omniture

Rainwater Charitable Foundation Mengumumkan Pemenang Hadiah Rainwater Tahunan Kali Keempat untuk Penyelidikan Otak

The Rainwater Charitable Foundation
2023-01-26 22:00 0

Penerima anugerah ini diiktiraf atas penemuan saintifik inovatif mereka bagi penyakit neurodegeneratif 

FORT WORTH, Texas, 26 Januari 2023 /PRNewswire/ -- Rainwater Charitable Foundation, salah satu pembiaya bebas terbesar bagi penyelidikan penyakit neurodegeneratif, hari ini mengumumkan penerima Hadiah Rainwater Tahunan untuk Inovasi Cemerlang dalam Penyelidikan Penyakit Neurodegeneratif dan untuk Saintis di Peringkat Awal Kerjaya yang Inovatif pada tahun ini. Hadiah Inovasi Cemerlang pada tahun ini akan dianugerahkan kepada pasukan: Dr. C. Frank Bennett, Ionis; Dr. Don W. Cleveland, Universiti San Diego California (UCSD); dan Dr. Timothy M. Miller, Universiti Washington. Dr. Susanne Wegmann, Pusat Penyakit Neurodegeneratif Jerman (DZNE) akan dianugerahkan Hadiah Rainwater untuk Saintis di Peringkat Awal Kerjaya yang Inovatif. Hadiah ini akan disampaikan semasa Persidangan Eurotau 2023 pada 27 April 2023 di Lille, Perancis.

Program Hadiah Rainwater ini mengiktiraf kemajuan saintifik bagi rawatan baharu penyakit neurodegeneratif yang dikaitkan dengan pengumpulan protein tau dalam otak dan memupuk penemuan saintifik dengan meningkatkan kesedaran tentang jurang dalam penyelidikan neurodegeneratif dengan membawa para penyelidik baharu memasuki bidang tauopati serta memberikan penghargaan kepada pencapaian saintifik yang boleh membawa kepada rawatan yang inovatif dan berkesan.

Hadiah Rainwater untuk Inovasi Cemerlang dalam Penyelidikan Penyakit Neurodegeneratif akan dikongsi oleh: 

Kolaborator Dr. Bennett, Dr. Cleveland dan Dr. Miller atas usaha mereka memajukan teknologi antideria untuk rawatan penyakit neurodegeneratif termasuk ALS, penyakit Huntington, penyakit Alzheimer dan tauopati sepanjang 20 tahun yang lalu.

  • Dr. Bennett, Ketua Pegawai Saintifik Ionis terus memajukan teknologi antideria dan mengembangkan platform penyelidikan ubat-ubatan Ionis. Beliau telah melakukan kerja berkaitan oligonukleotida antideria sejak 30 tahun yang lalu. Beliau mula menyelidik potensi teknologi antideria bagi membangunkan terapi untuk ALS dan atrofi otot spina (SMA) sejak hampir 20 tahun lalu. Ubat pertama untuk rawatan SMA, iaitu nusinersen, telah diluluskan oleh FDA pada tahun 2016 dan seterusnya telah diluluskan di lebih 50 buah negara di seluruh dunia. Beliau kini sedang mengusahakan rawatan untuk penyakit Huntington yang sedang dalam ujian klinikal peringkat akhir serta mengetuai penemuan dan pembangunan ubat-ubatan lain untuk penyakit neurologi.
  • Dr. Cleveland, Pengerusi merangkap Profesor Terbilang Perubatan Selular dan Molekul di UC San Diego, telah menemui, menulen dan menentukan ciri-ciri protein tau, yang merupakan komponen utama deposit filamen intrasel yang mentakrifkan beberapa penyakit neurodegeneratif termasuk Kelumpuhan Supranukleus Progresif. Bersama-sama dengan Bennett dan Miller, beliau telah membangunkan ubat DNA pereka yang menggunakan teknologi yang dapat menyenyapkan gen dalam sistem saraf manusia yang telah dikaji dalam tujuh ujian klinikal yang berbeza yang bertujuan untuk merawat penyakit ALS, Penyakit Huntington, Penyakit Parkinson dan Penyakit Alzheimer.
  • Dr. Miller, Naib Pengerusi Penyelidikan dan Profesor Neurologi David Clayson di Sekolah Perubatan Universiti Washington di St. Louis, telah menjadi ketua selama lebih dua dekad dalam membantu mencari terapi yang berkesan untuk penyakit neurodegeneratif termasuk ALS dan tauopati. Pada tahun 2007, Dr. Miller telah mencipta sebuah program penyelidikan translasi ALS dan melancarkan ujian yang memberangsangkan untuk meningkatkan kehidupan individu yang mengalami gangguan neurologi. Hasil keputusan terkini menggunakan ASO SOD1 yang dibangunkan bersama-sama dengan Cleveland dan Bennett menunjukkan kesan yang dramatik dalam memperlahankan ALS SOD1. Makmal beliau telah mengetuai peringkat awal pembangunan BIIB080/IONIS-MAPTRx, sejenis ubat antideria yang mengurangkan mRNA dan protein tau sebagai terapi untuk tauopati.

"Anugerah ini merupakan suatu penghormatan dan saya berharap dapat menggunakan pembiayaan penyelidikan ini untuk memajukan usaha generasi seterusnya," kata Dr. Cleveland. "Wang daripada Hadiah Rainwater akan membantu meneruskan pembangunan strategi untuk mengembangkan neuron baharu dan menahan perkembangan Tau secara kronik."

Hadiah Rainwater untuk Saintis di Peringkat Awal Kerjaya yang Inovatif: 

  • Dr. Wegmann, Ketua Kumpulan Penyelidikan DZNE sedang mengkaji tindakan protein tau dalam penyakit neurodegeneratif dengan menggunakan model dan metodologi eksperimen yang berbeza untuk mengetahui fungsi biasa dan disfungsi tau dalam otak yang berpenyakit. Beliau mencari cara untuk menguasai lonjakan translasi yang sukar daripada tabung uji kepada manusia, dengan mengesahkan hasil biokimia, biofizikal dan sitologi pada tisu otak manusia postmortem. Minat umum beliau dalam menyelesaikan masalah-masalah sukar telah mendorong beliau untuk mendapat ijazah kejuruteraan dan kemudian berkembang ke bidang biofizik dan patologi otak tau. Pada masa ini, Wegmann dan kumpulannya memberi tumpuan untuk mengenal pasti interaksi baharu Tau dan menentukan peranan pemisahan fasa tau dalam penyakit Alzheimer dan tauopati.

"Saya berasa sangat berbesar hati! Dengan hadiah wang tersebut, saya akan terus mendorong penyelidikan saya ke arah bagaimana protein tau ini dapat memberikan kesan toksik dalam cara yang berbeza yang tidak difahami sepenuhnya," kata Dr. Wegmann. "Kami belum memahami fungsi sebenar protein ini lagi dan akan cuba memperluas pengetahuan kami tentang biologi asasnya untuk membantu dalam penyelidikan penyakit."

Dr. Cleveland, Bennett, Miller dan Wegmann telah dicalonkan untuk Hadiah Inovasi Cemerlang ($400,000) dan Hadiah Kerjaya di Peringkat Awal ($200,000) Rainwater berdasarkan penyelidikan yang diterbitkan dan disemak oleh rakan sebidang yang menyumbang secara signifikan kepada penyelidikan penyakit neurodegeneratif. Mereka telah dipilih berdasarkan kualiti penyelidikan dan kebolehgunaan kepada tauopati, kepemimpinan, bimbingan dan impak positif dalam komuniti saintifik.

"Saya berasa amat teruja dengan pemenang Hadiah Rainwater pada tahun ini," kata Todd Rainwater, Pemegang Amanah Rainwater Charitable Foundation. "Penyampaian Hadiah Inovasi Cemerlang ini kepada sekumpulan saintis yang bekerjasama memajukan usaha penyelidikan ubat-ubatan mengiktiraf kepentingan sains secara berpasukan. Pemilihan Dr. Wegmann untuk hadiah kerjaya di peringkat awal bagi tahun ini menekankan penemuan saintifik menarik yang berlaku di Eropah dan di seluruh dunia. Saya tahu bahawa ayah saya sangat berbangga dengan para saintis ini dan kemajuan penting mereka dalam bidang ini."

Untuk maklumat lanjut tentang para pemenang hadiah tahun ini, sila layari www.rainwaterprize.org.

Tentang Penyelidikan Perubatan Rainwater Charitable Foundation
Rainwater Charitable Foundation (RCF) telah ditubuhkan pada awal tahun 1990-an oleh pelabur ekuiti swasta dan dermawan terkenal, Richard E. Rainwater. RCF menyokong pelbagai program dalam pendidikan K-12, penyelidikan perubatan dan lain-lain aktiviti yang layak. Untuk melaksanakan misinya bagi mempercepat pembangunan diagnostik dan rawatan baharu untuk gangguan neurodegeneratif yang berkaitan dengan tau, Pasukan Penyelidikan Perubatan Rainwater Charitable Foundation menguruskan Konsortium Tau dan Program Hadiah Rainwater. Dengan lebih $161 juta pelaburan dalam penyelidikan perubatan setakat ini, Rainwater Foundation telah membantu memajukan lapan jenis rawatan dalam ujian kepada manusia. Untuk maklumat lanjut, sila layari rainwatercharitablefoundation.org. 

Hubungan Korporat: 
Jordan Brainerd 
Rainwater Charitable Foundation
jbrainerd@rainwatercf.org
(817) 820-2708 

Hubungan Media: 
Shannon Fox
Edelman
shannon.fox@edelman.com 
(646) 262-7427

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1989850/RCF_Logo.jpg?p=medium600 

Source: The Rainwater Charitable Foundation
Keywords: Banking/Financial Service Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Awards Not for profit