omniture

Invivoscribe Bekerjasama dengan Complete Genomics untuk Membangun dan Mengkomersialkan Ujian Biopenanda bagi Penyelidikan Onkologi dan Kanser

Invivoscribe, Inc.
2023-06-02 20:38 0

SAN DIEGO dan SAN JOSE, California, 2 Jun 2023 /PRNewswire/ -- Invivoscribe hari ini mengumumkan bahawa mereka telah memeterai kerjasama dengan Complete Genomics untuk bersama-sama membangun dan mengkomersialkan ujian biopenanda pada platform NGS Complete Genomics. Ia merangkumi wilayah di seluruh dunia, dalam bidang penyelidikan onkologi dan kanser.

Di bawah terma perjanjian tersebut, Invivoscribe akan bertanggungjawab terhadap pembangunan ujian biopenanda termasuk kawalan ujian dan perisian bioinformatik yang berkaitan. Ujian biopenanda ini boleh digunakan untuk pemeriksaan awal spesimen penyelidikan serta pengawasan, pemantauan dan pengesanan penyakit sisa yang boleh diukur (MRD) dalam persekitaran penyelidikan klinikal. Ujian biopenanda ini pada peringkat awalnya akan dikeluarkan di seluruh dunia untuk Kegunaan Penyelidikan Sahaja (Research Use Only, RUO).

"Kami teruja dapat bekerjasama dengan Complete Genomics di seluruh dunia kerana mereka menawarkan platform NGS yang memiliki metrik prestasi yang cemerlang serta sistem kos dan reagen yang lebih rendah dan pantas berbanding platform yang disediakan oleh penyedia NGS yang lain," kata Jeffrey Miller, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Jualan Invivoscribe. "Asai Mutasi CDx FLT3 LeukoStrat® kami ialah sejenis ujian kapilari berasaskan PCR yang diluluskan oleh FDA dan IVDR serta diseragamkan di peringkat antarabangsa yang telah terbukti amat berharga sebagai diagnostik sampingan untuk tiga terapi sasaran FLT3 yang diluluskan. Walaupun ia tersedia di seluruh dunia sebagai kit dan juga sebagai perkhidmatan ujian dalam makmal LabPMM kami, namun untuk mengkaji dan memantau tahap penyakit AML setelah subjek AML positif FLT3 dikenal pasti, kami juga perlu menyediakan ujian FLT3 berdasarkan NGS yang amat sensitif. Jadi, antara ujian pertama yang akan kami bangunkan dan lancarkan sebagai kit RUO pada platform terpantas, iaitu platform DNBSEQ-G99RS* Complete Genomics ialah ujian MRD FLT3-ITD kami. "Kami teruja dapat bekerjasama dengan Invivoscribe, pembangun ujian berkualiti tinggi yang terbukti dalam menyampaikan penyelesaian aliran kerja yang lengkap," Yongwei Zhang, Ketua Pegawai Eksekutif Complete Genomics.

Ujian yang sedang dibangunkan untuk platform DNBSEQ-G99RS Complete Genomics ini akan merangkumi kedua-dua saringan dan penyelidikan pemantauan MRD yang amat sensitif untuk pelbagai malignansi hematologi termasuk leukemia mieloid akut (AML). AML ialah sejenis kanser darah yang menjejaskan darah dan sumsum tulang serta dicirikan oleh pertumbuhan pantas sel-sel darah putih yang tidak normal.1 AML mempunyai kadar survival 5 tahun yang terendah (31.7%) dalam kalangan pesakit yang didiagnosis menghidap leukemia.2 Kira-kira 25% daripada pesakit AML mengalami mutasi ITD FLT3 yang menyumbang kepada pertumbuhan dan kelangsungan hidup sel-sel kanser serta dikaitkan dengan prognosis yang lemah.3 

Tentang Invivoscribe
Invivoscribe ialah sebuah syarikat bioteknologi global yang bersepadu secara vertikal yang dikhususkan untuk Meningkatkan Kehidupan dengan Precision Diagnostics®. Selama hampir tiga puluh tahun, Invivoscribe telah meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan di seluruh dunia dengan menyediakan reagen, ujian dan alatan bioinformatik serta perkhidmatan berkualiti tinggi yang seragam untuk memajukan bidang perubatan kepersisan. Invivoscribe memiliki rekod prestasi yang berjaya dalam kerjasama dengan syarikat-syarikat farmaseutikal global dengan menyediakan kepakaran dalam pembangunan diagnostik dan penyerahan kawal selia melalui pengkomersialan diagnostik sampingan. Untuk maklumat tambahan, sila layari www.invivoscribe.com.

Tentang Complete Genomics
Complete Genomics ialah sebuah syarikat sains hayat rintis yang menyediakan penyelesaian penjujukan DNA serba lengkap yang baharu. Syarikat ini telah menerajui pembangunan teknologi penjujukan daya pemprosesan tinggi sejak penubuhannya pada tahun 2005. Produk kami telah memperkasakan lebih 4,000 buah penerbitan dalam pelbagai penggunaan. Untuk mengetahui lebih lanjut, sila layari www.completegenomics.com.

*Melainkan dimaklumkan sebaliknya, reagen penjujukan StandardMPS dan CoolMPS serta alat penjujukan untuk digunakan dengan reagen sedemikian tidak tersedia di Jerman, Sepanyol, UK, Sweden, Itali, Republik Czech, Switzerland dan Hong Kong (CoolMPS tersedia di Hong Kong). Produk ini adalah UNTUK KEGUNAAN PENYELIDIKAN SAHAJA DAN BUKAN UNTUK DIGUNAKAN DALAM PROSEDUR DIAGNOSTIK.

https://www.cancer.net/cancer-types/leukemia-acute-myeloid-aml/introduction
https://seer.cancer.gov/statfacts/html/amyl.html 
3 Daver N dan lain-lain. Leukemia (2019) 33:299–312. 

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1019746/Invivoscribe_Logo.jpg?p=medium600

Source: Invivoscribe, Inc.
Keywords: Biotechnology Health Care/Hospital Medical Equipment Medical/Pharmaceuticals Licensing/marketing agreements