omniture

Persekutuan Pergigian Sedunia FDI menyeru pemimpin global untuk mengutamakan tindakan memerangi penyakit mulut pada mesyuarat utama PBB tentang kesihatan

FDI World Dental Federation
2023-03-20 09:00 0

Seruan ini telah dibuat pada Hari Kesihatan Oral Sedunia, di mana data menunjukkan bahawa penyakit mulut memberi kesan kepada hampir separuh daripada populasi dunia

GENEVA, 20 Mac 2023 /PRNewswire/ --

- Gambar boleh didapati di AP Images (http://www.apimages.com) -

Hari ini, Persekutuan Pergigian Sedunia (FDI) menyeru kerajaan dan badan kesihatan global untuk mengutamakan tindakan memerangi penyakit mulut, termasuk melalui penyepaduan kesihatan oral pada Mesyuarat Peringkat Tinggi (HLM) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tentang perbincangan Perlindungan Kesihatan Sejagat (UHC) pada bulan September ini.

Mesyuarat ini akan diadakan di New York dan merupakan peluang utama bagi negara-negara dan pihak berkepentingan untuk menilai kemajuan terhadap UHC susulan HLM pertama yang diadakan pada tahun 2019 serta mengenal pasti bidang terlibat untuk melaksanakan tindakan konkrit bagi menyediakan kesihatan untuk semua.

Penyakit mulut merupakan penyakit paling lazim yang menjejaskan orang ramai di seluruh dunia, dengan hampir 3.5 bilion individu mengalami kerosakan gigi, penyakit gusi yang teruk, kehilangan gigi dan kanser mulut, menurut anggaran daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Terdapat hampir satu bilion kes penyakit mulut yang lebih banyak berbanding gabungan jumlah lima penyakit tidak berjangkit utama (penyakit kardiovaskular, diabetes, penyakit pernafasan kronik, kanser dan gangguan mental).

"Kesihatan oral yang baik merupakan bahagian yang penting dalam kehidupan seharian kita, baik dari segi kesihatan fizikal mahupun kesejahteraan mental," kata Prof. Ihsane Ben Yahya, Presiden Persekutuan Pergigian Dunia FDI dan Dekan Fakulti Pergigian di Universiti Kesihatan dan Sains Mohammed VI di Casablanca, Maghribi.

"Dengan penyakit mulut yang memberi kesan kepada berbilion-bilion manusia setiap tahun, sudah tiba masanya untuk kerajaan dan agensi kesihatan global untuk menghentikannya dan bertindak. Ini termasuklah memastikan akses yang saksama kepada penjagaan kesihatan oral yang berpatutan dan berkualiti untuk semua orang serta menjadikan kesihatan oral sebagai perkara utama dalam rancangan terhadap perlindungan kesihatan sejagat."

Kesihatan oral yang baik adalah penting untuk bernafas, makan, bercakap dan senyum. Apabila penyakit mulut tidak dirawat, ia boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan dan prospek sosial seseorang. Pesakit berisiko menghadapi kesakitan yang berterusan dan membawa kepada perkembangan penyakit sekunder, pengasingan sosial, pengecualian daripada tenaga kerja dan penurunan prestasi pendidikan.

Kebanyakan penyakit mulut boleh dicegah dan dirawat dengan campur tangan yang menjimatkan kos. Walau bagaimanapun, ramai orang tidak mendapat akses kepada penjagaan tersebut atas beberapa sebab, termasuk ketersediaan dan kemampuan. Hampir 75% daripada pesakit yang menghidap penyakit mulut di seluruh dunia tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana, di mana kos penjagaan kesihatan oral sering mendatangkan masalah yang membebankan kepada sesebuah keluarga.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat peningkatan dalam tindakan memerangi penyakit mulut di peringkat global. Pada tahun 2021, negara-negara telah menyokong resolusi rintis WHO tentang kesihatan oral dan pada tahun ini, sesi ke-76 Perhimpunan Kesihatan Sedunia akan menerima pakai Pelan Tindakan kesihatan Oral Global (2023-2030) yang menyeru kerajaan untuk memastikan bahawa "80% daripada populasi global berhak mendapat perkhidmatan penjagaan kesihatan oral yang penting." Pelan ini serta langkah-langkah lain akan dicapai melalui negara-negara yang mengutamakan penyepaduan kesihatan oral ke dalam perkhidmatan kesihatan negara mereka dan memastikan terdapat ahli profesional kesihatan pergigian terlatih yang mencukupi.

"Kami mengalu-alukan momentum terhadap kesihatan oral yang semakin meningkat, termasuk penerimagunaan Pelan Tindakan Kesihatan Oral Global yang akan datang yang sejajar dengan Wawasan 2030 FDI dalam Menyampaikan Kesihatan Oral yang Optimum Untuk Semua. Kini adalah penting untuk momentum ini ditukar menjadi tindakan yang nyata bagi memerangi penyakit mulut agar mereka yang paling terjejas dapat terus tersenyum seumur hidup," kata Prof. Ihsane Ben Yahya.

Hari Kesihatan Oral Sedunia merupakan satu peluang yang hebat bagi para profesional kesihatan oral, penggubal dasar, ahli akademik dan komuniti global yang lebih luas untuk menggalakkan kepentingan sikap positif terhadap penjagaan kesihatan oral. Untuk meraikan hari ini, FDI menggesa orang ramai di seluruh dunia untuk mengambil bahagian dalam cabaran #MouthProud dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk menjaga mulut mereka untuk mendapatkan senyuman dan kehidupan yang sihat.

Hubungan Media:
Michael Kessler
Perhubungan Media FDI
Mudah Alih: + 34 655 792 699
E-mel: michael.kessler@intoon-media.com

Tentang Persekutuan Pergigian Sedunia FDI
Persekutuan Pergigian Sedunia FDI berfungsi sebagai badan perwakilan utama untuk lebih 1 juta doktor gigi di seluruh dunia. Keahliannya terdiri daripada 200 persatuan pergigian kebangsaan dan kumpulan pakar di lebih 130 buah negara. FDI mempunyai visi untuk memimpin dunia ke arah kesihatan oral yang optimum.

 

 

Source: FDI World Dental Federation
Keywords: Dentistry Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Survey, Polls & Research