omniture

ETS Perkenalkan Ujian TOEFL® Primary™ bagi Membantu Para Pelajar Muda Bahasa Inggeris

Educational Testing Service
2014-01-27 21:00 173

PRINCETON, New Jersey, 27 Januari 2014 /PRNewswire/ -- Perkhidmatan Ujian Pendidikan (ETS) yang bertanggungjawab menghasilkan ujian TOEFL®, mengumumkan pelancaran ujian TOEFL® Primary™. Ujian ini dihasilkan terutamanya untuk para pelajar berusia 8 tahun ke atas bagi menguji kemahiran komunikasi Bahasa Inggeris serta kemajuan para pelajar di dalam kelas Bahasa Inggeris. Ujian TOEFL Primary ini merupakan tambahan terbaharu bagi Rangkaian Penilaian TOEFL yang kian berkembang dan telah melancarkan dua pelaksanaan jayanya yang pertama di Brazil dan Korea pada tahun 2013.

Ujian TOEFL Primary dihasilkan untuk:

  • Menilai kemahiran Bahasa Inggeris umum oleh para pelajar yang berusia 8 tahun dan ke atas
  • Menyediakan gambaran kemampuan setiap pelajar untuk mendengar, membaca dan bertutur
  • Menyokong pengajaran dan pembelajaran dengan memberikan maklumat tentang kebolehan pelajar yang selari dengan standard yang diterima pada peringkat antarabangsa

Penilaian tersebut memberikan maklum balas yang bermakna dan kena pada waktunya kepada para guru dan sekolah berkenaan dengan pembangunan setiap pelajar secara individu. Ujian Membaca dan Mendengar dijalankan setempat secara atas kertas dan diberi markah oleh guru. Ujian Bertutur pula dijalankan melalui komputer dan diberi markah oleh ETS.

Kini, ujian TOEFL Primary telah pun diperkenalkan di Vietnam dan beberapa lokasi lain di serata dunia.

"Ujian TOEFL Primary menawarkan kandungan yang bersesuaian dengan usia para pelajar muda dan dapat dijalankan di bawah keadaan ujian yang standard seperti di dalam persekitaran bilik darjah," kata Jennifer Brown, Pengarah Eksekutif Program TOEFL. "Penilaian ini merangkumi pembangunan kognitif, fizikal dan emosi para pelajar muda dan keputusan akan dipetakan menurut Rangka Kerja Rujukan Eropah Umum (CEFR) yang dapat membantu membina asas yang kukuh bagi kejayaan para pelajar pada masa hadapan."

Bagi membantu para pelajar untuk menimbulkan minat membaca bahan bacaan dalam Bahasa Inggeris pada usia yang muda, skor Bacaan TOEFL Primary turut dipaut kepada ukuran membaca MetaMetrics® Lexile® (http://www.metametricsinc.com/) yang menjadikannya mudah untuk mencari buku dan artikel yang bersesuaian dengan kemampuan pembacaan para pelajar dalam Bahasa Inggeris.

Bagi maklumat lanjut tentang Program TOEFL Primary, sila layari www.ets.org/toeflprimary atau hantar e-mel kepada toeflprimary@ets.org.

Latar Belakang Rangkaian Penilaian TOEFL

Rangkaian Penilaian TOEFL menawarkan kepelbagaian penilaian yang menyeluruh bagi menilai kemahiran Bahasa Inggeris yang dimiliki oleh para pelajar pelbagai peringkat usia. Rangkaian Penilaian TOEFL termasuklah ujian TOEFL Primary untuk para pelajar muda yang berusia 8 tahun ke atas; ujian TOEFL Junior® bagi program pembelajaran Bahasa Inggeris tahap sekolah pertengahan; ujian TOEFL® ITP bagi program pembelajaran Bahasa Inggeris peringkat universiti; dan ujian TOEFL iBT® untuk kemasukan universiti. Bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang Rangkaian Penilaian TOEFL, sila layari http://www.ets.org/toefl_family.

Latar Belakang ETS

Di ETS, kami meningkatkan kualiti dan ekuiti pendidikan bagi individu di serata dunia dengan menghasilkan penilaian berdasarkan kajian yang menyeluruh. ETS membantu para individu, institusi pendidikan dan agensi kerajaan dengan menyediakan penyelesaian yang disesuaikan bagi pensijilan guru, pembelajaran Bahasa Inggeris serta pendidikan peringkat rendah, menengah dan pasca menengah di samping menjalankan kajian pendidikan, analisis dan kajian dasar. Setelah ditubuhkan sebagai badan bukan keuntungan pada tahun 1947, ETS membangunkan, melaksanakan dan memberi skor lebih 50 juta ujian setiap tahun termasuk ujian TOEFL® dan TOEIC®, ujian GRE® dan penilaian The Praxis Series™ di lebih 180 negara, di lebih 9,000 tempat. www.ets.org

Source: Educational Testing Service
Keywords: Computer/Electronics Education Children-related news New products/services