BEIJING, 22 November 2022 /PRNewswire/ -- "China dan Thailand rapat ibarat sebuah keluarga," kata Presiden Cina Xi Jinping apabila bertemu dengan Perdana Menteri Thai Prayut Chan-o-cha pada hari Sabtu di Bangkok, Thailand.
Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-10 Perkongsian Kerjasama Strategik Komprehensif China-Thailand, Xi berkata bahawa persahabatan tradisi antara kedua-dua negara ini terus berkembang, kerjasama strategik mereka yang komprehensif telah dipererat dan hubungan dua hala pula telah memasuki tahap perkembangan yang baharu.
Berdiri di titik permulaan bersejarah yang baharu, China bersedia untuk menambah pengertian baharu kepada persahabatan itu, membuka era hubungan dua hala yang baharu dan membawa lebih banyak faedah kepada rakyat mereka, kata Xi.
Komuniti China-Thailand yang lebih stabil, makmur dan mampan dengan masa depan yang dikongsi bersama akan merangka hala tuju masa depan hubungan ini, kata Xi, tatkala kedua-dua negara ini membuat persiapan untuk menyambut ulang tahun ke-50 pemeteraian hubungan diplomatik China-Thailand pada tahun 2025.
Lebih stabil
Meningkatkan kepercayaan dan sokongan politik bersama dapat membantu membina komuniti China-Thailand yang lebih stabil dengan masa depan yang dikongsi bersama.
Berhubung isu-isu prinsip besar yang melibatkan kedaulatan negara, penyatuan dan keutuhan wilayah, kedua-dua negara ini mengulangi sekali lagi komitmen untuk meningkatkan selanjutnya kepercayaan bersama, persefahaman dan sokongan, menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada hari Sabtu.
Pihak Cina menghormati kebebasan negara, kedaulatan dan keutuhan wilayah Thailand. Pihak Thai berpegang teguh kepada Dasar Satu China dan mengiktiraf Taiwan sebagai bahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada China dan Kerajaan Republik Rakyat China sebagai satu-satunya kerajaan sah yang mewakili seluruh China dan menyokong prinsip "Satu Negara, Dua Sistem" China.
Berkongsi kepentingan sama yang luas dalam banyak aspek untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau dan global, China dan Thailand akan meninjau kerjasama di bawah rangka kerja Inisiatif Sekuriti Global dan mengekalkan komunikasi yang erat dan penyelarasan dalam menangani impak cabaran sekuriti tradisional dan bukan tradisional seperti keganasan, perubahan iklim dan keselamatan siber, menurut kenyataan berkenaan.
Lebih makmur
Ketika bertemu Prayut, Xi berkata kedua-dua pihak perlu mencari sinergi yang lebih besar antara strategi pembangunan mereka dan memajukan secara bersama kerjasama Jalur dan Jalan yang berkualiti tinggi untuk menyampaikan hasil yang baharu.
Kedua-dua pihak perlu mengukuhkan kerjasama dalam bidang-bidang tradisional seperti pelaburan, perdagangan, pelancongan, prasarana serta taman perindustrian dan dalam masa yang sama memupuk bidang pertumbuhan yang baharu dan memacu kemajuan dalam bidang-bidang kerjasama yang baharu seperti ekonomi digital, kenderaan tenaga baharu dan inovasi teknologi, ujar Xi.
"Kita perlu mempercepatkan kerjasama landasan kereta api tiga pihak China-Thailand-Laos, memajukan Tinjauan Koridor Pembangunan Ketersambungan China-Thailand-Laos, mengukuhkan keterhubungan fizikal infrastruktur sebagai tumpuan utama," kata Xi, menambah bahawa kedua-dua negara ini harus meningkatkan keterhubungan institusi dalam bidang logistik dan pelepasan kastam serta meluaskan eksport hasil pertanian dan produk sampingan Thai yang berkualiti tinggi ke China.
China bersedia untuk bekerjasama dengan Thailand dan pihak-pihak lain untuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi tujuan pelaksanaan yang berkualiti tinggi, agar susunan kawasan perdagangan bebas terbesar dunia akan menyerlahkan lebih banyak faedah, kata Xi.
Lebih mampan
Memperkayakan aspek rakyat-dengan-rakyat dan budaya masyarakat China-Thailand dengan masa depan yang dikongsi bersama merupakan apa yang menjadikan hubungan dua hala ini lebih mampan.
"Kami perlu mengukuhkan kerjasama dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, pembasmian kemiskinan dan bidang-bidang lain berhubung mata pencarian rakyat, berkongsi pengalaman dalam pembasmian kemiskinan dan pembangunan melalui pelbagai cara, memperdalam dan memantapkan kerjasama berhubung pembasmian kemiskinan antara kedua-dua negara dan melakukan lebih banyak perkara yang praktikal demi kebajikan rakyat dan masyarakat mereka," kata Xi.
Xi berkata kedua-dua negara juga harus mengukuhkan pertukaran belia, mendekatkan lagi hati kedua-dua rakyat dan meningkatkan seterusnya pertalian mereka.
Menyedari kepentingan untuk meluaskan kerjasama dalam bidang-bidang yang menyokong pembangunan masa depan, seperti ekonomi digital, tenaga bersih dan sekuriti rantaian bekalan, kedua-dua pihak bersetuju bahawa mereka akan meluaskan pelaburan dalam industri-industri teknologi tinggi seperti ekonomi hijau dan kecerdasan buatan demi mencapai pembangunan yang berkualiti tinggi.
Pihak Thai tidak sabar-sabar untuk menyambut pelancong dari China selepas kelonggaran langkah-langkah perjalanan di China dan menyatakan penghargaan kepada pihak Cina kerana membenarkan kepulangan pelajar-pelajar Thai secara beransur-ansur ke China untuk menyambung pengajian mereka, menurut kenyataan tersebut.
Kedua-dua pihak akan bekerjasama bagi tujuan penggiatan semula bidang pelancongan yang berkualiti tinggi dan meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan, budaya, media dan maklumat serta antara bandar-bandar kembar selaras dengan prinsip-prinsip kesaksamaan, faedah bersama dan kemampanan, menurut kenyataan tersebut.