-The Waters of Olympic Park Dipertunjukkan semasa Majlis Perasmian
LOS ANGELES, 7 Februari 2014 /PRNewswire/ -- WET, syarikat rekaan binaan air pemegang anugerah yang berpusat di selatan California serta bertanggungjawab untuk binaan air dan api yang paling ikonik di dunia, termasuk Fountains of Bellagio yang terkemuka di Las Vegas, hari ini mempertunjukkan rekaan terkininya, The Waters of Olympic Park, semasa Majlis Perasmian Sukan Olimpik Musim Sejuk 2014 di Sochi, Rusia.
(Foto: http://photos.prnewswire.com/prnh/20140207/LA59352)
Diilhamkan, direka, dibina dan turut dihasilkan oleh WET secara khas untuk Sukan Sochi, The Waters of Olympic Park ialah karya pameran teknologi yang kreatif dengan aliran air, tiupan kabus dan mainan cahaya yang direka tari. Semua unsur membuat persembahan seiringan, di bawah arahan pereka tari veteran WET, mengikut muzik komposer Rusia, termasuk Tchaikovsky serta Khachaturian, bagi meraikan Sukan Olimpik Musim Sejuk ke-22.
Selain dipertunjukkan semasa Majlis Perasmian dan Penutup, The Waters of Olympic Park bertindak sebagai pusat Plaza Pingat dan juga latar untuk acara penganugerahan pingat. Ia juga direka untuk berfungsi sebagai tarikan utama sosial serta hab hiburan bagi para atlet, pengunjung dan penonton seluruh dunia. Firma kontrak awam Rusia Stroi International mencipta persekitaran yang menempatkan air terjun itu. Berikutan penutupan acara Sukan itu, air terjun itu akan dihadiahkan kepada bandar Sochi dan akan kekal sebagai tarikan di sana.
The Waters of Olympic Park mempunyai diameter yang berukuran 75.3 meter (kira-kira 247 kaki) dan boleh menampung kira-kira 700,000 gelen air. Rekaannya memaparkan lima cecincin Olimpik simbolik yang dibentuk daripada ratusan Shooters® kuasa udara WET yang memancutkan tiang air menegak setinggi 70 meter (230 kaki) ke udara. Diselang-selikan antara Shooters® itu ialah muncung robotik WET yang dikawal oleh pergerakan, lalu mencipta tebaran air yang menari-nari di atas basin air pancut itu. Pusaran kabus juga meluncur di atas permukaan air, lantas mencipta aura debaran sebelum pancutan air segerak menerjah dari bawahnya. Pada waktu malam, tiang air itu bertukar menjadi percikan bunga api cecair yang terang-benderang, dengan gemerlapan ratusan lampu pentas berkuasa LED bawah air (lampu LED berwarna paling terang di dunia). Drama itu dihebatkan lagi dengan kesan "langit malam", apabila ribuan "bintang" berkelipan muncul di sebalik air pancut itu, dengan memantulkan muka langit sebenar.
Menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif WET Mark Fuller, "WET berbangga dan kami seronok dapat menjadi sebahagian daripada Sukan Olimpik Musim Sejuk Sochi 2014. Sukan ini secara harfiahnya ialah pengumpulan bersama atlet, negara dan juga rakyat yang meraikan kecemerlangan serta semangat persaingan sihat. Inilah apa yang mengilhamkan inovasi dan turut memacu kejayaan. Pencarian kecemerlangan ini juga merupakan teras WET dan kami teruja dapat mengekspresikan semangat kami melalui hasil karya kami semasa acara global luar biasa ini."
Teknologi milikan yang digunakan dalam The Waters of Olympic Park semuanya dicipta, dibina dan turut dihasilkan oleh WET bagi menghasilkan pengalaman penuh keajaiban, beremosi dan tersendiri. Walaupun semua unsur ciptaan WET yang canggih dan hebat itu diilhamkan serta dihasilkan di Amerika Syarikat, matlamat rekaan air pancut itu adalah untuk menjadi simbol masyarakat tempat tersergamnya binaan itu.
Sejak penubuhannya pada tahun 1983, WET telah mencipta lebih 220 binaan air di lebih 20 negara di lima benua. Memegang lebih 100 paten dan turut menggaji lebih 200 pereka, jurutera, arkitek, ahli sains, juruanimasi serta pereka tari, WET mereka dan menghasilkan semua unsur binaan air mereka di dalam pusat penyelidikan mereka yang seluas 50,000 kaki persegi, kemudahan penghasilan seluas 60,000 kaki persegi dan juga studio rekaan seluas 8,000 kaki persegi, yang semuanya ditempatkan di kampusnya di wilayah Burbank/Sun Valley, Los Angeles, California. Diiktiraf sebagai salah satu daripada "Syarikat Paling Inovatif" milik Fast Company pada tahun 2010, WET telah menggondol banyak anugerah rekaan dan perniagaan, serta pernah dipaparkan dalam The New Yorker, The New York Times, Los Angeles Times dan juga CBS Sunday Morning. Selain Fountains of Bellagio, projek WET yang lain termasuklah The Dubai Fountain (air pancut terbesar di dunia), Salt Lake City 2002 Winter Olympic Cauldron, Efteling di Kepulauan Netherlands, dan juga Revson Fountain at Lincoln Center for the Performing Arts. Bagi maklumat lanjut sila lawati www.wetdesign.com.