omniture

ESOC 2023: Alat AI mengatasi prestasi operator panggilan kecemasan manusia dalam mengenal pasti strok, menurut sebuah kajian baharu

European Stroke Organisation
2023-05-24 06:00

MUNICH, 24 Mei 2023 /PRNewswire/ -- Para penyelidik dari Denmark telah membangunkan sebuah rangka kerja kecerdasan buatan (AI) baharu bagi menangani bilangan strok yang tidak dapat dikenal pasti oleh operator panggilan kecemasan manusia. Rangka kerja tersebut mengatasi prestasi pengendali panggilan kecemasan dalam mengenal pasti strok bagi kedua-dua jantina dan semua kumpulan umur yang dikaji, sekali gus menunjukkan potensinya sebagai alat tambahan untuk mengenal pasti strok di peringkat awal dan dengan tepat pada masa hadapan.

Kajian retrospektif yang dibentangkan hari ini di Persidangan Organisasi Strok Eropah (ESOC) 2023, didapati daripada Daftar Strok Denmark dan satu set data dengan lebih 1.5 juta panggilan yang dibuat ke Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Copenhagen antara tahun 2015 hingga 2020, termasuk lebih 7,000 panggilan berkaitan strok. Para penyelidik menggunakan data ini untuk melatih rangka kerja AI mentranskripsi audio panggilan dan kemudian meramalkan risiko strok berdasarkan teks transkripsi tersebut.

Hasil yang dinilai berdasarkan panggilan dari tahun 2021 ini mendedahkan bahawa rangka kerja AI menunjukkan prestasi untuk mengenal pasti kes strok yang lebih berkesan berbanding pengendali panggilan kecemasan. Rangka kerja AI telah mencapai ingatan (kepekaan) pada kadar 63.0% dan ketepatan (nilai ramalan positif) pada kadar 24.9% yang menghasilkan skor F1 sebanyak 35.7. Sebaliknya, pengendali panggilan kecemasan mencapai ingatan pada kadar 52.7% dan ketepatan pada kadar 17.1% yang menghasilkan skor F1 sebanyak 25.8.

Dr. Jonathan Wenstrup, salah seorang penyelidik utama kajian dari Hospital Universiti Copenhagen mengulas, "Sebagai salah satu titik hubungan pertama untuk pesakit yang ingin mendapatkan bantuan perubatan, pengendali panggilan kecemasan memainkan peranan penting dalam memudahkan proses mengenal pasti strok di peringkat awal dan dengan tepat. Kebanyakan kes strok mungkin tidak dapat dikesan pada peringkat ini yang telah menyebabkan kelewatan rawatan yang boleh mengakibatkan ancaman nyawa kepada pesakit." 

Di seluruh Eropah, strok merupakan penyebab kedua kematian dan penyebab utama hilang upaya dalam kalangan orang dewasa serta menjejaskan lebih 1 juta orang setiap tahun. Dengan populasi yang terus bertambah dan meningkat usia, bilangan mereka yang menghidap strok diunjurkan meningkat sebanyak 27% antara tahun 2017 hingga 2047 di Kesatuan Eropah. Namun begitu, kebanyakan kejadian strok boleh dicegah dan jika dirawat di peringkat awal, kemungkinan untuk memperoleh hasil yang positif boleh ditingkatkan dengan sebaiknya.

"Dengan pelaksanaan alat sokongan baharu yang menjimatkan kos ini, kita dapat meningkatkan keupayaan untuk mengenal pasti strok dan memastikan lebih ramai pesakit menerima penjagaan yang sesuai dan tepat pada masanya, sekali gus menambah baik kesihatan pesakit," tambah Dr. Wenstrup.

Source: European Stroke Organisation
Keywords: Computer/Electronics Health Care/Hospital Medical Equipment Medical/Pharmaceuticals Clinical Trials/Medical Discoveries Senior Citizens