![]() |
Buat pertama kalinya dalam sejarah organisasi ini selama 24 tahun, jawatan kepemimpinan tertingginya dipegang oleh wanita.
LOS ANGELES, 8 Mac 2023 /PRNewswire/ -- Perbadanan Internet untuk Penetapan Nama dan Nombor (ICANN) sedang meraikan satu pencapaian penting. Buat pertama kalinya dalam sejarahnya selama 24 tahun, organisasi ini mempunyai dua orang wanita dalam jawatan tertingginya.
Semasa mesyuarat Agung Tahunan ICANN yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia, pada bulan September 2022 yang lalu, Tripti Sinha telah dipilih sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah ICANN. Sinha telah menjadi ahli kepada komuniti ICANN selama lebih 8 tahun dan telah berkhidmat sebagai ahli Lembaga Pengarah ICANN sejak tahun 2018.
Sally Costerton, Penasihat Kanan kepada Presiden merangkap Naib Presiden Kanan, Penglibatan Pihak Berkepentingan Global ICANN telah dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Interim pada Disember 2022. Costerton telah mengetuai pejabat global dan strategi pengantarabangsaan ICANN selama lebih 10 tahun.
Sinha ialah Pengerusi Lembaga Pengarah wanita yang kedua dalam sejarah ICANN. Pada tahun 1998, Esther Dyson telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah ICANN. Costerton merupakan wanita pertama dalam sejarah ICANN yang berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif.
"Terdapat pelbagai cara yang boleh diambil oleh wanita di seluruh dunia untuk menyertai ICANN, sama ada mereka daripada golongan akademik, masyarakat awam, sektor awam atau swasta," kata Costerton. "Komuniti Organisasi Sokongan dan Jawatankuasa Penasihat ICANN menawarkan banyak peluang kepada kaum wanita untuk memegang jawatan penting dan berada di barisan hadapan dalam proses penggubalan dasar yang mentadbir aspek berbeza yang berkaitan dengan Sistem Nama Domain (DNS) Internet."
DNS Women ialah contoh bagaimana kaum wanita mengambil bahagian dalam ruang DNS dengan berkesan. Ditubuhkan pada tahun 2009 di Mexico, DNS Women berdedikasi untuk mempromosi dan memperkasakan golongan wanita dalam industri DNS di peringkat global. Kumpulan ini akan mengadakan satu sesi perjumpaan pada minggu hadapan semasa mesyuarat umum ICANN diadakan di Cancún, Mexico, ketika A.S. dan negara-negara lain meraikan Bulan Sejarah Wanita.
Mengatasi jurang jantina dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dapat meningkatkan keselamatan ekonomi wanita serta meningkatkan peluang untuk mereka. Ia juga dapat membantu memperkayakan bidang STEM dengan memperluas sudut pandangan dan mencegah berat sebelah dalam produk yang dihasilkan dan perkhidmatan yang disampaikan, menurut penyelidikan oleh American Association of University Women.
"Pemimpin wanita memberikan kesan transformatif kepada wanita lain. Bukan sahaja melalui bimbingan, yang saya percaya adalah penting untuk membantu wanita berjaya, tetapi juga kerana perwakilan yang baik boleh menggalakkan rasa kekitaan. Aspek ini adalah sangat penting dalam bidang teknologi," kata Sinha.
Komuniti ICANN kini berhimpun untuk Forum Komuniti ICANN76 di Cancún, Mexico, dari 11 hingga 16 Mac 2023. Acara dalam talian dan secara bersemuka ini merupakan yang pertama daripada tiga mesyuarat umum ICANN yang akan diadakan pada tahun 2023.
Tentang ICANN
Misi ICANN ialah untuk membantu memastikan Internet global yang seragam, selamat dan stabil. Untuk menghubungi orang lain di Internet, anda perlu menaip alamat - nama atau nombor - ke dalam komputer atau peranti anda yang lain. Alamat tersebut mestilah unik supaya komputer tahu lokasi untuk saling mencari. ICANN membantu menyelaras dan menyokong pengenal pasti unik ini di seluruh dunia. ICANN telah ditubuhkan pada tahun 1998 sebagai sebuah perbadanan bukan berasaskan keuntungan yang memberi manfaat kepada orang awam dengan sebuah komuniti para peserta dari seluruh dunia.
Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1810953/ICANN_Logo.jpg?p=medium600