omniture

ROYAL CANADIAN MINT MENGHARGAI SEJARAH BANGSA KULIT HITAM DENGAN MENGELUARKAN SYILING YANG MEMBERI PENGHORMATAN KEPADA SUKARELAWAN KANADA BERBANGSA KULIT HITAM BATALION PEMBINAAN NO. 2

Royal Canadian Mint (RCM)
2023-01-30 22:00

OTTAWA, ONTARIO, 30 Januari 2023 /PRNewswire/ -- Batalion Pembinaan No. 2, satu-satunya unit bersaiz batalion yang terdiri daripada orang kulit hitam dalam sejarah ketenteraan Kanada, diberi penghormatan melalui pengeluaran syiling tahun 2023 bagi siri Memperingati Sejarah Bangsa Kulit Hitam oleh Royal Canadian Mint. Pada tahun-tahun awal berlakunya Perang Dunia Pertama, beratus-ratus warga Kanada berkulit hitam berhasrat untuk berkhidmat sebagai tentera Kanada, namun perkauman menghalang ramai di antara mereka daripada menyertai rakan senegara berkulit putih di medan perang di luar negara. Pada tahun 1916, pelobian yang berterusan dan permintaan daripada British untuk batalion buruh memberi peluang kepada unit dengan anggota berkulit hitam untuk ditubuhkan. Batalion Pembinaan No. 2 dibentuk untuk berkhidmat bersama-sama dengan Kor Perhutanan Kanada di kawasan hutan Perancis. Mereka membantu dalam operasi pembalakan dan pengilangan, termasuk pemuatan dan pengangkutan kayu yang telah siap diproses menggunakan kereta api. Hasil kayu ini sangat penting dalam usaha Pihak Bersekutu menghadapi peperangan, iaitu membentuk parit pelindung, menyokong pos pemerhatian dan membina pesawat di Perancis. Beberapa anggota Batalion turut bertempur dan mengalami kecederaan semasa berkhidmat dengan unit Pasukan Ekspedisi Kanada yang lain. Batalion itu kembali ke Kanada pada awal tahun 1919 dan telah dibubarkan pada tahun 1920.

Selepas pelbagai penyelidikan, penulisan, penceritaan dan sokongan, keturunan kepada Batalion Pembinaan No. 2 dan sekutu mereka berjaya memperjuangkan kempen permohonan maaf secara rasmi atas masalah perkauman dan diskriminasi yang dialami oleh anggota batalion tersebut, yang mana permohonan maaf tersebut telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Justin Trudeau, Perdana Menteri Kanada dan Yang Berhormat Anita Anand, Menteri Pertahanan Negara, kepada ahli keturunan batalion tersebut yang berhimpun di Truro, Nova Scotia pada 9 Julai 2022.

Dikeluarkan bersempena dengan sambutan tahunan Bulan Sejarah Bangsa Kulit Hitam, Syiling Perak Tulen $20 2023 – Memperingati Sejarah Bangsa Kulit Hitam ini menghargai khidmat bakti dan pengorbanan anggota Batalion Pembinaan No. 2. Ia boleh didapati mulai hari ini.

"Semasa Perang Dunia Pertama tercetus, ramai lelaki berkulit hitam merasa terpanggil untuk berkhidmat kepada negara mereka. Namun ramai yang ditolak disebabkan oleh sentimen perkauman terhadap bangsa kulit hitam. Setelah bertahun-tahun melobi, Batalion Pembinaan No. 2 telah diluluskan pada tahun 1916," kata Russell Grosse, Pengarah Eksekutif Pusat Kebudayaan Bangsa Kulit Hitam Nova Scotia. "Lelaki-lelaki berani ini terpaksa memperjuangkan hak mereka untuk berkhidmat, dan mereka telah memberikan sokongan logistik yang berharga kepada barisan hadapan. Syiling ini memperingati legasi luar biasa Batalion Pembinaan No. 2 dan dihasilkan susulan permohonan Maaf rasmi yang diberikan oleh Kerajaan Kanada pada musim panas yang lalu untuk memastikan bahawa sejarah penting ini diingati."

"Mereka yang sanggup menawarkan diri untuk berkhidmat kepada negara kita berhak diberi penghormatan. Namun sudah terlalu lama—dan hanya disebabkan oleh warna kulit mereka—anggota-anggota Batalion Pembinaan No. 2 ini tidak menerima pengiktirafan sewajarnya atas khidmat bakti terhadap Kerajaan Kanada," kata Yang Berhormat Chrystia Freeland, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Kanada. "Kita mempunyai tanggungjawab untuk mengingati pengorbanan mereka, dan syiling ini akan membantu memastikan bahawa lebih ramai rakyat Kanada yang akan mengetahui dan memberi penghormatan kepada mereka yang memperjuangkan hak untuk berkhidmat dengan berani sebagai anggota tentera."

"Walaupun menghadapi diskriminasi sebelum, semasa dan selepas perkhidmatan mereka dalam Perang Dunia Pertama, anggota Batalion Pembinaan No. 2 ini telah berkhidmat dengan berani untuk negara kita. "Kita terhutang budi dengan mereka selama-lamanya," kata Yang Berhormat Anita Anand, Menteri Pertahanan Negara. "Bersama-sama dengan permohonan maaf rasmi Kanada kepada ahli-ahli dan keturunan Batalion ini pada musim panas lalu, syiling ini akan memperingati sumbangan mereka yang luar biasa serta membantu meningkatkan kesedaran tentang Batalion ini. Hari ini, kami menyatakan rasa terima kasih kami kepada mereka yang berani ini dan berikrar untuk tidak melupakan khidmat bakti mereka kepada Kanada."

Reka bentuk bahagian belakang syiling perak tulen 99.99% oleh seniman Kwame Delfish ini menampilkan seorang askar Batalion Pembinaan No. 2 yang sedang berdiri tegak di antara dua landasan kereta api. Lencana topi batalion dipamerkan dengan jelas di sebelah kanannya, bersebelahan dengan landskap wilayah Jura di Perancis, tempat di mana batalion ini membantu melakukan pembalakan dan membina landasan kereta api. Di sebelah kirinya pula, rakan-rakan batalionnya berkawat dalam perarakan sebelum mereka ditempatkan ke Eropah pada bulan Mac 1917.

"Kewujudan dan pencapaian Batalion Pembinaan No. 2 ini merupakan sebahagian daripada sejarah Kanada yang akan diperakui, diraikan dan diberi penghormatan buat selama-lamanya," kata seniman Kwame Delfish. "Saya berharap agar saya dapat menzahirkan kekuatan dan daya ketahanan lelaki-lelaki yang dihormati ini, sambil meningkatkan kesedaran tentang peranan penting Batalion Pembinaan No. 2 ini dalam Angkatan Tentera Kanada."

Bahagian hadapan syiling ini menampilkan reka bentuk yang telah dikemas kini yang akan muncul pada syiling koleksi dan bulion 2023 sehinggalah bahagian hadapan kekal yang baharu, diterima pakai pada syiling Kanada.  Ukiran wajah Ratu Elizabeth II rekaan Susanna Blunt yang berlatar belakangkan corak daun mapel yang berulang-ulang turut disertakan dengan tanda khas yang terdiri daripada inskripsi menegak tahun "1952" dan "2022", dipisahkan oleh empat mutiara yang melambangkan empat ukiran wajah yang menghiasi syiling Kanada di sepanjang pemerintahan beliau. 

"Royal Canadian Mint berasa bangga kerana dapat terus menyokong sambutan kebangsaan Bulan Sejarah Bangsa Kulit Hitam dengan syiling perak cantik yang menyerlahkan kisah Batalion Pembinaan No. 2 yang amat diperlukan," kata Marie Lemay, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Royal Canadian Mint. "Setiap syiling baharu yang dikeluarkan menjadi satu penambahan bahagian kepada satu karya mozek luar biasa yang mewakili sejarah Kanada dan kami berasa gembira kerana dapat mengabadikan pencapaian terhormat anggota Batalion Pembinaan No. 2 secara kekal pada syiling perak yang indah yang boleh diwariskan daripada generasi ke generasi." 

Pencetakan adalah terhad kepada 5,500 keping Syiling Perak Tulen $20 2023 Memperingati Sejarah Bangsa Kulit Hitam - Batalion Pembinaan No. 2 dijual pada harga $99.95. Koleksi baharu ini boleh dipesan hari ini dengan menghubungi Mint di talian 1-800-267-1871 di Kanada, 1-800-268-6468 di AS atau di www.mint.ca. Ia juga boleh didapati di butik Royal Canadian Mint di Ottawa dan Winnipeg, di cawangan Canada Post yang mengambil bahagian serta melalui rangkaian penjual dan pengedar global Mint.

Imej syiling ini boleh didapati di sini.

Tentang Royal Canadian Mint

Royal Canadian Mint ialah perbadanan Crown yang bertanggungjawab untuk mencetak dan mengedar syiling edaran Kanada. Mint merupakan salah sebuah pembuat syiling terbesar dan paling serba boleh di dunia, menawarkan pelbagai produk syiling khusus dan berkualiti tinggi serta perkhidmatan berkaitan pada skala antarabangsa. Untuk maklumat lanjut tentang Mint, produk dan perkhidmatannya, sila layari www.mint.ca.  Ikuti Mint di Twitter, Facebook dan Instagram.

Pihak media diminta untuk menghubungi: Alex Reeves, Pengurus Kanan Perhubungan Awam, Telefon: 613-884-6370, reeves@mint.ca

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1991497/Royal_Canadian_Mint_ROYAL_CANADIAN_MINT_HONOURS_BLACK_HISTORY_WI.jpg?p=medium600

Source: Royal Canadian Mint (RCM)
Related Stocks:
Toronto:MNT
Keywords: Banking/Financial Service Black-oriented news Veterans Canadian Federal Government Public Interest