omniture

Lapangan Terbang Mumbai Baharu, Direka Oleh Skidmore, Owings & Merrill Dirasmikan Hari Ini

Skidmore, Owings & Merrill LLP
2014-01-11 23:49 222

-  Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa GVK Chhatrapati Shivaji melambangkan masa depan peringkat global bagi India di samping meraikan warisan negara

MUMBAI, India, 11 Januari 2014 /PRNewswire/ -- Pada hari ini, Perdana Menteri India, Manmohan Singh, bersama-sama pembesar dan perwakilan pelawat daripada pemaju swasta, GVK, merasmikan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji yang merupakan hab udara baharu yang mengagumkan rekaan Skidmore, Owings & Merrill (SOM). Ditempatkan di tengah-tengah ibu kota kewangan India, hab baharu ini menambahkan 4.4 juta kaki persegi keluasan bagi menampung 40 juta penumpang setiap tahun dengan beroperasi selama 24 jam setiap hari. Dengan merancang jaringan kompleks yang dibentuk oleh para penumpang dan kapal terbang menjadi rekaan yang dirasakan intuitif dan bertindak balas terhadap pertumbuhan pesat rantau ini, Terminal 2 baharu ini memperlihatkan lokasi lapangan terbang itu sebagai pintu gerbang unggul ke India dan menekankan status negara itu sebagai kuasa ekonomi antarabangsa.

Menurut En. G V Sanjay Reddy, Pengarah Urusan GVK Mumbai International Airport Pvt. Ltd. (MIAL), "Terminal 2 baharu ini di CSIA merupakan monumen kepada semangat indah Mumbai dan rakyatnya. Terminal ini akan menjadikan CSIA sebagai pintu masuk ke bandar Mumbai dan India dengan penumpang antarabangsa dan domestik. Kami gembira dapat bekerjasama dengan SOM yang membantu kami menterjemahkan impian dan wawasan kami agar menjadi kenyataan."

Terminal baharu tersebut menggabungkan perkhidmatan penumpang antarabangsa dan domestik di bawah satu bumbung, mengoptimumkan operasi terminal dan mengurangkan jarak berjalan kaki bagi para penumpang. Diinspirasikan oleh bentuk astaka tradisional India, terminal empat tingkat menempatkan "bahagian utama" yang besar atau podium pemprosesan pusat, di atas dataran yang boleh disesuaikan dan bermodul di bawahnya. Daripada memetakkan fungsi terminal, tiga dataran bersimetri dibentuk ke luar daripada teras pemprosesan pusat, lalu menjadikan dataran tersebut mudah dikonfigurasikan semula untuk bertukar perkhidmatan dengan cepat bagi penerbangan domestik atau penerbangan antarabangsa.

Memandangkan terminal ini meraikan identiti berteknologi tinggi global yang baharu untuk Mumbai, struktur ini dipenuhi dengan sambutan terhadap suasana tempatan, sejarah dan budaya. "Kami mereka bentuk lapangan terbang yang mempunyai hubungan yang rapat dengan persekitarannya," jelas Roger Duffy, FAIA, Rakan Reka Cipta di SOM. "Dengan menggabungkan secara halus corak dan tekstur serantau pada semua skala, Terminal 2 bergema dengan cita rasa setempat dan berfungsi sebagai simbol yang menakjubkan bagi India dan Mumbai." Daripada hiasan kekotak bersendi pada tiang bahagian utama dan permukaan atap, sehinggalah kepada skrin tingkap jali berjalin-jalin dan kompleks yang menapis cahaya bertelau-telau memasuki dataran, Terminal 2 memperlihatkan potensi bagi lapangan terbang moden dengan suasana tradisi yang dijelmakan semula.

Pintu Masuk ke India

Kesemua penumpang antarabangsa dan domestik memasuki bahagian utama terminal di tingkat empat yang boleh dimasuki daripada jalanan bertingkat yang luas. Di pintu masuk, lorongnya dibahagikan, agar memberi ruang kepada sekatan yang dikurangkan dengan ruang yang mencukupi untuk upacara berlepas tradisional India. Dari saat ketibaan, terminal tersebut menyambut pelancong. Di bahagian atas, atap bahagian utama diperluaskan agar melitupi keseluruhan jalan ketibaan, lalu melindungi penumpang dan para tetamu daripada kepanasan di Mumbai dan cuaca monsun yang tidak menentu. Dinding kaca yang tegap setinggi 50 kaki, merupakan yang tertinggi di dunia, membuka ruangan yang luas di bahagian dewan daftar masuk. Muka bangunan yang telus juga membolehkan mereka yang ingin mengucapkan selamat jalan untuk melihat rakan dan kaum keluarga berlepas, memandangkan mereka harus kekal di luar kawasan terminal atas peraturan penerbangan India.

Sebaik sahaja berada di dalamnya, para pelancong memasuki kawasan yang selesa dan dipenuhi cahaya, dilindungi di bawah atap kekal lama yang disokong oleh pelbagai tiang berbilang tingkat. Ruangan yang tersergam dan bersejarah ini menghasilkan ketenangan di bawah tiga puluh tiang dengan astakanya yang lapang dan halaman dalaman seni bina serantau tradisional. Cakera kecil yang terdiri daripada kaca berwarna-warni diletakkan di bahagian kekotak kanopi yang memberikan cahaya kepada dewan ini. Gabungan warna ini diinspirasikan daripada burung merak yang merupakan burung kebangsaan India dan simbol bagi lapangan terbang ini.

Dewan daftar masuk membawa kepada hab peruncitan, yang merupakan ruangan lazim yang membolehkan para penumpang membeli-belah, menikmati hidangan dan melihat kapal terbang berlepas menerusi tingkap luas yang memenuhi ruangan dari bahagian lantai ke siling. Terletak di pusat persimpangan dataran dan teras terminal, plaza komersil ini menyediakan aktiviti tumpuan utama yang berhampiran dengan pintu gerbang. Di dalam ruangan ini sehinggalah ke bahagian dataran, lekapan rujukan budaya dan perincian, seperti kandil khusus yang diinspirasikan daripada bunga teratai dan kerja mosaik cermin tradisional yang direka oleh artis tempatan, memberikan pengalaman kepada para pelancong terhadap komuniti dan budaya melangkaui lapangan terbang ini. Karya seni serantau dan artifak dipamerkan di Dinding Seni berbilang tingkat pusat, diterangi oleh jendela langit di atasnya. Penularan seni dan budaya tempatan, disertai dengan penggunaan warna cerah dan tekanan bergaya, menaikkan suasana terminal melangkaui pengalaman lapangan terbang yang biasa dan lazimnya tidak menarik.

Walaupun terminal ini hanya mempunyai empat tingkat, sambungan slot cahaya dan telaga cahaya berbilang tingkat memastikan cahaya dapat menembusi lantai di tingkat bawah bangunan, yang berfungsi untuk mengingatkan tentang bandar di sekeliling dan landskapnya. Pada waktu senja, diterangi dari dalam, terminal ini bercahaya seperti kandil yang dipahat.

Jejak Fleksibel

Tapak pembinaan bangunan terminal baharu ini bertempat di kawasan yang berdekatan dengan terminal sedia ada yang perlu beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh pembinaan. Keperluan tapak ini memberi inspirasi kepada perancangan terminal berbentuk X yang dipanjangkan, yang boleh dibuatkan acuannya di sekitar struktur sedia ada dan memasukkan rekaan bermodul bagi menampung proses pembinaan yang pantas dan berfasa. Bentuk inovatif ini juga membolehkan penyatuan pemprosesan penumpang yang penting, pengendalian bagasi dan fungsi runcit/makan di tengah-tengah terminal. Di setiap tingkat, jeti terpancar membolehkan jarak berjalan kaki yang paling dekat daripada pusat terminal hinggalah kepada kawasan menaiki kapal terbang, di samping memaksimumkan perimeter terminal ini untuk pintu gerbang kapal terbang.

Atap terminal ini yang merupakan antara yang terbesar di dunia tanpa sendi peluasan, memastikan fleksibiliti terminal. Kemampuan bidang panjang struktur kekuda keluli membenarkan penempatan bagi tiga puluh tiang setinggi 130 kaki yang saling berjauhan supaya bukan sahaja memberikan rasa keterbukaan sehingga ke kawasan pemprosesan yang luas di bahagian bawah, tetapi juga memberikan fleksibiliti yang maksimum dalam susunan kaunter tiket dan fasiliti pemprosesan lain yang diperlukan.

Hab Kecekapan Tenaga

Terminal 2 menggunakan sistem pemasangan kaca berprestasi tinggi dengan corak frit tersuai khusus bagi mencapai prestasi terma yang optimum dan mengurangkan silau. Panel logam berlubang di bahagian dinding tirai terminal itu menapis sudut matahari barat dan timur yang rendah, lalu menciptakan ruangan diterangi cahaya siang yang selesa bagi penumpang yang menunggu dan kawalan cahaya responsif mengimbangkan tahap cahaya luar dan dalam untuk simpanan tenaga yang optimum. Jendela langit yang berkedudukan strategik menerusi dewan daftar masuk akan mengurangkan penggunaan tenaga terminal sehingga 23%.

Di Terminal 2 juga, teknologi dan bahan moden digunakan sehabis baik. Namun, sementara strategi canggih menetapkan standard baharu bagi reka bentuk lapangan terbang yang mampan dan moden, terminal ini bukan sahaja sebahagian daripada pameran sejarah dan tradisi India dan Mumbai, malah juga merupakan pencapaian berstruktur dan berteknologi. Sebagai bangunan yang menonjol daripada pemandangan kota Mumbai, Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji meraikan kedua-dua warisan budaya India yang kaya dan masa depan global negara yang kian berkembang.

Latar Belakang Skidmore, Owings & Merrill LLP
Skidmore, Owings & Merrill LLP (SOM) merupakan salah satu daripada seni bina, reka bentuk dalaman, kejuruteraan dan firma perancangan bandar yang menerajui di dunia, dengan reputasi selama 75 tahun untuk kecemerlangan reka bentuk dan portfolio termasuk antara pencapaian seni bina paling penting bagi abad ke-20 dan ke-21. Sejak penubuhannya, SOM telah menjadi peneraju dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi khusus, proses baharu dan idea inovatif yang kebanyakannya mempunyai kesan yang ketara dan berkekalan bagi profesion reka bentuk dan persekitaran fizikal. Kepimpinan firma yang sudah lama ini dalam teknologi reka bentuk dan bangunan telah diiktiraf dengan lebih 1,600 anugerah bagi kualiti, inovasi dan pengurusan. Institut Seni Bina Amerika telah mengiktiraf SOM sebanyak dua kali dengan penghormatan tertinggi iaitu Anugerah Firma Seni Bina pada tahun 1962 dan sekali lagi pada tahun 1996. Firma ini juga mengekalkan pejabatnya di New York, Chicago, San Francisco, Los Angeles, Washington, D.C., London, Hong Kong, Shanghai, Mumbai dan Abu Dhabi.

(Foto: http://photos.prnewswire.com/prnh/20140110/CG44126)

Source: Skidmore, Owings & Merrill LLP
Related Links:
Keywords: Airlines/Aviation Construction/Building Transportation Travel New products/services