omniture

DXC Technology Menggariskan Lima Trend Automotif yang akan Mencorakkan Semula Hubungan Pengguna dengan Kereta dalam Lima Tahun Akan Datang

DXC Technology Company
2023-02-09 22:51

Peralihan kepada Kenderaan Ditentukan Perisian akan mengubah industri automotif global 

LONDON, 9 Februari 2023 /PRNewswire/ -- DXC Technology (NYSE: DXC), sebuah syarikat perkhidmatan teknologi global Fortune 500 yang terkemuka, meramalkan lima cara tentang bagaimana industri automotif mencorakkan semula hubungan kita dengan kereta dalam tempoh lima tahun akan datang.

DXC Automotive 5in5 (credit Adobe)
DXC Automotive 5in5 (credit Adobe)

Peralihan kepada kenderaan ditentukan perisian kini mengubah setiap aspek dalam industri automotif - daripada cara kereta direka cipta, cara ia dibuat, sehingga cara kita menggunakan dan menyelenggaranya. Apa yang jelas adalah hubungan pengguna kereta dengan kekayaan ekosistem rakan kongsi dan perkhidmatan yang membentuk industri automotif kini telah berubah. DXC dan Luxoft (syarikat DXC) yang mengkhusus dalam perisian automotif dan model perniagaan dipacu platform dapat melihat dengan jelas bahawa lima trend ini semakin pesat berkembang.

1. Perisian dalam kenderaan anda akan sama pentingnya dengan logo kenderaan 

Kereta pada zaman akan datang akan berupa kenderaan ditentukan perisian (SDV), dengan ciri dan fungsinya yang dikawal oleh perisian.

"SDV akan lebih dikenali kerana pengalaman pengguna berbanding atribut fizikalnya. Perisian akan mewujudkan hubungan langsung antara pengeluar kereta dan pelanggan yang akan mendayakan perniagaan automotif dipacu platform dengan perkhidmatan peribadi yang lancar disampaikan kepada pelanggan melalui kenderaan mereka," kata Matthias Bauhammer, Ketua Tawaran Pemanduan Robotik Global DXC Technology.

Pertukaran data ini tidak akan dihadkan kepada sesebuah kereta dengan pengeluarnya sahaja. "Data sumbangan ramai" daripada berjuta-juta kenderaan boleh digunakan untuk menyediakan perkhidmatan mobiliti yang lebih pintar di seluruh ekosistem automotif. Sebagai contoh, Mobiliti Masa Depan Gaia-X 4 ialah satu inisiatif dari Eropah yang mendayakan kesalinghubungan rapat antara pengguna kereta, penyedia perkhidmatan, pengeluar dan pembekal. Aplikasi yang ada termasuk infrastruktur trafik pintar, pengurusan kitaran hayat kenderaan dan digital berkembar untuk kenderaan autonomi.

2. Kereta anda akan mengalami pembaharuan dengan sendirinya dan menawarkan naik taraf atas permintaan

Dalam keadaan di mana kereta kini semakin ditentukan perisian dan dihubungkan ke web, keupayaannya untuk pulih, mengalami pembaharuan dan berwajah baru dengan sendirinya akan meningkat.

"Perisian telefon kita sentiasa dikemas kini, dengan tambahan ciri baharu, muat turun aplikasi, kemas kini dan ciri keselamatan yang ditampung untuk menyelesaikan masalah dan menjadikan peranti kita lebih bermanfaat. Secara amnya, kereta mungkin memerlukan beberapa proses kemajuan sebelum ia menjadi lebih dinamik dan interaktif seperti telefon kita, tetapi jelas bahawa kita sedang menyaksikan evolusi yang sama," kata Karsten Hoffmeister, Ketua Pemanduan Autonomi Luxoft.

Kebanyakan pengeluar kereta di dunia sudah pun mencuba perkhidmatan atas permintaan yang disalurkan sebagai perisian kepada para pengguna. BMW memberikan naik taraf yang boleh dimuat turun melalui My BMW App atau kad SIM yang dibenamkan ke dalam kenderaan. Volvo menawarkan kemas kini perisian "Melalui Udara (OTA)" kepada pelanggan yang dihantar terus ke kenderaan keluarannya.

Sesetengah syarikat kereta sedang meninjau kaedah untuk mengewangkan naik taraf perisian. Dalam temu bual baru-baru ini bersama Bloomberg, Ketua Pegawai Eksekutif CARIAD, syarikat perisian automotif bagi Volkswagen Group, turut mencadangkan bahawa pemanduan autonomi berbayar mengikut penggunaan akan berada dalam skop ini.

3. Bagi Generasi Z, memiliki kereta mungkin sesuatu yang agak ketinggalan 

Cara kita hidup dan bekerja kini kian berubah. Pekerjaan hibrid mengurangkan keperluan kebanyakan pekerja untuk berulang-alik dengan kereta setiap hari. Kebanyakan golongan muda mungkin menginginkan manfaat memiliki kereta namun tidak mahu mengikuti model pemilikan tradisional yang lazimnya mahal, mempunyai tanggungan yang tinggi dan tidak fleksibel. Pendekatan berbeza untuk berada di atas jalan raya akan melibatkan pembayaran kenderaan hanya apabila anda memerlukannya, mungkin melalui perkhidmatan sewaan berasaskan langganan, perkongsian kereta atau perangkai padan. Dengan ciri atas permintaan dan kawalan jauhnya, SDV amat sesuai dengan jenis perkhidmatan seperti ini.

Beberapa pengeluar kereta sedang menjalankan eksperimen terhadap model langganan kereta termasuk Audi, Lexus, Nissan, Porsche dan Volvo. Banyak pihak ketiga yang turut menawarkan perkhidmatan langganan, termasuk syarikat sewaan kereta di mana ini merupakan perkhidmatan tambahan yang munasabah kepada perkhidmatan sedia ada. Syarikat pemula seperti Borrow merancang untuk memberi tumpuan kepada langganan kenderaan elektrik.

Satu contoh yang inovatif bagi model langganan mobiliti campuran ialah GetTransfer.com yang menawarkan pelanggan dengan pelbagai perkhidmatan sewaan dan pemindahan kenderaan yang melibatkan kereta, helikopter dan pesawat.

4. Kereta anda akan mengaturkan janji temu dengan mekanik sebelum anda sendiri mendapat tahu bahawa anda menghadapi masalah 

"Sebagai sebahagian daripada Internet Benda (IoT), kesalinghubungan yang terbina di dalam kereta akan digunakan untuk menghantar diagnostik kenderaan masa nyata yang akan digunakan untuk merancang jadual penyelenggaraan ramalan yang semakin canggih dan mudah," kata John Makin, Pakar Strategi Automotif Luxoft.

Maklum balas daripada analisis lanjutan yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) akan membolehkan kereta menyatakan masalah yang ada kepada bengkel, pengedar atau terus kepada pengilang. Maklumat diagnostik ini akan dikongsi dengan mekanik terlebih dahulu supaya mereka boleh memesan komponen yang diperlukan. Teknologi ini akan menghapuskan sebahagian daripada tanggungjawab pemandu untuk mengesan masalah penyelenggaraan kereta sambil meningkatkan keselamatan jalan raya.

Contohnya, pengeluar kereta elektrik dari AS, Rivian yang menawarkan perkhidmatan servis kereta ke rumah menyatakan bahawa ia mempunyai keupayaan untuk melakukan "diagnostik komprehensif dari jarak jauh melalui platform kenderaan kami yang terhubung. Kebanyakan masalah boleh dikenal pasti secara proaktif hasil daripada rangkaian sensor kami yang ada dan berkaitan dengan algoritma ramalan. Kami boleh memaklumkan kepada anda sebelum anda sendiri menyedari masalah tersebut."

5. Kenderaan elektrik masa depan anda mungkin dikuasakan oleh hidrogen 

Jualan kenderaan elektrik (EV) global semakin meningkat. Di China, iaitu pasaran automotif terbesar di dunia, EV kini mewakili 21% daripada pasaran negara tersebut. Menurut syarikat rundingan AutoForecast Solutions, EV boleh menyumbang sebanyak satu pertiga daripada pasaran Amerika Utara dan kira-kira 26% daripada kenderaan yang dihasilkan di seluruh dunia menjelang tahun 2029.

Walau bagaimanapun, peningkatan kos bateri EV, masa menunggu yang lama untuk kereta dan alat ganti serta masalah peningkatan infrastruktur pengecasan semula yang sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat, sudah pun memberi kesan kepada penggunaannya. Di kebanyakan bandar di seluruh dunia, pemandu hari ini perlu menunggu selama lebih sejam untuk mengecas kenderaan mereka di pusat pengecasan awam.

Dengan penghalaan pintar dan keupayaan pengoptimuman bekalan tenaganya, SDV boleh mengurangkan kebanyakan masalah ini; walau bagaimanapun, usaha mencari alternatif bahan api yang berdaya maju untuk menggerakkannya sedang giat dijalankan.

Ujian permulaan ke atas sel bahan api hidrogen di DLR Institute for Vehicle Concepts di Stuttgart, Jerman, menunjukkan bahawa dengan kapasiti tangki sebanyak 6.3 kg hidrogen, sebuah kenderaan boleh menjana lebih kurang 100 kWj tenaga elektrik. Itu bersamaan dengan purata penggunaan bulanan isi rumah bagi seorang individu. Memandangkan kenderaan kini semakin ditentukan perisian, kami menjangkakan pembangunan sumber bahan api alternatif dalam industri automotif akan berterusan.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati blog DXC: Five Automotive Trends that will Reshape our Relationship with Cars

Tentang DXC Technology

DXC Technology (NYSE: DXC) membantu syarikat global menjalankan sistem dan operasi misi penting mereka sambil memodenkan IT, mengoptimumkan seni bina data serta memastikan keselamatan dan kebolehskalaan di seluruh awan awam, swasta dan hibrid. Syarikat dan organisasi sektor awam terbesar di dunia mempercayai DXC untuk memanfaatkan perkhidmatan bagi memacu prestasi, daya saing dan pengalaman pelanggan ke suatu tahap baharu di seluruh ladang IT mereka. Ketahui lebih lanjut tentang cara kami merealisasikan kecemerlangan para pelanggan dan rakan sekerja kami di DXC.com.

Tentang Luxoft

Luxoft ialah cabang reka bentuk, data dan pembangunan DXC Technology yang menyediakan penyelesaian teknologi khas dan serba lengkap untuk sistem, produk dan perkhidmatan misi kritikal. Kami membantu mewujudkan organisasi dipacu data, serta menyelesaikan cabaran operasi, teknologi dan strategi yang kompleks. Tumpuan kami adalah untuk membina perniagaan yang berdaya tahan sambil mewujudkan saluran perniagaan dan aliran pendapatan baharu, menyampaikan pengalaman pengguna yang luar biasa dan operasi yang moden pada skala besar. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.luxoft.com

DXC dan Luxoft bersama-sama memberikan cadangan nilai pelanggan yang berbeza untuk transformasi digital, menggabungkan keupayaan digital bahagian depan Luxoft dengan kepakaran DXC dalam pemodenan dan penyepaduan IT.

Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1997859/DXC_Technology_Company_DXC_Technology_Outlines_Five_Automotive_T.jpg?p=medium600

Aleksandra Andreasik-Binkowska, DXC Technology, a.andreasikbinkowska@dxc.com 

Source: DXC Technology Company
Related Stocks:
NYSE:DXC
Keywords: Auto Computer/Electronics Transportation Survey, Polls & Research