![]() |
RIYADH, Arab Saudi, 10 Mac 2023 /PRNewswire/ -- Kementerian Kehakiman (MOJ) Arab Saudi telah mengakhiri Persidangan Antarabangsa Kehakiman (ICJ) yang julung-julung kali dianjurkan di Riyadh dengan jayanya. Persidangan ini telah menghimpunkan 50 orang hakim, pakar undang-undang dan pembuat keputusan dari seluruh dunia selama dua hari untuk meneroka cara teknologi mengubah sistem undang-undang dan menjadikan bidang kehakiman lebih telus dan boleh diakses oleh semua orang.
Menteri Kehakiman Arab Saudi, T.Y.T Walid al-Samaani berkata, "Dua hari yang lalu telah menjadi suatu kejayaan yang besar kerana kami dapat bertukar-tukar pengetahuan dan kepakaran dengan para pakar undang-undang yang paling bijak dari seluruh dunia." Beliau menambah, "Kami berharap supaya dialog dan kerjasama yang dipupuk semasa persidangan ini akan terus memberi kesan yang besar terhadap pembangunan penyelesaian kehakiman digital pada masa hadapan di seluruh dunia."
Persidangan yang menampilkan 25 orang penceramah dan 6 sesi utama ini menjemput para peserta untuk terlibat dengan bertemakan ''Memudahkan Akses kepada Kehakiman Melalui Inovasi Digital'. Topik-topiknya meliputi bidang yang luas merangkumi peranan pendigitalan dalam meningkatkan kehakiman pencegahan hingga masa depan AI dalam amalan undang-undang dan penggunaan data massa untuk meramalkan keputusan penghakiman.
Hari terakhir ICJ telah menampilkan tiga sesi utama: 'Menggunakan AI untuk Meningkatkan Bidang Kehakiman', 'Analisis Data untuk Peningkatan Bidang Kehakiman' dan 'Masa Depan Penyelesaian Pertikaian Alternatif Melalui Transformasi Digital'. Para penceramah yang mengambil bahagian termasuk pakar dalam bidang etika AI, analisis data, pengantaraan digital dan pendamaian jauh yang telah berkongsi pengetahuan dan pengalaman tentang bagaimana badan kehakiman yang didayakan secara digital boleh mewujudkan masyarakat yang lebih makmur serta memastikan bidang kehakiman yang telus, boleh diakses dan saksama untuk semua.
Sejak pelancaran Wawasan 2030, usaha pendigitalan Arab Saudi telah menjadikan Kerajaan Arab Saudi sebagai peneraju global dalam bidang kehakiman digital. Setakat tahun 2023, lebih 90% daripada perkhidmatan kehakiman negara ini telah didigitalkan di mana portal Najiz Kementerian Kehakiman menyediakan akses kepada lebih 150 buah e-perkhidmatan kehakiman kepada para pengguna. Sepanjang tahun lalu sahaja, perkhidmatan digital Kerajaan Arab Saudi yang semakin berkembang ini telah mengendalikan lebih 2.37 juta perbicaraan dalam talian, memberikan lebih 1.1 juta penghakiman dan mengeluarkan lebih 5.2 juta e-surat kuasa wakil. Melalui penganjuran persidangan ini, Kerajaan Arab Saudi berusaha untuk menyediakan sebuah platform baharu yang penting kepada pihak berkepentingan undang-undang di seluruh dunia untuk bertukar-tukar kepakaran dalam transformasi digital serta memupuk kerjasama antarabangsa berkenaan masa depan digital sistem perundangan.
Foto: https://mma.prnasia.com/media2/2018454/Intl_Conf_on_Justice_Riyadh_1.jpg?p=medium600
Foto: https://mma.prnasia.com/media2/2018455/Intl_Conf_on_Justice_Riyadh_2.jpg?p=medium600
Foto: https://mma.prnasia.com/media2/2018456/Intl_Conf_on_Justice_Riyadh_3.jpg?p=medium600
Logo: https://mma.prnasia.com/media2/2016291/MOJ_Logo.jpg?p=medium600