omniture

73% CEO di seluruh dunia percaya bahawa pertumbuhan ekonomi global akan merosot dalam tempoh 12 bulan akan datang, ramalan paling pesimis dalam tempoh lebih satu dekad: Tinjauan Ketua Pegawai Eksekutif Global PwC

PwC
2023-01-17 01:45
  • Hampir 40% CEO percaya bahawa organisasi mereka tidak akan berdaya maju dari segi ekonomi dalam tempoh 10 tahun sekiranya mereka tidak melakukan sebarang perubahan 
  • Inflasi (40%), ketidaktentuan makroekonomi (31%) dan konflik geopolitik (25%) disenaraikan sebagai ancaman global utama apabila risiko siber dan kesihatan menurun sejak setahun yang lalu 
  • CEO mula mengurangkan kos, namun 60% tidak bercadang untuk mengurangkan jumlah pekerja manakala 80% tidak bercadang untuk mengurangkan pampasan dalam usaha mengekalkan bakat susulan trend 'Peletakan Jawatan Beramai-ramai' 
  • Para pemimpin di Perancis, Jerman dan UK berpandangan kurang optimis terhadap pertumbuhan domestik berbanding pertumbuhan global, manakala pemimpin di AS, Brazil, India dan China menunjukkan pandangan yang lebih optimis 
  • Permintaan pelanggan dan peraturan yang berubah-ubah, kekurangan tenaga kerja/kemahiran dan inovasi teknologi dilihat sebagai cabaran terbesar terhadap keuntungan industri dalam jangka panjang 
  • CEO melihat risiko iklim sebagai sesuatu yang akan menjejaskan profil kos dan rantaian bekalan mereka dalam tempoh 12 bulan akan datang; 58% sedang membangunkan strategi untuk mengurangkan pelepasan karbon dan risiko iklim 

NEW YORK, 16 Januari 2023 /PRNewswire/ -- Hampir tiga perempat (73%) CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) percaya bahawa pertumbuhan ekonomi global akan merosot dalam tempoh 12 bulan akan datang, menurut Tinjauan Ketua Pegawai Eksekutif Global Tahunan PwC yang ke-26 yang telah meninjau 4,410 orang CEO di 105 buah negara dan wilayah pada bulan Oktober dan November 2022.

Pandangan CEO yang suram ini merupakan suatu pandangan paling pesimis yang pernah diberikan oleh CEO tentang pertumbuhan ekonomi global sejak kami memulakan tinjauan ini 12 tahun yang lalu dan merupakan suatu perubahan yang signifikan berbanding pandangan optimis yang diberikan untuk tahun 2021 dan 2022, di mana lebih tiga perempat (masing-masing 76% dan 77%) daripada mereka berpendapat bahawa pertumbuhan ekonomi akan bertambah baik.

Hampir 40% CEO berpendapat bahawa organisasi mereka tidak akan berdaya maju dari segi ekonomi dalam tempoh satu dekad

Selain daripada persekitaran yang mencabar, hampir 40% CEO berpendapat bahawa organisasi mereka tidak akan berdaya maju dari segi ekonomi dalam tempoh satu dekad sekiranya mereka terus berada di takuk lama. Pola ini konsisten dalam pelbagai sektor, termasuk telekomunikasi (46%), pembuatan (43%), penjagaan kesihatan (42%) dan teknologi (41%). Keyakinan CEO terhadap prospek pertumbuhan syarikat mereka sendiri turut menurun secara dramatik sejak tahun lalu (-26%), penurunan terbesar sejak krisis kewangan pada tahun 2008-2009 di mana 58% keyakinan yang merosot dicatatkan.

Di peringkat global, keyakinan perniagaan terhadap pertumbuhan ekonomi berbeza dengan ketara bagi negara-negara ekonomi G7, termasuk Perancis (70% berbanding 63%), Jerman (94% berbanding 82%) dan United Kingdom (84% berbanding 71%) – kesemua negara ini dibebani dengan krisis tenaga yang berterusan – mereka lebih pesimis terhadap prospek pertumbuhan domestik berbanding pertumbuhan global.

CEO juga merasakan bahawa mereka akan menyaksikan pelbagai cabaran yang boleh mempengaruhi keuntungan mereka secara langsung dalam industri masing-masing untuk tempoh 10 tahun akan datang. Lebih separuh (56%) daripada mereka percaya bahawa permintaan/keutamaan pelanggan yang berubah-ubah akan mempengaruhi keuntungan, diikuti dengan perubahan peraturan (53%), kekurangan tenaga kerja/kemahiran (52%) dan inovasi teknologi (49%).

Inflasi, ketidaktentuan makroekonomi dan konflik geopolitik menjadi kebimbangan utama CEO 

Risiko siber dan kesihatan menjadi kebimbangan utama sejak setahun yang lalu, manakala pada tahun ini, kesan kemerosotan ekonomi kini menghantui fikiran para CEO, dengan inflasi (40%) dan ketidaktentuan makroekonomi (31%) merupakan risiko yang paling dibimbangi CEO dalam jangka pendek – iaitu 12 bulan akan datang – dan dalam tempoh lima tahun akan datang. Selain itu, 25% CEO juga merasakan bahawa kewangan mereka terdedah kepada risiko konflik geopolitik, manakala kebimbangan terhadap risiko siber (20%) dan perubahan iklim (14%) telah menurun secara relatif.

Peperangan di Ukraine dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap faktor pencetus geopolitik di bahagian lain di dunia telah menyebabkan CEO memikirkan semula aspek model perniagaan mereka, dengan hampir separuh daripada responden yang terdedah kepada konflik geopolitik mengintegrasikan pelbagai perubahan yang lebih besar ke dalam perancangan senario dan model operasi korporat sama ada dengan meningkatkan pelaburan keselamatan siber atau privasi data (48%), menyelaraskan rantaian bekalan (46%), menilai semula kehadiran di pasaran atau melakukan pengembangan ke pasaran baharu (46%), atau mempelbagaikan tawaran produk/perkhidmatan mereka (41%).

CEO mengurangkan kos tetapi tidak mengurangkan bilangan pekerja atau pampasan 

Sebagai tindak balas kepada suasana ekonomi semasa, CEO sedang berusaha mengurangkan kos dan merangsang pertumbuhan pendapatan. 52% daripada CEO melaporkan pengurangan kos operasi, manakala 51% melaporkan kenaikan harga dan 48% mempelbagaikan tawaran produk dan perkhidmatan. Walau bagaimanapun, lebih daripada separuh – 60% – mengatakan bahawa mereka tidak merancang untuk mengurangkan saiz tenaga kerja mereka dalam tempoh 12 bulan akan datang. Sebahagian besar – 80% – menunjukkan bahawa mereka tidak bercadang untuk mengurangkan imbuhan kakitangan bagi mengekalkan bakat dan mengurangkan kadar penghentian tugas tenaga kerja.

Bob Moritz, Pengerusi Global PwC berkata:

"Ekonomi yang tidak menentu, kadar inflasi yang tinggi selama beberapa dekad dan konflik geopolitik telah menyumbang kepada tahap pemikiran pesimisme CEO yang tidak kelihatan sejak lebih sedekad yang lalu. Akibatnya, CEO di seluruh dunia mula menilai semula model operasi mereka dan mengurangkan kos, namun walaupun berhadapan dengan tekanan ini, mereka terus mengutamakan dan mementingkan kakitangan untuk mengekalkan bakat ekoran trend 'Peletakan Jawatan Beramai-ramai'. Dunia terus berubah pada kadar yang tidak terhenti, dan risiko yang dihadapi oleh organisasi, manusia – dan planet ini – akan terus meningkat. Sekiranya organisasi ingin berkembang maju dan bertahan dalam tempoh beberapa tahun akan datang ia perlu mengimbangi dua faktor penting iaitu mengurangkan risiko jangka pendek dan memenuhi tuntutan operasi dengan hasil jangka panjang ini kerana perniagaan yang tidak mahu berubah tidak akan berdaya maju."

Menguruskan risiko iklim merupakan keutamaan yang semakin meningkat bagi perniagaan 

Walaupun risiko iklim tidak ditonjolkan sebagai satu risiko jangka pendek yang ketara dalam tempoh 12 bulan akan datang berbanding risiko global yang lain, CEO tetap berpendapat bahawa risiko iklim boleh memberi kesan kepada profil kos (50%), rantaian bekalan (42%) dan aset fizikal (24%) mereka pada tahap sederhana mahupun serius. CEO di China merasakan bahawa mereka benar-benar terdedah kepada risiko ini dengan 65% daripada mereka melihat potensi yang boleh memberi kesan ke atas profil kos, 71% ke atas rantaian bekalan manakala 56% ke atas aset fizikal. Menyedari kesan perubahan iklim terhadap perniagaan dan masyarakat dalam jangka panjang, sebahagian besar CEO telah pun melaksanakan – atau sedang dalam proses untuk melaksanakan – inisiatif untuk mengurangkan pelepasan karbon syarikat mereka (65%), di samping menginovasi produk dan proses baharu yang mesra iklim (61%), atau membangunkan strategi peringkat perusahaan dipacu data untuk mengurangkan pelepasan karbon dan risiko iklim (58%).

Walaupun terdapat peningkatan dari segi bilangan negara yang kini mula menentukan kos karbon, sebilangan besar responden (54%) masih tiada perancangan untuk menentukan kos karbon apabila membuat keputusan, dan lebih satu pertiga (36%) tidak merancang untuk melaksanakan inisiatif bagi melindungi aset fizikal dan/atau tenaga kerja syarikat mereka daripada kesan risiko iklim.

Kepentingan kepercayaan dan transformasi yang berterusan dalam menjana nilai jangka panjang 

CEO menyatakan keperluan untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi membina kepercayaan dan memberikan hasil yang mampan sekiranya mereka ingin menjana nilai sosial jangka panjang. Tinjauan ini mendapati bahawa apabila organisasi bekerjasama dengan entiti bukan perniagaan, tujuannya adalah untuk menangani aspek pembangunan lestari (54%), kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman (49%) serta pendidikan (49%).

Sekiranya organisasi ingin kekal berdaya maju dalam jangka masa terdekat dan jangka panjang, mereka juga mesti melabur dalam kakitangan dan agenda transformasi teknologi untuk memperkasakan tenaga kerja mereka. Dari segi teknologi, hampir tiga perempat (76%) organisasi menyatakan bahawa mereka melabur untuk mengautomasikan proses dan sistem, menggunakan sistem untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja dalam bidang-bidang utama (72%), serta menggunakan teknologi seperti awan, AI dan teknologi canggih yang lain (69%).

Walau bagaimanapun, ramai CEO mempersoalkan sama ada prasyarat penting untuk pemerkasaan dan keusahawanan organisasi – seperti penyelarasan nilai-nilai syarikat dan galakan pemimpin terhadap perbezaan dan perdebatan – wujud dalam syarikat mereka bagi menangani risiko yang semakin kompleks yang dihadapi oleh organisasi. Sebagai contoh, hanya 23% daripada CEO mengatakan bahawa pemimpin dalam syarikat mereka sering/biasanya membuat keputusan strategik tentang fungsi masing-masing tanpa merujuk kepada CEO. Selain itu, hanya 46% daripada CEO mengatakan bahawa pemimpin dalam syarikat mereka seringkali/biasanya boleh menerima kegagalan berskala kecil. Walau bagaimanapun, hampir 9 daripada 10 (85%) responden secara optimis menyatakan bahawa tingkah laku pekerja mereka seringkali atau biasanya sejajar dengan nilai dan hala tuju syarikat.

Berada di persimpangan antara tuntutan jangka pendek dengan transformasi jangka panjang, CEO mengatakan bahawa mereka lebih banyak meluangkan masa untuk memacu prestasi operasi semasa (53%), berbanding mengembangkan perniagaan dan strategi untuk memenuhi permintaan masa depan (47%). CEO mengatakan bahawa sekiranya mereka diberi peluang untuk menyusun semula jadual, mereka akan meluangkan lebih banyak masa untuk memenuhi permintaan masa depan (57%).

Bob Moritz, Pengerusi Global PwC menyimpulkan:

"Risiko yang dihadapi oleh organisasi dan masyarakat pada hari ini tidak dapat ditangani secara bersendirian mahupun berasingan. Oleh itu, CEO perlu terus bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan sektor awam dan swasta untuk mengurangkan risiko tersebut dengan berkesan, membina kepercayaan dan menjana nilai jangka panjang untuk perniagaan, masyarakat dan planet."

Perihal data tinjauan: PwC meninjau 4,410 orang CEO pada bulan Oktober dan November 2022. Angka-angka global dan serantau dalam laporan ini diambil kira mengikut kadar KDNK nominal negara atau serantau untuk memastikan pandangan CEO mewakili semua rantau utama. Angka-angka di peringkat industri dan negara adalah berdasarkan data yang seimbang daripada keseluruhan sampel yang melibatkan seramai 4,410 orang CEO. Temu bual telah dijalankan dengan CEO daripada tiga rantau global (Amerika Utara, Eropah Barat dan Asia Pasifik). Dapatan lengkap ini boleh diakses di pwc.com dan temu bual bersama CEO boleh didapati di strategy-business.com/mindoftheceo

Tentang PwC: Di PwC, matlamat kami adalah untuk membina kepercayaan masyarakat dan menyelesaikan masalah penting. Kami merupakan sebuah rangkaian firma yang berada di 152 buah negara dengan hampir 328,000 pekerja yang komited untuk memberi perkhidmatan jaminan, nasihat dan percukaian yang berkualiti. Ketahui lebih lanjut dan maklumkan kepada kami hal-hal yang penting bagi anda dengan melawati kami di www.pwc.com. PwC merujuk kepada rangkaian PwC dan/atau salah satu atau lebih firma anggotanya yang masing-masing merupakan entiti berasingan yang sah di sisi undang-undang. Sila layari www.pwc.com/structure untuk maklumat lanjut. © PwC 2022. Hak cipta terpelihara.

 

Hubungan media: Ryan Stanton, Pengarah Urusan, Hal Ehwal Korporat Dan Komunikasi Global PwC AS: ryan.m.stanton@pwc.com / Di lapangan di Davos: Andrea Plasschaert, Pakar Strategi Kempen, Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi Global, PwC Switzerland: andrea.plasschaert@pwc.ch / Dan Barabas, Pengurus, Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi Global, PwC UK: +44 7483 3785, dan.barabas@pwc.com

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1121790/PWC_Logo.jpg?p=medium600

 

 

Source: PwC
Keywords: Banking/Financial Service Computer Software Computer/Electronics High Tech Security Workforce Management/Human Resources Economic news, trends, analysis Survey, Polls & Research Data Analytics