ULAANBAATAR, Mongolia, 13 Januari 2023 /PRNewswire/ -- Dasar Pemulihan Baharu yang dijadikan teras ekonomi Mongolia, telah memastikan bahawa negara ini berjaya menghapuskan risiko kegagalan melunaskan hutang, menurut pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan negara tersebut.
Dalam satu taklimat akhbar, B. Javklan mengatakan bahawa berikutan pelaksanaan Dasar Pemulihan Baharu negara ini, defisit belanjawan telah menurun sebanyak 60%, eksport telah meningkat dan pertumbuhan ekonomi dinilai pada kadar 4% pada akhir tahun 2022, lebih tinggi daripada negara-negara jirannya dan telah kembali ke paras prapandemik.
Ini dilakukan bagi menyokong langkah-langkah kawalan hutang yang dilaksanakan pada tahun 2020 dan 2021, yang membolehkan negara tersebut melunaskan hutang Bon Chinggis bernilai USD6.6 juta pada bulan Disember 2022. Bank Pembangunan Mongolia turut menggiatkan lagi bayaran balik pinjaman dengan memastikan bahawa status kewangan belanjawan negara tidak akan menghalang bayaran balik bon Samurai tepat pada masanya.
Mengulas tentang perkara ini, Menteri Kewangan berkata: "Tinjauan ekonomi untuk tahun 2023 adalah positif [dan dengan demikian] pelabur asing mempercayai kerajaan dan pengurusan hutang asing negara kami. Pada saat-saat yang sukar ini di mana ekonomi global terjejas dengan teruk akibat pandemik Covid-19, inflasi telah meningkat secara mendadak di seluruh dunia, konflik antara Rusia dengan Ukraine dan dasar sifar Covid di China semakin memburukkan lagi situasi ini, namun taraf kredit Mongolia telah 'kekal stabil'.
Pencapaian ekonomi negara ini menunjukkan bahawa walaupun berlakunya kemerosotan perdagangan di seluruh dunia semasa pandemik Covid-19, negara yang kaya dengan arang batu ini telah meningkatkan eksportnya ke seluruh dunia, termasuk eksport arang batu ke China, negara jiran terdekat dan pasaran terbesar yang menjadi sasarannya. Eksport antarabangsa dijangka meningkat antara 10% hingga 15% pada tahun 2023 apabila pelabuhan sempadan tambahan dibuka.
Negara ini kini bermatlamat untuk mempelbagai dan melestarikan ekonominya bagi memastikan bahawa Mongolia dilindungi daripada anasir luar yang telah menjejaskan ekonomi negara sejak beberapa tahun yang lalu. Perhatian khusus yang ditumpukan kepada sektor pertanian, pelancongan dan tenaga boleh baharu melalui pelaksanaan Dasar Pemulihan Baharu ini, dijangka akan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara ini antara tahun 2023 hingga 2030. Seluas 117 juta hektar tanah telah diperuntukkan untuk kegunaan pertanian, menunjukkan peluang pertumbuhan yang besar dalam sektor ini.