omniture

OPEC Fund meluluskan lebih USD500 juta dalam sokongan pembangunan global baharu

OPEC Fund for International Development
2022-12-16 18:22

 

VIENNA, 16 Disember 2022 /PRNewswire/ -- Dengan pencapaian satu rekod baharu, OPEC Fund for International Development telah meluluskan lebih USD500 juta dalam pembiayaan baharu pada mesyuarat Lembaga Pentadbirannya yang terkini dan pada suku akhir tahun 2022.

15 projek baharu yang diluluskan ini mencerminkan pelancaran Pelan Tindakan Keselamatan Makanan OPEC Fund bernilai USD1 bilion dan penerimagunaan Pelan Tindakan Iklim khusus pertamanya pada awal tahun ini. Di samping itu, penglibatan baharu akan menyokong pembangunan dan pelaburan infrastruktur untuk meningkatkan komuniti di negara-negara rakan kongsi Dana tersebut di seluruh dunia.

Ketua Pengarah OPEC Fund, Dr. Abdulhamid Alkhalifa berkata: "Pada tahun yang sangat mencabar, OPEC Fund dapat meningkatkan sokongannya dengan ketara dan mengukuhkan kesannya. Kelulusan baharu kami akan menyediakan pembiayaan yang amat diperlukan untuk menangani isu-isu global yang mendesak seperti keselamatan makanan, tenaga dan iklim selaras dengan keutamaan strategik kami. Pada masa yang sama, kami menyedari keperluan untuk mempercepat sokongan bagi pembangunan lestari bagi memastikan mata pencarian dan kesejahteraan orang ramai di seluruh dunia."

Lembaga Pentadbir OPEC Fund telah meluluskan projek-projek berikut:

Mempromosikan akses kepada tenaga dan tenaga boleh baharu:

Niger: Pinjaman bernilai USD25 juta kepada Projek Pembangunan Loji Solar Niger dan Peningkatan Akses Elektrik yang akan menghubungkan 80,000 isi rumah kepada grid elektrik kebangsaan melalui penyepaduan pembinaan dan grid bagi loji fotovolta solar 10 MWp. OPEC Fund juga akan membiayai secara bersama-sama pembinaan talian penghantaran elektrik di rantau selatan negara ini dan di ibu negara Niger, Niamey.

Bangladesh: Pinjaman sektor swasta bernilai USD38 juta yang akan menyokong pembinaan loji kuasa 584 MW, mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan dan mengukuhkan keselamatan tenaga negara tersebut.

Uzbekistan: Pinjaman sektor swasta bernilai USD20 juta yang akan menyumbang kepada pembiayaan ladang angin berkapasiti 500 MW dan 160 kilometer talian penghantaran yang membantu negara memodenkan infrastruktur tenaganya.

Uzbekistan: Satu lagi pinjaman sektor swasta bernilai USD20 juta akan membantu membiayai ladang angin berkapasiti 500 MW dan 128 kilometer talian penghantaran.

Tanzania: Satu kemudahan pembiayaan berperingkat bernilai USD60 juta kepada Projek Talian Penghantaran Benaco-Kyaka yang akan menyokong pembinaan talian penghantaran lebih daripada 160 kilometer dan substesen untuk menyampaikan perkhidmatan tenaga yang boleh dipercayai daripada grid kebangsaan ke rantau barat laut negara ini.

Jaminan Makanan:

Benin: Pinjaman tambahan bernilai USD14 juta akan menyokong Projek Sokongan Pembangunan Pertanian dan Akses Pasaran yang sedang dijalankan, yang dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 255,000 orang penduduk, termasuk para pekebun kecil. Projek ini akan meningkatkan pendapatan para peladang dan mengukuhkan jaminan dan nutrisi makanan di kawasan luar bandar.

Liberia: Pinjaman bernilai USD10 juta kepada Projek Zon Pemprosesan Industri Agro Khusus yang akan meningkatkan jaminan makanan dan memberikan sokongan kepada perusahaan bersaiz kecil dan sederhana (PKS).

Infrastruktur sosial, perdagangan antarabangsa dan sokongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS): 

Afrika: Pinjaman bernilai USD50 juta kepada sebuah bank pembangunan multilateral serantau yang akan memperkukuh projek infrastruktur di negara-negara di seluruh benua ini.

Afrika: Pinjaman bernilai USD40 juta kepada institusi sektor swasta yang akan menyokong import dan eksport komoditi dan baja pertanian di pelbagai negara Afrika.

Cote d'Ivoire: Pinjaman berasaskan program bernilai €70 juta yang akan menyumbang kepada pembiayaan Program Sokongan Pembaharuan Ekonomi dan Sosial. Bantuan belanjawan ini bertujuan untuk menggalakkan pembaharuan yang disasarkan bagi menyediakan akses kepada infrastruktur sosial asas untuk golongan yang kurang bernasib baik.

Afrika:  Pinjaman sebanyak €50 juta kepada bank pembangunan multilateral serantau yang akan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan projek tenaga hijau di beberapa buah negara Afrika Barat.

Republik Kyrgyz:  Pinjaman bernilai USD15 juta untuk Projek Pembinaan Semula Jalan Raya Suusamyr-Talas-Taraz (Fasa-IV)  yang akan menyokong pembinaan semula dan naik taraf bahagian koridor jalan raya sepanjang 93 km yang menghubungkan negara tersebut dengan negara jiran, Kazakhstan untuk mempromosikan perdagangan dan pelancongan serantau.

Madagascar: Satu pakej pembiayaan bernilai USD36.5 juta yang terdiri daripada pinjaman dan geran bernilai USD1.5 juta kepada Program Peralihan Masakan Bersih Kebangsaan yang akan menyediakan masakan bersih kepada 200,000 isi rumah tempatan dan membantu menanam semula hutan seluas 1,500 hektar.

Mauritania: Pinjaman bernilai USD40 juta kepada Projek Bekalan Air Kiffa yang akan menyumbang kepada pembiayaan loji rawatan air, empat stesen pam dan lebih 300 kilometer saluran paip untuk membekalkan air yang selamat untuk diminum kepada Kiffa, bandar ketiga terbesar di negara ini dan kawasan luar bandar di sekitarnya.

Botswana: Pinjaman bernilai USD20 juta yang akan menyokong institusi sektor swasta untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana tempatan, terutamanya perniagaan yang dimiliki oleh wanita.

Tentang OPEC Fund

OPEC Fund for International Development (OPEC Fund) merupakan satu-satunya institusi pembangunan yang dimandatkan secara global yang menyediakan pembiayaan daripada negara anggota kepada negara bukan anggota secara eksklusif. Organisasi ini bekerjasama dengan rakan negara membangun dan komuniti pembangunan antarabangsa untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial di negara berpendapatan rendah dan sederhana di seluruh dunia. OPEC Fund telah ditubuhkan pada tahun 1976 dengan tujuan yang penting: untuk memacu pembangunan, mengukuhkan komuniti dan memperkasakan orang ramai. Usaha kami adalah berpusatkan manusia dengan fokus kepada pembiayaan projek yang memenuhi keperluan penting seperti makanan, tenaga, infrastruktur, pekerjaan (terutamanya yang berkaitan dengan PMKS), air bersih dan sanitasi, penjagaan kesihatan dan pendidikan. Setakat ini, OPEC Fund telah komited untuk menyediakan pembiayaan bernilai lebih USD22 bilion bagi projek pembangunan di lebih 125 buah negara dengan jumlah anggaran kos projek bernilai USD187 bilion. OPEC Fund menerima penarafan AA+/Outlook Stable oleh Fitch dan AA/Outlook Positive oleh S&P. Wawasan kami adalah untuk mencipta sebuah dunia di mana pembangunan lestari menjadi realiti bagi semua orang.

Hubungi: 
Basak Pamir
T+43151564174
B.Pamir@opecfund.org

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1899865/OPEC_Fund_Logo.jpg?p=medium600

 

   

Source: OPEC Fund for International Development
Keywords: Agriculture Banking/Financial Service Environmental Products & Services Food/Beverages Green Technology Utilities Financing agreements