Ampaire menjangkakan bahawa ia akan menjadi pesawat serantau elektrik pertama yang akan memasuki perkhidmatan komersial (pensijilan pada tahun 2024) dan yang pertama dalam siri pesawat hibrid elektrik Ampaire yang lebih besar yang akan menerajui peralihan ke arah penerbangan lestari.
"Penerbangan merupakan industri yang paling sukar untuk dinyahkarbon," kata Ketua Pegawai Eksekutif Ampaire, Kevin Noertker. "Pesawat elektrik sepenuhnya hanya boleh bergerak dalam jarak yang terhad disebabkan oleh berat dan kapasiti tenaga yang ada pada bateri penjanaan arus. Bagaimanapun, pesawat hibrid elektrik boleh mengekalkan jarak dan kegunaan pesawat masa kini. Itulah sebabnya kami memberi tumpuan kepada teknologi dorongan hibrid elektrik untuk siri pesawat serantau yang semakin berkebolehan. Ia merupakan satu cara untuk industri penerbangan menyahkarbon dengan lebih cepat dan memanfaatkan kos operasi yang lebih rendah."
Pencapaian istimewa pada hari ini menambah momentum kepada program yang telah menarik pelanggan penting dan peserta program dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini. Pada bulan Oktober, syarikat ini telah mengumumkan satu kerjasama dengan Air France Industries KLM Engineering and Maintenance (AFI KLM E&M) untuk pelbagai aktiviti perkhidmatan dan sokongan penyelenggaraan di seluruh dunia. Pada bulan lepas juga, Ampaire telah menerima tempahan daripada MONTE, sebuah syarikat pembiaya teknologi penerbangan serantau lestari yang menempah sehingga 50 buah Eco Caravan. "Kerjasama seperti ini dapat memastikan pelanggan Ampaire di seluruh dunia mempunyai bantuan pembiayaan dan pemajakan yang memberangsangkan di samping sokongan penyelenggaraan/pembaikan/baik pulih bertaraf dunia," kata Noertker.
Penerbangan pertama yang "lancar dan senyap"
Eco Caravan menaik taraf Cessna Grand Caravan standard dengan penggunaan sistem dorongan bersepadu Ampaire pada enjin pencucuhan mampatan dan enjin elektrik. Pek bateri di dalam reraut badan mengekalkan kapasiti penumpang dan kargo untuk pesawat.
Penerbangan pertama tersebut mengambil masa 33 minit untuk pemeriksaan awal sistem dorongannya. Dengan juruterbang ujian Elliot Seguin sebagai pengendalinya, Eco Caravan berlepas dari Lapangan Terbang Camarillo di utara Los Angeles pada jam 7:49 pagi PST. Ia mencapai ketinggian 3,500 kaki pada kuasa penuh, menggabungkan kuasa daripada enjin pembakaran dan enjin elektrik. Seguin kemudian menukar tetapan kuasa kepada tetapan pelayaran yang mengurangkan beban pada kedua-dua sumber kuasa. Beliau menghabiskan masa kira-kira 20 minit untuk menguji pelbagai tetapan kuasa sambil mengkaji suhu dan bacaan lain sebelum melakukan penerbangan turun dan mendarat di Camarillo pada tetapan kuasa yang rendah. "Sistem dorongan Eco Caravan berfungsi seperti yang diharapkan," kata Seguin. "Penerbangannya lancar dan senyap. Semua bacaan suhu dan output kuasa adalah normal."
Pelepasan Sifar Bersih dengan SAF
Eco Caravan mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan karbon sehingga 70 peratus. Pelepasan karbon hampir mencapai sifar apabila menggunakan bahan api penerbangan yang lestari. Kos operasi dikurangkan sebanyak 25 hingga 40 peratus bergantung kepada struktur laluan syarikat penerbangan. Kos perjalanan bagi setiap tempat duduk yang tersedia adalah hampir setara dengan kos memandu kenderaan.
Pesawat hibrid elektrik ini mengekalkan keupayaan jarak/muatan Grand Caravan, malah ia boleh terbang lebih jauh daripada Grand Caravan dengan membawa lapan orang penumpang. Jarak maksimumnya adalah melebihi 1,000 batu. Perbezaan jarak perjalanan dan keupayaan mengangkut beban Eco Caravan adalah ketara berbanding reka bentuk semua elektrik, hidrogen elektrik dan juga reka bentuk hibrid elektrik lain yang dicadangkan.
Eco Caravan boleh mengecas semula baterinya semasa penerbangan atau di stesen pengecasan di darat. Oleh kerana infrastruktur pengecasan masih lagi terhad untuk beberapa tahun ini, keupayaan untuk beroperasi tanpa pengecasan di darat adalah penting untuk mengekalkan kebergunaan penuh Eco Caravan.
Pesawat pertama dalam generasi baharu pesawat elektrik lestari
Teknologi dorongan Eco Caravan ini boleh ditingkatkan kepada pesawat serantau yang lebih besar dan akhirnya kepada pesawat berlorong tunggal. Ampaire merancang untuk melancarkan sistem dorongan yang lebih berkuasa dengan kadar segera untuk pesawat yang lebih besar susulan satu pendekatan kukuh yang akan meningkatkan kelestarian operasi syarikat penerbangan secara drastik.
"Meskipun kami berasa bangga dengan Eco Caravan, kami melihatnya sebagai langkah pertama ke arah sistem dorongan hibrid elektrik yang lebih besar dan akhirnya membentuk sistem karbon sifar seiring dengan kemajuan teknologi penyimpanan tenaga," kata Noertker.
Yang pertama memasuki pasaran
Ampaire telah bekerjasama dengan FAA untuk mengesahkan penciptaan Eco Caravan pada tahun 2024 di bawah sijil jenis tambahan, iaitu STC. Pendekatan Ampaire berbeza daripada yang lain kerana ia tidak memerlukan program pensijilan pesawat penuh yang boleh memakan masa dan sangat mahal. Grand Caravan telah pun diperakui oleh FAA. Ampaire akan mengesahkan penerbangannya dengan sistem dorongan baharu.
"Pelancaran penerbangan hibrid elektrik bukanlah tugas yang mudah, namun kami telah menjadikannya lebih mudah dengan menaik taraf pesawat yang telah pun diperakui selamat," kata Noertker. "Kami akan memasuki pasaran dengan lebih cepat serta membolehkan syarikat penerbangan di seluruh dunia mula memperoleh pengalaman kendalian menggunakan dorongan jenis baharu ini. Dan kami akan bekerjasama dengan mereka untuk model susulan bagi memenuhi keperluan rangkaian mereka."
Nota kepada pihak media: Video penerbangan pertama dijangka dikeluarkan lewat hari ini. www.ampaire.com/press.
Tentang Ampaire
Ampaire yang berpangkalan di Los Angeles telah ditubuhkan pada tahun 2016 dengan misi untuk menjadi pembangun pesawat elektrik yang praktikal dan menarik yang paling dipercayai di dunia. Syarikat ini sedang menaik taraf pesawat penumpang sedia ada kepada pesawat berkuasa hibrid elektrik – satu pendekatan paling pantas dan cekap modal untuk menjadikan perjalanan udara elektrik komersial suatu kenyataan dengan teknologi yang tersedia. Ampaire telah mencatatkan beberapa pencapaian sebagai yang pertama dalam industri sejak penerbangan sulung pesawat ujian teknologi EEL Elektrik miliknya pada tahun 2019, termasuk penerbangan paling lama untuk pesawat hibrid elektrik--sejauh 1,135 batu statut melibatkan perjalanan dari Los Angeles ke Oshkosh, Wisconsin. Untuk maklumat lanjut tentang Ampaire, sila layari https://www.ampaire.com/.
Untuk Ampaire:
Jeff Miller
jeff.miller@ampaire.com
press@ampaire.com
Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1951510/Ampaires_Eco_Caravan.jpg?p=medium600
Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1920709/Ampaire_Logo.jpg?p=medium600