omniture

Ini ialah Pasport yang Paling (dan Paling Kurang) Berkuasa di Dunia pada Tahun 2023

Henley & Partners
2023-01-10 16:00

LONDON, 10 Januari 2023 /PRNewswire/ -- Sebaik sahaja kita memasuki tahun baharu, keputusan terkini daripada Henley Passport Index memberikan pandangan yang menarik tentang dunia yang dicirikan oleh pergolakan luar biasa serta menawarkan pandangan yang jelas tentang perkara yang bakal berlaku pada masa hadapan. Untuk tahun kelima berturut-turut, Jepun mengungguli indeks tersebut berdasarkan data eksklusif daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan menilai kedudukan semua 199 pasport di dunia mengikut bilangan destinasi yang boleh diakses tanpa visa terlebih dahulu oleh para pemiliknya.

Warganegara Jepun kini boleh melawat 193 buah destinasi tanpa visa yang menakjubkan daripada 227 buah destinasi, manakala warganegara Korea Selatan dan Singapura yang terikat pada tempat ke-2, mempunyai skor sebanyak 192 buah destinasi tanpa visa/visa semasa ketibaan. Jerman dan Sepanyol berkongsi tempat ke-3, dengan akses ke 190 buah destinasi tanpa visa di seluruh dunia. UK dan AS kekal di tempat ke-6 dan ke-7, masing-masing dengan skor sebanyak 187 dan 186 serta kelihatan semakin tidak berkemungkinan untuk merampas semula tempat teratas yang mereka telah pegang bersama hampir sedekad yang lalu.  

Afghanistan masih kekal di bahagian terbawah Henley Passport Index, dengan skor hanya 27 sahaja — iaitu 166 buah destinasi tanpa visa yang lebih rendah berbanding Jepun — yang merupakan jurang mobiliti global yang paling terbesar dalam sejarah 18 tahun indeks tersebut. Pengerusi Henley & Partners, Dr. Christian H. Kaelin berkata penyelidikan terbaharu firma tersebut terhadap hubungan antara perjalanan tanpa visa dan akses ekonomi global mengungkap makna kuasa pasport dari sudut kewangan yang kukuh. "Bagi warganegara global, ukuran mobiliti ekonomi dan peluang fiskal yang lebih baik yang diberikan oleh pasport mereka ialah dengan melihat bahagian peratusan KDNK global yang boleh diakses tanpa visa oleh mereka. Penyelidikan terkini kami tentang berapa banyak akses ekonomi global yang diberikan oleh setiap pasport merupakan kaedah yang berguna untuk para pelabur serta memberikan pandangan baharu tentang ketidaksamaan dan jurang kekayaan yang semakin meluas yang mentakrifkan dunia kita."

Hubungan langsung antara kekuatan pasport dengan kuasa ekonomi

Di peringkat makro, kajian baharu daripada Henley & Partners ini mendedahkan bahawa hanya 6% daripada pasport di seluruh dunia memberikan akses tanpa visa kepada para pemiliknya ke lebih 70% daripada destinasi ekonomi global. Manakala hanya 17% daripada negara-negara tersebut memberikan akses tanpa visa kepada para pemegang pasportnya untuk ke lebih empat perlima daripada 227 buah destinasi di dunia.

Pasport Jepun memberikan akses tanpa visa ke 85% destinasi di seluruh dunia dan negara-negara ini secara kolektifnya menyumbangkan sejumlah besar iaitu 98% daripada ekonomi global (sumbangan KDNK daripada Jepun sendiri ialah kira-kira 5%). Sebaliknya, pasport Nigeria yang berada pada kedudukan kedua terbawah dalam indeks ini memberikan akses tanpa visa ke hanya 46 buah destinasi sahaja (20% daripada destinasi di dunia), yang menyumbang hanya 1.5% daripada KDNK global. Pasport Afghanistan yang berada pada kedudukan terbawah pula memberikan akses tanpa visa ke hanya 12% daripada destinasi di dunia dan kurang daripada 1% daripada keluaran ekonomi global.

Dr. Areef Suleman, Pengarah Penyelidikan Ekonomi dan Perangkaan Institut Bank Pembangunan Islam, berkata bahawa akses tanpa visa rentas negara ke negara-negara yang ekonominya lebih stabil membantu para pelabur mengurangkan risiko khusus negara atau bidang kuasa. "Secara umumnya, akses yang lebih besar kepada keluaran ekonomi dunia adalah lebih baik kerana ia memperluaskan kumpulan produk yang tersedia kepada mana-mana individu. Walaupun ia juga boleh dicapai melalui perdagangan antarabangsa, pilihan dengan akses fizikal adalah jauh lebih besar, sekali gus memperluas penggunaan perkhidmatan yang tidak boleh dieksport seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan yang berkualiti lebih baik."

Dari segi peratusan KDNK global, AS dan China mempunyai bahagian yang besar iaitu masing-masing dengan 25% dan 19%, tetapi para pemegang pasport Amerika boleh mengakses ke 43% lagi daripada keluaran ekonomi dunia tanpa visa, yang menjadikan jumlahnya sebanyak 68%, manakala para pemegang pasport China hanya boleh mengakses tambahan 7% destinasi tanpa visa, yang menjadikan jumlahnya hanya 26% daripada KDNK global.

Melihat satu lagi kumpulan perbandingan, Korea Selatan dan Rusia mempunyai KDNK negara yang serupa iaitu kira-kira 1.9% daripada keluaran ekonomi global. Namun, Korea Selatan mempunyai skor tanpa visa sebanyak 192 buah destinasi, yang memberikan akses kepada para pemegang pasportnya ke 81% destinasi daripada KDNK global, manakala Rusia mempunyai skor tanpa visa hanya 118 buah destinasi, di mana ia memberikan akses kepada para pemegang pasportnya ke hanya 19% daripada ekonomi dunia. Prestasi India pula adalah lebih teruk, walaupun mempunyai ekonomi yang kelima terbesar di dunia: para pemegang pasportnya boleh mengakses hanya 59 buah destinasi di seluruh dunia dan hanya 6.8% daripada KDNK global, di mana KDNK negara tersebut menyumbang kira-kira separuh daripadanya.

Prof. Trevor Williams, mantan Ketua Pakar Ekonomi Lloyd's Bank Commercial Banking berkata penyelidikan tersebut membuktikan hubungan bersebab antara keupayaan untuk mengembara dengan pelaburan asing di sesebuah negara, peningkatan perdagangan dan pertumbuhan ekonomi. "Hubungan ini saling mengukuhkan dan aglomerat. Kemahiran dan bakat akan pergi ke negara yang mempunyai keupayaan untuk bekerja, melabur dan mengembara, sekali gus menarik orang lain yang ingin melakukan perkara yang sama dan mewujudkan hubungan yang positif."

Perang di Ukraine: gelombang kejutan berterusan

Perang Ukraine masih belum memberi kesan yang ketara terhadap skor yang diperolehi Rusia dan Ukraine dalam Henley Passport Index, di mana kedua-dua buah negara tersebut mengekalkan kedudukan yang hampir sama 'di atas kertas' sejak pencerobohan yang berlaku hampir setahun yang lalu. Pada masa ini, Rusia menduduki tempat ke-49 dengan skor sebanyak 118 buah destinasi, manakala Ukraine berada pada 13 kedudukan lebih tinggi dengan menduduki tempat ke-36 dan mempunyai skor sebanyak 144 buah destinasi. Walau bagaimanapun, disebabkan sekatan dan penutupan ruang udara, warganegara Rusia telah dikenakan larangan untuk melakukan perjalanan ke kebanyakan negara-negara maju, dengan pengecualian yang ketara daripada UAE dan Türkiye, yang telah menjadi tumpuan utama.

Sebaliknya, warganegara Ukraine telah diberi hak untuk tinggal dan bekerja di EU selama tiga tahun di bawah pelan kecemasan sebagai tindak balas terhadap krisis pelarian yang terbesar di Eropah pada abad ini. Ukraine yang kini menjadi pendaki tertinggi dalam Henley Passport Index, yang meningkat 24 tempat sepanjang dekad yang lalu, berkemungkin besar akan memecah masuk dalam kategori Sepuluh Teratas bagi pasport yang paling berkuasa di dunia sekiranya ia menyertai EU. Rundingan untuk keahlian dijangka akan bermula secara bersungguh-sungguh dalam beberapa bulan akan datang selepas EU meluluskan permohonan Ukraine untuk status calon EU dalam masa yang singkat sejak bulan Jun yang lalu.

Wartawan dan pengarang kewangan terkemuka, Misha Glenny berkata adalah sukar untuk membuat jangkaan yang berlebihan bagaimana konflik yang berterusan ini akan menentukan politik dan ekonomi global sepanjang tahun 2023. "Ia merupakan sebuah peperangan darat yang kejam di mana seorang askar tempur memiliki lebih banyak kepala peledak nuklear berbanding mana-mana negara lain di planet ini. Ekonomi Rusia dan Ukraine memberi pengaruh yang besar terhadap dua sektor penting ekonomi global — iaitu tenaga dan pertanian. Perkara ini telah ditunjukkan melalui kenaikan harga yang mendadak, membuatkan usaha menangani inflasi yang boleh diurus menjadi sesuatu yang berbahaya."

Walaupun negara-negara Asia masih mendominasi kedudukan teratas dalam indeks ini, kekuatan pasport negara-negara Teluk yang semakin meningkat telah dikenal pasti sebagai trend utama pada tahun akan datang. UAE telah meningkat sebanyak 49 tempat yang menakjubkan sepanjang 10 tahun yang lalu. Menduduki tempat ke-64 pada tahun 2013, dengan skor tanpa visa hanya 72 buah destinasi, UAE kini berada di tempat ke-15, dengan skor sebanyak 178 buah destinasi dan akses kepada hampir 70% daripada KDNK global. Para penganalisis menjangkakan Kuwait dan Qatar akan menandatangani perjanjian tanpa visa dengan EU pada tahun ini — suatu langkah yang akan meningkatkan skor mereka secara dramatik dalam Henley Passport Index.

Muat Turun Siaran Lengkap  

Source: Henley & Partners
Keywords: Banking/Financial Service Publishing/Information Service Travel Survey, Polls & Research