-- Perjanjian penjanaan kuasa pertama ditandatangani oleh syarikat yang berpangkalan di AS bersama kerajaan Myanmar sejak pemansuhan sekatan pada tahun 2013
JACKSONVILLE, Florida, 13 Februari 2014 /PRNewswire/ -- APR Energy, peneraju global bagi penyelesaian kuasa pantas, hari ini mengumumkan pemeteraian kontrak kuasa siap guna yang berskala besar di Myanmar. Kemudahan ini akan menyediakan jaminan penjanaan kuasa minimum sebanyak 82 megawatt (MW) kepada Myanmar Electric Power Enterprise (MEPE) dengan kapasiti loji yang mampu membekalkan sehingga 100MW. Kemudahan APR Energy yang berpangkalan di Kyaukse, Wilayah Mandalay serta dikuasakan dengan gas asli akan menjadi salah satu daripada loji terma terbesar di negara ini dan juga mampu membekalkan kuasa kepada lebih enam juta penduduk. Kontrak APR Energy ini merupakan perjanjian penjanaan kuasa pertama yang telah ditandatangani oleh syarikat yang berpangkalan di AS bersama kerajaan Myanmar semenjak pemansuhan sekatan pada tahun 2013.
(Logo: http://photos.prnewswire.com/prnh/20120207/FL48583LOGO )
Loji siap guna APR Energy dengan modul kuasa gas mudah alih (GPM) akan menjadi salah satu daripada penyelesaian penjanaan kuasa paling bersih di Myanmar dan akan mewakili pelaburan besar dalam infrastruktur negara ini. APR Energy juga akan menyediakan penyelesaian penyambung bagi jangka sederhana sementara negara ini terus membangunkan infrastruktur penjanaan kuasa jangka panjang. APR Energy telah memenangi kontrak tersebut atas kemampuannya untuk memberikan perkhidmatan dalam jangka masa yang mencabar dan juga kecekapan teknologi penjanaan kuasa APR. Kontrak ini juga bakal bermula pada suku kedua tahun 2014 dan dijangkakan berterusan sehingga penghujung tahun 2015.
Mengulas tentang pengumuman tersebut, Duta Besar Amerika Syarikat ke Burma, Derek Mitchell berkata, "Perniagaan yang dijalankan dalam ekonomi pasaran yang kian berkembang turut mempunyai cabarannya termasuklah keperluan untuk melaksanakan dasar pembaharuan ekonomi utama, menangani cabaran infrastruktur dan memastikan semua pihak akan beroleh manfaat daripada potensi ekonomi negara. Namun begitu, kami yakin perniagaan Amerika, disertai dengan pengalaman dan juga komitmen terhadap pendekatan berprinsip serta telus akan memberikan sumbangan yang ketara terhadap usaha tersebut."
"Kami amat berbangga dapat memenangi kontrak ini berdasarkan kemampuan kami untuk mengoptimumkan penggunaan sumber gas asli menerusi kaedah yang lebih pantas, cekap dan berkesan," kata John Campion, ketua pegawai eksekutif APR Energy. "Pada masa kini, tiga perempat daripada penduduk Myanmar tidak memperoleh bekalan elektrik. Kontrak ini mampu mewujudkan salah satu daripada loji terma terbesar di negara ini, yang mampu menyediakan cahaya dan juga kuasa kepada lebih enam juta penduduk. Bersama pemasangan penjanaan kuasa 130MW baharu kami di Indonesia baru-baru ini, projek Myanmar ini merupakan contoh terbaik bagi daya tarikan sebenar yang dapat dilihat di rantau Asia Pasifik sejak pembukaan hab kami di Malaysia dan juga pejabat komersil di Singapura."
Clive Turton, ketua bahagian pembangunan perniagaan APR Energy Asia Pasifik pula berkata, "Perjanjian penting ini dapat membantu Myanmar untuk memenuhi keperluan bekalan elektrik yang kritikal dan kian berkembang dengan menggunakan sumber gas asli peribumi negara ini. Myanmar juga merupakan pasaran strategik utama untuk APR Energy dalam usaha kami untuk mengembangkan perniagaan kami dengan pesat di rantau Asia Pasifik. Kami juga amat komited untuk menyokong perkembangan dan pembangunan sektor kuasa bagi negara ini pada masa kini dan pada masa akan datang. Permintaan yang kian meningkat terhadap bekalan elektrik di Asia, berserta kemampuan kami untuk menyediakan bekalan kuasa dalam jumlah yang besar dengan cepat menerusi penyelesaian siap guna pantas memberikan peluang kepada kami untuk meneruskan kejayaan ini bukan sahaja di Myanmar, malah juga di negara lain di rantau ini."
Latar Belakang APR Energy
APR Energy merupakan perniagaan kuasa turbin mudah alih pantas yang menerajui di dunia. Kami memberikan kuasa berskala besar yang pantas, lalu menyediakan akses pantas kepada bekalan elektrik yang andal bagi para pelanggan kami untuk memenuhi keperluan mereka. APR turut menggabungkan teknologi terkini dan cekap daripada segi penggunaan bahan api bersama kepakaran yang menerajui industri bagi mewujudkan loji kuasa siap guna yang dapat dikerahkan, disesuaikan dan diubah skala dengan pantas. Dengan memberikan perkhidmatan kepada segmen utiliti dan perindustrian, APR Energy dapat menyediakan penyelesaian penjanaan kuasa kepada para pelanggan dan masyarakat di seluruh dunia dengan keutamaan diberikan kepada Afrika, Amerika, Asia Pasifik dan juga Timur Tengah. Bagi mendapatkan maklumat lanjut, sila layari laman web syarikat di www.aprenergy.com.