omniture

LyondellBasell Bergerak Dengan Pantas Bagi Mencapai Sasaran Elektrik Boleh Baharu Global 2030

LyondellBasell
2023-02-02 20:00

ROTTERDAM, Belanda dan HOUSTON, 2 Februari  2023 /PRNewswire/ -- LyondellBasell hari ini mengumumkan bahawa ia telah menandatangani dua perjanjian pembelian kuasa (PPA) bagi elektrik boleh baharu buat pertama kali di Eropah dan dua PPA tambahan di Amerika Syarikat. Gabungan kontrak tambahan ini mewakili kapasiti tenaga boleh baharu bejumlah kira-kira 560 megawatt (MW). LyondellBasell kini telah menandatangani lapan perjanjian PPA dan mencapai lebih separuh daripada sasaran tahun 2030 untuk memperoleh sekurang-kurangnya 50 peratus tenaga elektrik global daripada sumber boleh baharu. PPA ini akan menjana lebih 2.6 juta megawatt jam (MWj) elektrik boleh baharu setiap tahun dan mengurangkan pelepasan skop 2 LyondellBasell sebanyak hampir 1 juta tan metrik pelepasan karbon yang bersamaan dengan pelepasan yang dikaitkan dengan penggunaan elektrik tahunan di lebih 370,000 buah rumah.

(PRNewsFoto/LyondellBasell)
(PRNewsFoto/LyondellBasell)

"Penyahkarbonan bekalan elektrik melalui pembelian elektrik boleh baharu adalah penting dalam memenuhi sasaran pelepasan gas rumah hijau sifar bersih LyondellBasell bagi tahun 2030 dan tahun 2050," kata Willemien Terpstra, Naib Presiden Penyahkarbonan LyondellBasell. "Kontrak elektrik boleh baharu ini meliputi hampir satu pertiga daripada penggunaan elektrik garis dasar tahun 2020 kami. Ini menunjukkan kemajuan yang ketara dalam mencapai matlamat keseluruhan kami untuk mengurangkan pelepasan skop 1 dan 2 sebanyak 42% menjelang tahun 2030, berbanding garis dasar pada tahun 2020."

Projek PPA Maya Nordic

LyondellBasell telah menandatangani PPA untuk pelbagai projek di Nordic dan operasinya dijangka akan bermula pada suku pertama tahun 2026. Projek ini mewakili kapasiti tenaga boleh baharu bagi pihak LyondellBasell yang berjumlah kira-kira 230 MW.

Projek Solar PPA Tarragona

Projek Solar Tarragona ini merupakan projek PPA fizikal yang pertama dan terletak di kemudahan pengeluaran LyondellBasell di Sepanyol. Projek ini dijangka akan memulakan operasi pada suku ketiga tahun 2023 dengan kapasiti tenaga boleh baharu berjumlah kira-kira 5 MW. Elektrik ini akan membantu mengurangkan 17 peratus pelepasan Skop 2 di peringkat tempatan dalam pengeluaran sebatian polipropilena yang digunakan dalam penggunaan automotif.

Projek PPA Maya Amerika Utara 

LyondellBasell telah menandatangani dua PPA tambahan di Amerika Syarikat. Projek ini terletak di Texas dengan kapasiti tenaga boleh baharu bagi pihak LyondellBasell yang berjumlah kira-kira 320 MW.

Untuk maklumat lanjut tentang sasaran kelestarian syarikat, sila klik di sini.

Tentang LyondellBasell
Sebagai peneraju dalam industri kimia global, LyondellBasell berusaha setiap hari untuk menjadi syarikat yang paling selamat, dikendalikan dengan cara terbaik dan paling bernilai dalam industri kami. Produk, bahan dan teknologi syarikat ini memajukan penyelesaian lestari dari segi keselamatan makanan, akses kepada air bersih, penjagaan kesihatan dan bahan api cekap di lebih 100 pasaran antarabangsa. LyondellBasell meletakkan keutamaan yang tinggi terhadap kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman serta Menggalakkan Kebaikan dengan penekanan kepada planet, komuniti tempat kami beroperasi serta tenaga kerja kami pada masa hadapan. Syarikat ini berbangga dengan teknologi bertaraf dunia serta fokusnya kepada para pelanggan. LyondellBasell telah meningkatkan aspirasi dan tindakan kitaran serta iklimnya untuk menangani cabaran global terhadap sisa plastik dan penyahkarbonan.  Untuk maklumat lanjut, sila layari www.LyondellBasell.com atau ikuti @LyondellBasell di LinkedIn.

Pernyataan Berpandangan ke Hadapan
Pernyataan dalam siaran ini yang berkaitan dengan perkara yang bukan fakta sejarah ialah pernyataan berpandangan ke hadapan. Pernyataan berpandangan ke hadapan ini adalah berdasarkan andaian pihak pengurusan LyondellBasell yang dipercayai munasabah semasa pernyataan ini dibuat dan tertakluk kepada risiko serta ketidakpastian yang ketara. Keputusan sebenar boleh berbeza secara material berdasarkan beberapa faktor termasuk, tetapi tidak terhad kepada, ketersediaan, ketidaktentuan kos dan harga utiliti; keupayaan kami untuk memenuhi matlamat kelestarian kami, termasuk keupayaan kami untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mencapai pelepasan karbon sifar dalam tempoh yang ditentukan dalam matlamat kami; keupayaan kami untuk mendapatkan tenaga daripada sumber boleh baharu serta mencapai matlamat tenaga boleh baharu dan tenaga rendah karbon kami; dan kejayaan pembinaan serta operasi projek yang diterangkan dalam siaran ini. Faktor tambahan yang boleh menyebabkan keputusan berbeza secara material daripada yang diterangkan dalam pernyataan berpandangan ke hadapan ini boleh didapati dalam bahagian "Faktor Risiko" Borang 10-K kami untuk tahun yang berakhir pada 31 Disember 2021, yang juga boleh didapati di www.LyondellBasell.com pada halaman Perhubungan Pelabur dan pada laman web Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa di www.sec.gov. Tiada jaminan bahawa mana-mana tindakan, peristiwa atau hasil pernyataan berpandangan ke hadapan ini akan berlaku, atau sekiranya mana-mana perkara ini berlaku, tiada jaminan tentang kesannya terhadap hasil operasi atau keadaan kewangan kami. Pernyataan berpandangan ke hadapan ini hanya benar pada tarikh ia dibuat dan berdasarkan anggaran serta pendapat pihak pengurusan LyondellBasell ketika ia disediakan. LyondellBasell tidak bertanggungjawab untuk mengemas kini pernyataan berpandangan ke hadapan ini sekiranya keadaan atau anggaran atau pendapat pihak pengurusan berubah, kecuali jika dikehendaki oleh undang-undang.

Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1994663/Jan_PPA_Press_Release_Graphic_flyer.jpg?p=medium600
Logo - https://mma.prnasia.com/media2/562522/LYB_Advancing_Possible_Logo.jpg?p=medium600

 

 

Source: LyondellBasell
Related Stocks:
NYSE:LYB
Keywords: Alternative Energies Chemical Electrical Utilities Environmental Products & Services Green Technology Oil/Energy Utilities