SINGAPURA, 2 Disember 2022 /PRNewswire/ -- 2C2P, sebuah platform pembayaran global telah bekerjasama dengan platform saluran omni perdagangan pedagang terkemuka, Pine Labs untuk memperluas skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) di enam pasaran utama di Asia iaitu di Singapura, Malaysia, Hong Kong, Indonesia, Filipina dan Thailand.
Berbeza dengan tawaran BNPL yang lain, Pine Labs bekerjasama dengan bank pengeluar untuk membolehkan para pemegang kad daripada bank pengeluar yang mengambil bahagian untuk membeli barangan dengan tempoh ansuran yang berbilang dan lebih lama tanpa perlu memuat turun sebarang aplikasi mudah alih atau melanggan mana-mana perkhidmatan e-dompet atau pembayaran tambahan. Para pemegang kad akan dapat membuat bayaran ansuran dengan serta-merta semasa mendaftar keluar sehingga jumlah had kredit yang telah diluluskan terlebih dahulu tanpa dikenakan bayaran faedah.
Kerjasama ini dijangka dapat meningkatkan keyakinan pengguna di rantau ini serta memperkasakan para pedagang runcit untuk menjual dengan lebih banyak dan lebih kerap kepada pelanggan mereka. Strategi BNPL Pine Labs mempunyai rekod prestasi yang kukuh di India dan kini telah berkembang ke pelbagai pasaran di Asia Tenggara. Sejak pelancarannya di Singapura, skim Bayar Kemudian Pine Labs telah muncul sebagai pilihan pembayaran yang fleksibel untuk para pedagang daripada pelbagai bidang termasuk peruncitan dan teknologi seperti Eu Yan Sang, Samsung, OPPO dan banyak lagi sebagai pelanggannya.
"Kami gembira dengan kemajuan pesat yang kami lakukan di Asia Tenggara apabila ia berkenaan dengan memperluas cadangan skim Beli Sekarang Bayar Kemudian kami. Oleh itu, kami teruja untuk membuat pengumuman pada hari ini tentang kerjasama kami dengan syarikat pembayaran terkemuka, 2C2P. Dengan lebih ramai pembeli muda yang memilih mod pembayaran digital, kami percaya bahawa tawaran BNPL kami akan menepati keperluan para pengguna pada hari ini yang membeli mengikut budi bicara, sekali gus membantu para pedagang di rantau ini untuk mendorong jualan terutamanya barangan mahal serta menyumbang kepada pengalaman pelanggan yang positif," kata Dheeraj Chowdhry, Ketua Pegawai Perniagaan & Ketua - Bayar Kemudian di Asia Tenggara, Pine Labs.
"Penyelesaian BNPL telah muncul sebagai keupayaan penting untuk para pengeluar kad dan pedagang di seluruh dunia. Dengan berbuat demikian, kami bersemangat untuk mengumpulkan permintaan pelanggan serta meningkatkan peluang jualan silang para peruncit melalui kerjasama dengan Pine Labs. Sekiranya para pembeli lebih menyukai penyelesaian teknologi kewangan BNPL, kami menawarkan dan membolehkannya; sekiranya mereka mahukan pilihan daripada bank mereka, kami juga menawarkannya. Kami di 2C2P sentiasa mencari cara baharu untuk menyokong pertumbuhan para pedagang kami dan meningkatkan pengalaman pembayaran dengan menawarkan semua jenis pilihan pembayaran. Memandangkan peralihan permintaan terhadap pembayaran digital dan tarikan yang dimiliki oleh pembayaran tanpa faedah, BNPL merupakan kaedah yang berkesan untuk memperluas jualan dan menarik pelanggan yang lebih muda yang celik teknologi," ujar Agnes Chua, Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan dan Produk 2C2P.
"Tidak seperti tawaran BNPL yang lain, pelanggan kini mempunyai pilihan pembayaran yang lebih fleksibel untuk dipertimbangkan apabila membuat pembelian yang lebih besar. Ia membantu pelanggan merancang dan menguruskan perbelanjaan mereka dengan lebih baik terutamanya apabila berpindah ke rumah baharu," kata Andrew Kang, Ketua e-Dagang Samsung.
Winston Tan, Ketua Jualan OPPO berkata, "Mempunyai Pine Labs sebagai suatu pilihan pembayaran membolehkan kami menawarkan lebih fleksibiliti kepada para pelanggan kami dalam cara mereka membayar pembelian mereka. Kami percaya bahawa pilihan ini akan menjadikannya lebih mudah dan lebih menarik bagi para pelanggan yang peka dengan harga untuk membeli barangan mahal serta membantu pengurusan aliran tunai dan belanjawan."
"Penyepaduan platform BNPL ke dalam sistem pembayaran kami telah berjalan dengan lancar. Sejak melaksanakan program ini, kedai kami telah menyaksikan peningkatan penglibatan pelanggan dan kepuasan pelanggan yang baik," kata Rachel Cheng, Pengarah Urusan Eu Yan Sang Singapura.
Menurut sebuah laporan IDC yang dijalankan oleh 2C2P, perbelanjaan BNPL dijangka akan meningkat sebanyak $9.8 bilion pada tahun 2026, iaitu peningkatan sebanyak 3.5 kali ganda berbanding tahun 2021. Selain itu, jualan runcit di Singapura telah meningkat sebanyak 11.2% tahun ke tahun pada bulan September 2022, yang menandakan peningkatan perdagangan runcit selama tujuh bulan berturut-turut pada tahun ini. Walaupun terdapat prospek yang positif dalam perdagangan runcit, kemudahan tawaran pembelian ansuran di tempat jualan luar talian akan menggalakkan pertumbuhan yang berterusan bagi industri runcit ketika berhadapan dengan gangguan pasca pandemik COVID-19.
Tentang Pine Labs
Pine Labs ialah sebuah platform saluran omni perdagangan pedagang terkemuka yang beroperasi merentasi India dan Asia Tenggara. Pendekatan Pine Labs yang mengutamakan teknologi dalam pembayaran digital dan memberi tumpuan kepada memudahkan operasi bahagian hadapan adalah bertujuan untuk membantu sebahagian besar perniagaan menerapkan produk teknologi kewangan pada skala besar.
Dalam bahagian pembayaran digital, perisian berasaskan awan bagi pembayaran dalam talian kami, Plural menjadi destinasi pembayaran sehenti di seluruh saluran. Plural direka bentuk untuk memberikan pengalaman pembayaran dalam talian yang selamat dan lancar kepada pengguna akhir, yang dikuasakan oleh rangkaian teknologi canggih yang boleh meningkatkan perniagaan dalam talian sedia ada atau membangunkan penyediaan pembayaran e-dagang yang serba baharu dari peringkat awal.
Dalam bahagian pengeluar, Qwikcilver memberi perkhidmatan kepada syarikat korporat terkemuka, jenama Barangan Pengguna Cepat Laris (FMCG), syarikat e-dagang, sektor Perbankan, Perkhidmatan Kewangan dan Insurans (BFSI) dan industri penerbangan serta mempunyai kehadiran merentasi India, Timur Tengah, Asia Tenggara dan Australia. Qwikcilver ialah penyedia kad hadiah pilihan dalam kalangan syarikat yang ingin memperkukuh program ganjaran pekerja mereka dan mengeluarkan kad hadiah lingkaran tertutup untuk pemerolehan pelanggan serta pelbagai lagi.
Dalam aplikasi pengguna, Fave ialah sebuah platform teknologi kewangan untuk generasi pengguna seterusnya, yang menyediakan pembayaran dan simpanan pintar sambil memperkasakan para pedagang dengan penyelesaian kesetiaan untuk mengembangkan dan terlibat dengan pelanggan mereka melalui kaedah yang serba baharu.
Para pelabur utama Pine Labs yang ditubuhkan di Singapura ini terdiri daripada Sequoia India, Actis Capital, Temasek, PayPal dan Mastercard. Untuk mengetahui lebih lanjut, sila layari www.pinelabs.com.
Tentang 2C2P
2C2P ialah sebuah platform pembayaran serba lengkap yang membantu perusahaan terkemuka di dunia untuk menerima dan membuat pembayaran dengan selamat melalui satu titik penyepaduan. Rangkaiannya yang meluas meliputi pelbagai saluran dalam talian, mudah alih dan luar talian termasuk lebih 400,000 lokasi pembayaran alternatif yang membolehkan perusahaan menjangkau para pelanggan atau penerima mereka di mana-mana sahaja. 2C2P turut menyediakan perkhidmatan nilai tambah seperti pengeluaran, 3D Secure, pembayaran bil dan barangan digital bagi memenuhi setiap keperluan perniagaan. Syarikat ini beribu pejabat di Singapura dan beroperasi di seluruh dunia. Ia merupakan platform pembayaran pilihan syarikat gergasi teknologi, pasaran dalam talian, peruncit dan perusahaan global yang lain. https://2c2p.com
Hubungan Media:
Chauhans@RuderFinnAsia.com
sylvia.mckaige@salweengroup.com
Foto: https://mma.prnasia.com/media2/1958884/2C2P_and_Pine_Labs.jpg?p=medium600