Tawaran Baharu ini Membolehkan Reka Bentuk Litar Bersepadu Fotonik yang Pantas, Tepat dan Boleh Dipercayai dengan Menggunakan Teknologi Laser Pada Cip
MOUNTAIN VIEW, California, 23 November 2022 /PRNewswire/ -- Bagi memperkemas reka bentuk litar bersepadu fotonik (PIC) yang serba lengkap dan memenuhi permintaan penggunaan masa depan yang meliputi komunikasi data, telekomunikasi, LiDAR, penjagaan kesihatan, HPC, AI dan pengkomputeran optik, OpenLight hari ini mengumumkan ketersediaan umum bagi kit reka bentuk proses (PDK) miliknya. PDK OpenLight sedia untuk digunakan dengan penyelesaian reka bentuk litar bersepadu fotonik Synopsys dan termasuk elemen optik aktif indium fosfida pada cip yang boleh digunakan secara langsung oleh OptoCompiler™ Synopsys serta disimulasikan dengan simulator fotonik OptSim™ Synopsys yang menyediakan kaedah yang unggul kepada para pelanggan untuk mencipta PIC dengan amplifier optik, laser pada cip dan modulator berkelajuan tinggi dengan kehilangan rendah yang disesuaikan dengan keperluan reka bentuk mereka.
Para pelanggan boleh mengakses pustaka komponen fotonik yang diuji dan terbukti yang meluas untuk meningkatkan kejayaan PIC buat kali pertama serta menghasilkan reka bentuk dan pembuatan yang lebih dipercayai. Teknologi ini telah lulus ujian kelayakan dan kebolehpercayaan bagi aliran pengeluaran Fotonik Silikon (PH18DA) Tower Semiconductor.
"Kami amat percaya dengan keupayaan teknologi OpenLight yang dilaksanakan pada platform faundri Tower bagi mendorong pencapaiannya dan merealisasikan produk fotonik generasi seterusnya," ujar Dr. Marco Racanelli, Naib Presiden Kanan merangkap Pengurus Besar Unit Perniagaan Analog Tower Semiconductor. "Dengan PDK yang kini tersedia kepada dunia, para pelanggan bersama boleh mendapat manfaat daripada akses kepada teknologi canggih ini melalui sebuah model faundri yang terbuka. Hasil daripada PIC yang diperbuat setakat ini adalah mengagumkan dan PDK yang diumumkan ini akan mempercepatkan lagi inovasi PIC daripada industri, memandangkan para pereka membangunkannya dengan yakin dan membawa produk baharu ke pasaran dengan lebih cepat menggunakan laser pada cip dan amplifier optik."
Synopsys menyokong PDK OpenLight melalui OptoCompiler Synopsys yang merapatkan jurang antara pakar fotonik dengan pereka IC untuk menjadikan reka bentuk fotonik sama produktif seperti reka bentuk elektronik. OptoCompiler Synopsys merupakan penyelesaian reka bentuk, pengesahan dan penyempurnaan yang serba lengkap untuk IC fotonik. Penyelesaian ini menggabungkan keupayaan khusus reka bentuk fotonik dengan kaedah reka bentuk elektronik yang terbukti dalam industri pada platform bersepadu yang unik untuk menjadikan reka bentuk IC fotonik boleh diakses, pantas dan fleksibel.
"Gabungan penyelesaian reka bentuk IC fotonik yang terkemuka dalam industri daripada Synopsys dengan teknologi laser bersepadu OpenLight pada satu platform yang kohesif memperkasakan pasukan untuk mereka bentuk PIC dunia nyata dengan cara yang belum pernah dilakukan sebelum ini," kata Aveek Sarkar, Naib Presiden Kejuruteraan Synopsys. "Kami berharap dapat menyokong para pelanggan bersama dengan Tower dan OpenLight untuk mempercepat penerimagunaan fotonik silikon dengan laser bersepadu."
"Sehingga kini, belum pernah wujud platform fotonik silikon terbuka dengan elemen optik pada cip yang aktif," kata Dr. Thomas Mader, Ketua Pegawai Operasi OpenLight. "Kami berada di barisan hadapan untuk meneroka keupayaan laser bersepadu mengurangkan halangan untuk memasuki dan mengubah cara pasukan mereka bentuk PIC bagi pelbagai penggunaan yang meluas. Melalui pelancaran umum PDK ini, OpenLight turut mengurangkan halangan kemasukan pada bahagian reka bentuk yang membolehkan para pelanggan mereka bentuk PIC dengan pantas serta memasuki pasaran dan menghasilkan pengeluaran dengan lebih cepat. Ini hanyalah satu permulaan dan kami berharap dapat melihat kemajuan dari segi skala, kelajuan dan kuasa yang berterusan daripada platform kami."
OpenLight dilancarkan sebagai sebuah syarikat bebas pada bulan Jun 2022 yang memperkenalkan platform fotonik silikon terbuka yang pertama di dunia dengan laser bersepadu. Syarikat ini telah menyaksikan kejayaan dalam kalangan pelanggan dengan reka bentuk rujukan 400G dan 800G mereka yang pertama serta laser bersepadu yang bakal tersedia pada musim panas ini.
Untuk berhubung dengan OpenLight tentang ketersediaan PDK terkini, sila layari: https://openlightphotonics.com/
Tentang OpenLight
OpenLight mempunyai pengalaman selama berdekad-dekad dalam reka bentuk fotonik. Pasukan eksekutif dan kejuruteraan kami menyampaikan platform fotonik silikon terbuka yang pertama di dunia dengan laser bersepadu untuk meningkatkan prestasi, kecekapan kuasa dan kebolehpercayaan reka bentuk untuk penggunaan telekomunikasi, komunikasi data, LiDAR, penjagaan kesihatan, pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC), kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran optik. Dengan memiliki lebih 200 paten, OpenLight membawakan penyelesaian optik ke tempat-tempat yang belum pernah ia sampai sebelum ini serta membolehkan teknologi dan inovasi yang belum pernah ada sebelum ini tercapai. Syarikat ini mempunyai ibu pejabat di Santa Barbara, California dan pejabat-pejabat di Silicon Valley. Baca dengan lebih lanjut di www.openlightphotonics.com
Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1832614/OpenLight_Logo.jpg?p=medium600