BARCELONA, Sepanyol, 28 Februari 2023 /PRNewswire/ -- Presiden Carrier BG Huawei Li Peng berucap pada hari ini di Forum Hari 0 MWC Barcelona 2023 Huawei tentang bagaimana 5G membuka pintu menuju dunia pintar dan bagaimana lonjakan ke arah 5.5G akan menjadi suatu peristiwa penting sepanjang perjalanan ini. Li menegaskan bahawa industri ini perlu bekerjasama untuk bergerak lebih pantas menuju dunia ultra-jalur lebar, hijau serta pintar dan pelan tindakan perniagaan GUIDE Huawei dapat membantu meletakkan asas untuk pencapaian yang penting ini.
Li Peng, Presiden Carrier BG, Huawei, menyampaikan ucaptama
Dunia fizikal dan dunia digital kelihatan berkembang semakin hampir memandangkan kesan transformasi digital dan pintar menjadi semakin jelas di tempat kerja kita, rumah kita dan juga kehidupan peribadi kita. Banyak syarikat telekomunikasi telah bertindak balas terhadap permintaan yang semakin meningkat dalam bidang-bidang ini untuk pengalaman yang berkualiti lebih tinggi dan produktiviti lebih tinggi, lalu mendorong industri ICT menuju ke hadapan.
Connectivity+ merupakan kunci kepada pembangunan 5G yang makmur
Menjelang penghujung tahun 2022, lebih daripada 230 rangkaian 5G telahpun digunakan secara komersial, menyokong lebih satu bilion pengguna 5G dan pelbagai peranti 5G dan 5G telahpun memacu pembangunan pesat industri ICT. Dalam pasaran pengguna, syarikat-syarikat telekomunikasi telah berinovasi untuk memperluaskan "Connectivity+". Memandangkan keupayaan 5G terus bertambah baik, syarikat-syarikat telekomunikasi yang terkemuka di Eropah, Asia Pasifik dan Timur Tengah telah berlumba-lumba untuk membangunkan jenis perkhidmatan digital yang berbeza. Sesetengah syarikat telekomunikasi telahpun menggabungkan ketersambungan dengan perkhidmatan OTT setempat yang membolehkan mereka mencapai kejayaan bersama. Tawaran ini menghimpunkan ketersambungan dengan perkhidmatan digital seperti media sosial, membantu mereka berkembang menjadi penyedia perkhidmatan digital sehenti.
Pasaran tempatan juga telah menjadi kawasan di mana syarikat-syarikat telekomunikasi dapat menjana lebih nilai apabila penembusan 5G dan gentian terus berkembang. Justeru itu, syarikat-syarikat telekomunikasi memperluaskan "Connectivity+" demi pengalaman yang lebih baik, perkhidmatan yang lebih baik dan O&M yang lebih cekap. Perkhidmatan jalur lebar tempatan yang premium seperti 5G FWA dan 10G PON telah berkembang lebih pantas daripada yang dijangkakan, membantu syarikat-syarikat telekomunikasi di wilayah-wilayah termasuk Eropah dan Timur Tengah meningkatkan ARPU sebanyak 30% hingga 60%.
Teknologi-teknologi tujuan am seperti 5G, AI dan pengkomputeran awan memacu pendigitalan industri dan membawa peluang strategik yang baharu. Pelanggan perusahaan memerlukan lebih banyak portolio portfolio penawaran, maka syarikat-syarikat telekomunikasi perlu memperkukuh "Connectivity+". Sebuah syarikat telekomunikasi Cina telah menggabungkan ketersambungan dengan awan, AI, sekuriti dan perkhidmatan platform untuk berkembang ke dalam pasaran baharu dan meningkatkan hasilnya daripada pendigitalan industri sebanyak lebih 20% pada tahun 2022.
Menuju ke hadapan, syarikat telekomunikasi akan terus meningkatkan keupayaan rangkaian mereka, bagi menyediakan pengalaman yang lebih terjamin. Justeru itu, syarikat telekomunikasi menjadikan "Connectivity+" lebih terbuka. Huawei telah menyertai projek CAMARA yang dipimpin oleh GSMA. Melalui projek ini, kami menyasarkan untuk membantu syarikat telekomunikasi mentransformasikan rangkaian menjadi platform pengupayaan perkhidmatan dan mengewangkan pengalaman pelanggan yang lebih baik.
Bergerak lebih pantas menuju dunia ultra-jalur lebar, hijau dan pintar
Melangkah ke hadapan, dunia pintar akan bersepadu secara mendalam dengan dunia fizikal. Semua benda termasuk hiburan peribadi, kerja dan pengeluaran industri akan dihubungkan dengan pintar. Ini bererti rangkaian akan perlu berevolusi daripada Gbps merata kepada 10Gbps merata, ketersambungan dan penderiaan akan perlu diintegrasikan dan industri ICT akan perlu mengalihkan tumpuannya daripada penggunaan tenaga kepada kecekapan tenaga.
Evolusi daripada 5G kepada 5.5G akan menjadi kunci untuk memenuhi keperluan yang semakin berkembang ini.
Huawei bersedia untuk bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi industrinya bagi menyampaikan pengalaman 10Gbps merata dengan teknologi tanpa wayar, optik dan IP yang inovatif; meneroka keadaan penggunaan seperti kolaborasi kenderaan-jalan dan pemantauan persekitaran untuk mengintegrasikan penderiaan dan komunikasi; dan membina sistem penunjuk kecekapan tenaga bersatu bagi memacu pembangunan industri hijau.
Pada tahun 2022, ITU-T melancarkan secara rasmi NCIe, penunjuk untuk mengukur keamatan emisi karbon rangkaian, sebagai standard formal. Syarikat-syarikat telekomunikasi terkemuka di China dan Eropah telah mengesahkan penunjuk kecekapan tenaga berbilang dimensi yang baharu pada rangkaian langsung mereka dan meningkatkan kecekapan tenaga sebanyak 20% hingga 50%.
Pada akhir ucapan beliau, Li menyeru seluruh industri untuk mengikuti pelan tindakan perniagaan GUIDE bagi mempercepatkan kemakmuran 5G dan mengorak langkah yang pantas menuju dunia ultra-jalur lebar, hijau dan pintar bersama-sama.
MWC Barcelona 2023 akan berlangsung mulai 27 Februari hingga 2 Mac di Barcelona, Sepanyol. Huawei akan mempamerkan produk dan penyelesaiannya di gerai pameran 1H50 di Fira Gran Via Hall 1. Bersama-sama pengendali global, golongan profesional industri dan pemimpin pendapat, kami akan menyelami topik-topik seperti kejayaan perniagaan 5G, peluang 5.5G, pembangunan hijau, transformasi digital dan visi kami untuk menggunakan pelan tindakan perniagaan GUIDE bagi meletakkan asas untuk 5.5G dan membina kejayaan 5G demi kemakmuran yang lebih luas. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi: https://carrier.huawei.com/en/events/mwc2023.