Korea First Rent A Car akan memperkenalkan jenama Enterprise Rent-A-Car dan Alamo ke pasaran Korea Selatan
ST. LOUIS, 23 November 2022 /PRNewswire/ -- Dua daripada jenama sewaan kereta terkemuka dunia mula bertapak di Korea Selatan buat julung-julung kalinya. Hari ini, Enterprise Holdings mengumumkan perjanjian dengan Korea First Rent A Car untuk menambah lokasi francais baharu yang menampilkan pilihan sewaan kereta daripada Enterprise Rent-A-Car dan Alamo.
Ditubuhkan pada tahun 1992, KFR mempunyai kehadiran yang kukuh di kemudahan ketenteraan A.S. di Korea Selatan serta senarai pelanggan penting yang kukuh termasuk syarikat-syarikat utama – syarikat asing dan domestik – hotel, stesen TV dan banyak lagi.
Syarikat ini telah memperoleh kejayaan dengan menyediakan penyelesaian mobiliti jangka pendek dan jangka panjang yang menampilkan pilihan perkhidmatan sewaan kereta mewah dengan pemandu. Di rantau Asia Pasifik, Enterprise kini menawarkan perkhidmatan sewaan kereta dengan pemandu melalui rakan kongsinya di Vietnam, Filipina dan China.
"Fokus KFR dalam menyediakan tawaran sewaan kereta mewah digandingkan dengan rekod prestasi mereka yang menjadi contoh dalam memberikan perkhidmatan pelanggan kelas pertama menjadikan mereka rakan kongsi yang ideal untuk Enterprise," kata Marco Beltgens, Penolong Naib Presiden Francais Global – Asia Pasifik Enterprise Holdings. "Pasarannya menyediakan peluang yang luar biasa. Korea Selatan mempunyai beberapa syarikat utama dengan kehadiran global yang besar yang akan membolehkan kami mengembangkan perniagaan sewaan korporat kami di seluruh rantau ini."
KFR kini menawarkan pelbagai kereta kompak, kereta mewah, SUV dan van yang tersedia sebagai pilihan untuk sewaan harian, mingguan atau tahunan. Jenama ini menjalankan operasinya di lapan buah lokasi di seluruh negara ini dan mereka menyasarkan untuk membuka lokasi tambahan di kawasan metropolitan utama yang lain apabila perniagaan ini berkembang.
Rancangan pengembangan merangkumi kehadirannya di empat buah lapangan terbang terbesar di Korea Selatan termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Seoul-Incheon dan Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo di Seoul; Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju di Jeju; dan Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae di Busan.
"Kami sedang berusaha untuk membawa perniagaan kami ke peringkat seterusnya, dan Enterprise Holdings mempunyai rekod prestasi yang kukuh bagi pertumbuhan global dalam beberapa pasaran di seluruh dunia," kata Presiden KFR, Yong Jun Youn. "Kami berharap dapat memanfaatkan sinergi kami untuk merebut sebahagian besar daripada pasaran yang sedang berkembang ini."
Cawangan Rent-A-Car dan Alamo milik Enterprise dijadualkan untuk dibuka di Korea Selatan pada bulan April 2023.
Enterprise Holdings ialah perniagaan khidmat sewaan kenderaan yang terbesar di dunia dan mengendalikan rangkaian dengan lebih 10,000 lokasi sewaan kejiranan dan lapangan terbang di lebih 90 buah negara dan wilayah di seluruh dunia. Melalui rakan kongsi francaisnya, Enterprise telah menyaksikan pertumbuhan di peringkat antarabangsa yang signifikan sejak 10 tahun lalu yang merangkumi kehadirannya di 10 buah negara dan wilayah di rantau Asia Pasifik.
Rakan kongsi francais bagi jenama National Car Rental milik Enterprise juga kini beroperasi di dua buah lokasi di kawasan Seoul termasuk di The Plaza Hotel Seoul.
Untuk maklumat lanjut tentang Enterprise Holdings, sila layari www.enterpriseholdings.com.
Tentang Enterprise Holdings
Enterprise Holdings Inc. merupakan penyedia penyelesaian mobiliti terkemuka yang memiliki dan mengendalikan jenama Enterprise Rent-A-Car, National Car Rental dan Alamo melalui rangkaian global bersepadu anak syarikat serantau bebas miliknya. Enterprise Holdings dan sekutunya menawarkan khidmat sewaan kereta, perkongsian kereta, sewaan trak, pengurusan armada, jualan kereta secara runcit serta pengurusan perjalanan dan perkhidmatan pengangkutan lain yang meluas untuk menjadikan perjalanan lebih mudah dan lebih selesa buat para pelanggan. Dimiliki secara persendirian oleh keluarga Taylor di St. Louis, Enterprise Holdings bersama sekutunya, Enterprise Fleet Management menguruskan pelbagai armada merangkumi 2.1 juta buah kenderaan melalui rangkaian yang mengandungi lebih 10,000 lokasi khidmat sewaan di kejiranan dan lapangan terbang yang lengkap dengan kakitangan di lebih 90 buah negara dan wilayah.
Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1951621/KFR_President_Yong_Jun_Youn.jpg?p=medium600
Logo - https://mma.prnasia.com/media2/557711/PRN_ENTERPRISE_HOLDINGS_BRANDS_LOGO_A_1yHigh.jpg?p=medium600