- Pusat peranginan berkeluasan 34 hektar ini merupakan projek pertama DAMAC Group di Maldives
- Hotel ini merupakan tambahan kepada portfolio berprestij DAMAC yang telah berjaya dikembangkan di peringkat antarabangsa
- Kerjasama DAMAC Group dengan jenama terkenal seperti Mandarin Oriental menjadi bukti kedudukan dan nilai jenama ini di pasaran
CANNES, Perancis, 6 Disember 2022 /PRNewswire/ -- Diumumkan di Pasaran Pelancongan Mewah Antarabangsa di Cannes, Perancis bahawa DAMAC Group yang berpangkalan di Dubai, melalui DAMAC Properties sebagai cabang pembangunan hartanahnya — yang juga merupakan salah sebuah syarikat pemaju hartanah mewah utama di rantau ini, telah menandatangani kontrak dengan Mandarin Oriental Hotel Group untuk mengendalikan pusat peranginan baharu di beberapa buah pulau milik persendirian di Maldives.
Pusat peranginan mewah berkeluasan 34 hektar yang kini sedang dalam pembinaan dan dijadualkan untuk beroperasi pada tahun 2025 ini akan menjadi hartanah pertama DAMAC Group di pulau pelancongan yang terkenal dengan tawaran-tawaran premium bertaraf lima bintang.
Pusat Peranginan Lautan Hindi ini bakal didirikan di tiga buah pulau milik persendirian di Bolidhuffaru Reef, South Male Atoll yang boleh diakses dengan menaiki bot laju selama 20 minit dari lapangan terbang antarabangsa Velana, Male.
Dikelilingi dengan pantai pasir putih dan keunikan terumbu karang yang sinonim dengan keindahan Maldives, pusat peranginan ini bakal menawarkan pemandangan yang indah di mana para tetamu berpeluang menikmati pelbagai aktiviti termasuk pengalaman menjamu selera di pelbagai restoran istimewa di seluruh pulau selain menikmati kemudahan pusat kesejahteraan dan sukan air.
Penginapan Mandarin Oriental Bolidhuffaru Reef ini terdiri daripada 130 unit vila di tapak berasingan yang merangkumi 61 unit vila atas air dan 66 unit vila tepi pantai, termasuk 10 unit kediaman berjenama. Dengan pelbagai saiz antara 100 hingga 600 meter persegi, vila-vila ini bakal merupakan antara vila peranginan yang terbesar di pasaran, setiap satunya menawarkan ketenangan dan kemewahan dengan kolam peribadi dan pemandangan lautan yang indah. Kumpulan ini bekerjasama dengan beberapa buah syarikat perundingan antarabangsa untuk memastikan amalan kelestarian terbaik dipatuhi dalam semua peringkat pembangunan.
Tujuh lokasi menjamu selera termasuk tiga restoran istimewa dan kedai makan eksklusif dengan bar tepi kolam akan memastikan para tetamu mempunyai pelbagai pilihan hidangan semasa menginap di sini.
Di samping itu, ruang acara dalam dan luar bangunan yang kreatif di sini bakal menjadi lokasi yang unik untuk bermesyuarat, mengadakan perhimpunan sosial dan majlis perkahwinan.
Kemudahan kesejahteraan yang luas akan dibina di taman tropika pusat peranginan ini yang merangkumi 12 unit bilik rawatan, kolam renang vitaliti, sauna dan bilik wap serta salon kecantikan. Pasukan pakar pengamal kesejahteraan Mandarin Oriental akan turut menawarkan pengalaman tersuai dan rawatan istimewa daripada Kumpulan ini.
Aktiviti riadah tambahan merangkumi sebuah pusat sukan air dan pusat selaman, gelanggang tenis, kelab kanak-kanak dan remaja bertaraf dunia yang direka oleh perunding antarabangsa, sebuah kolam renang serta pelbagai teluk dan pantai persendirian untuk diteroka.
"Jenama DAMAC sinonim dengan produk dan perkhidmatan mewah dan kami merasakan bahawa Maldives merupakan lokasi yang tepat untuk kami. DAMAC telah memperluas jejak globalnya di luar rantau Timur Tengah, dari UK hingga ke Kanada dan kami begitu teruja kerana kini berjaya menjejaki Maldives. Kami berharap dapat bekerjasama dengan Mandarin Oriental Hotel Group untuk menguruskan pusat peranginan baharu kami di pulau yang indah ini," kata Hussain Sajwani, Pengerusi merangkap Pengasas DAMAC Group.
"Kami terus bekerjasama dengan jenama terkemuka bertaraf dunia yang mencerminkan reputasi serta standard DAMAC dalam menawarkan penginapan mewah dan kami yakin bahawa Mandarin Oriental Hotel Group akan mencapai hasratnya dengan cemerlang," tambah Sajwani.
Mandarin Oriental Hotel Group merupakan pemilik dan pengendali hotel, pusat peranginan dan kediaman paling mewah di dunia yang telah memenangi pelbagai anugerah. Setelah berkembang daripada sebuah jenama yang berasal dari Asia kepada jenama global, Kumpulan ini kini mengendalikan 36 buah hotel dan tujuh kediaman di 24 buah negara dan wilayah, di mana setiap hartanah mencerminkan warisan ketimuran kumpulan ini dengan pengalaman penginapan yang unik.
Mandarin Oriental mempunyai rangkaian hotel dan kediaman yang kukuh yang sedang dibangunkan dan merupakan ahli kumpulan Jardine Matheson.
"Mandarin Oriental memberi tumpuan kepada pembangunan portfolio pusat peranginan dan telah lama menanam cita-cita untuk memasuki Maldives. Projek ini menawarkan peluang yang sempurna kepada Kumpulan syarikat kami," kata James Riley, Ketua Eksekutif Mandarin Oriental Hotel Group.
Sila layari DAMAC di www.damacproperties.com
Ikuti DAMAC Properties di Facebook , Twitter , Instagram, LinkedIn dan YouTube (@DAMACofficial).
Video - https://mma.prnasia.com/media2/1962447/DAMAC_Mandarin_Oriental_Maldives.mp4
Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1957618/Damac_Properties.jpg?p=medium600
Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1957619/Damac_Properties_2.jpg?p=medium600