omniture

Huawei dan Rakan-rakan Kongsi Umum Jaguar Pertama Disahkan di Kawasan Simpanan Negeri Dzilam Mexico

Huawei
2023-05-23 17:46 40

Sistem berkuasa AI mengesahkan sekurang-kurangnya lima ekor jaguar di Kawasan Simpanan Negeri Dzilam

BANDAR RAYA MEXICO, 23 Mei 2023 /PRNewswire/ -- Sepasukan pakar pemuliharaan alam semula jadi mengumumkan bahawa mereka telahpun mengenal pasti sekurang-kurangnya lima ekor jaguar di Kawasan Simpanan Negeri Dzilam di Yucatan, Mexico.

Didayakan oleh platform awan dan AI Huawei, pasukan tersebut mengenal pasti dua ekor jaguar jantan dewasa, seekor jaguar betina dewasa dan dua ekor anak jaguar sebagai sebahagian daripada projek Tech4Nature yang dilancarkan oleh IUCN dan Huawei di Kawasan Simpanan Negeri Dzilam pada tahun 2022.

Sebelum projek tersebut, pakar-pakar tidak tahu sama ada kawasan simpanan tersebut merupakan habitat jaguar dan jika benar, berapa jumlah jaguar yang ada.

"Spesies payung kami ialah jaguar kerana sekiranya kami melindunginya, maka kami melindungi segala-gala yang berada di sekitarnya. Apa yang kami lakukan merupakan langkah yang amat besar dan perintis untuk membuat keputusan bagi tujuan pemuliharaan dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi," kata Regina Cervera, Penyelaras Projek di agensi inovasi C Minds.

Projek berkenaan menggunakan kamera inframerah, peranti pemantauan audio, awan dan AI untuk mengumpul, memantau dan menganalisis data akustik dan visual yang memberi pemahaman asas tentang kehadiran 25 spesies, salah satu daripadanya ialah jaguar Amerika Utara yang terancam - spesies payung yang menandakan tahap kesihatan seluruh ekosistem. Data yang dikumpul diproses pada platform AI ModelArts Huawei dan platform AI Arbimon Rainforest Connection.

"Kami perlu memuat naik data ke platform data raya lantaran jumlah maklumat yang tinggi," kata Joaquin Saldana, Pengarah Pemasaran Strategi di Huawei Latin America. "Kami perlu memprosesnya pada kelajuan tinggi dan dengan kecerdasan buatan. Kemudian, kami dapat mula memahami data dan mengesan haiwan yang menarik minat kami."

Bersama-sama C Minds dan Huawei Mexico, rakan-rakan kongsi projek melibatkan Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN), Polytechnic University of Yucatan, Rainforest Connection, pihak berkuasa kerajaan Yucatan dan kumpulan komuniti tempatan.

"Projek Tech4Nature di Mexico merupakan contoh berjaya bagaimana masyarakat setempat menggunakan teknologi inovatif demi pemuliharaan biodiversiti," kata Nadine Seleem, Ketua Projek Senarai Hijau di IUCN.

Dengan 30,000 imej, 550,000 rakaman audio dan rakaman video ekstensif yang dikumpul dan dianalisis sehingga kini, rakan-rakan kongsi Tech4Nature telah mengenal pasti 119 spesies. Ini termasuk 88 ekor burung, 22 ekor mamalia, lima ekor reptilia dan empat ekor amfibia. Daripada kesemua ini 34 spesies berada dalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN.

Data berkenaan turut menyediakan pelbagai pandangan berpandukan data untuk penyelidik membangunkan langkah-langkah pemuliharaan berdasarkan kepada pemahaman yang jauh lebih lengkap tentang ekosistem tersebut secara keseluruhan,

"Mengetahui tentangnya adalah sangat berharga, itulah yang kami peroleh sekarang dengan pemantauan. Jika kami tidak melihatnya, kami tidak tahu ia berada di sana. Jika orang tidak tahu tentang haiwan ini, mereka tidak dapat membantu kita," kata Sayda Rodriguez Gomez, Setiausaha Pembangunan Mampan Yucatan.

Dengan bantuan Huawei Cloud dan kecerdasan buatan, pakar-pakar telah mengenal pasti sekurang-kurangnya lima ekor jaguar di sebuah kawasan simpanan semula jadi di Dzilam, Yucatan.
Dengan bantuan Huawei Cloud dan kecerdasan buatan, pakar-pakar telah mengenal pasti sekurang-kurangnya lima ekor jaguar di sebuah kawasan simpanan semula jadi di Dzilam, Yucatan.

Melindungi jaguar adalah sangat penting kepada komuniti sekitar dan penglibatan mereka dalam projek ini adalah amat penting.

"Ini kawasan jaguar. Jika kita tidak melindungi habitat ini, kita hanya akan menemui jaguar ini dalam buku-buku sahaja," kata Juan Castillo, ketua komuniti di Dzilam de Bravo.

Jaguar Mexico diancam oleh pemburuan haram, pembasmian hutan, kehilangan habitat dan perubahan iklim. Pakar-pakar ekologi menganggarkan bahawa sekitar 4,000 hingga 5,000 ekor jaguar hidup di kawasan liar di Mexico, lebih separuh daripadanya hidup di Semenanjung Yucatan, menjadikan kawasan tersebut salah satu wilayah utama negara untuk pemuliharaan.

Ketika ini, pasukan berkenaan sedang berusaha untuk membangunkan algoritma yang dapat mengenal pasti jaguar individu dan menggunakannya sebagai asas mengira bilangan populasi dengan lebih tepat.

Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun, IUCN dan Huawei akan menganjurkan webinar Tech4Nature ketika yang bertemakan "Pemuliharaan Biodiversiti Lebih Pintar". Di acara tersebut, pakar kerajaan, pemuliharaan dan teknologi akan meninjau bagaimana teknologi boleh menjadikan pemuliharaan alam semula jadi lebih pintar dan memaparkan inovasi dan pencapaian terkini dalam bidang ini. IUCN dan Huawei akan turut melancarkan kertas putih Smart Protected Areas (Kawasan Lindung Pintar) yang dapat membantu mengupayakan pemuliharaan alam semula jadi yang lebih pintar. 

Pasukan menggunakan sistem pemantauan bersepadu dan berterusan untuk menjejak jaguar dan mangsanya.
Pasukan menggunakan sistem pemantauan bersepadu dan berterusan untuk menjejak jaguar dan mangsanya.

Latar Belakang Tech4Nature

Huawei dan Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (International Union for Conservation of Nature, IUCN) bersama-sama melancarkan perkongsian Tech4Nature selama tiga tahun pada tahun 2020 untuk mengukur keberkesanan pemuliharaan alam semula jadi menggunakan teknologi digital berbanding piawaian senarai hijau IUCN. Tech4Nature berada di bawah inisiatif keterangkuman digital dan kemampanan Huawei, TECH4ALL.

Latar Belakang TECH4ALL

TECH4ALL ialah inisiatif rangkuman digital dan pelan tindakan jangka panjang Huawei. Didayakan oleh teknologi inovatif dan perkongsian, TECH4ALL diwujudkan untuk membantu menggalakkan keterangkuman dan kemampanan dalam dunia digital.

Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi laman sesawang Huawei TECH4ALL di https://www.huawei.com/en/tech4all

Ikuti kami di Twitter melalui https://twitter.com/HUAWEI_TECH4ALL 

 

Source: Huawei
Keywords: Computer/Electronics Environmental Products & Services Animals/Pets Conservation/Recycling Environmental Issues