omniture

Land Rover Mengumumkan Perkongsian Global dengan Virgin Galactic

Land Rover
2014-04-15 23:55 180

BANDAR RAYA NEW YORK, 15 April 2014 /PRNewswire/ --

  • Land Rover mengumumkan Zaman Penemuan Baharunya dengan penuh dramatik di New York
  • Pengenalan global untuk kereta konsep Discovery Vision Concept Land Rover baharu di samping SpaceShipTwo, kapal angkasa komersil pertama dunia
  • Land Rover ialah rakan kongsi global pertama Virgin Galactic, menyatukan dua peneraju dunia daripada segi pengembaraan, inovasi serta penerokaan.
  • Perkongsian akan digunakan untuk memberikan ilham kepada golongan muda seluruh dunia untuk menceburkan diri dalam bidang kejuruteraan, sains dan juga teknologi

Land Rover, jenama British yang sinonim dengan pengembaraan, telah mengumumkan perkongsian global jangka panjang dengan rangkaian angkasa komersil perintis milik Richard Branson, Virgin Galactic.

(Photo: http://photos.prnewswire.com/prnh/20140415/680376-a)
(Photo: http://photos.prnewswire.com/prnh/20140415/680376-b)

Perkongsian yang memecah kebiasaan itu telah diumumkan berlatarbelakangkan SpaceShipTwo, kapal angkasa penumpang komersil pertama dunia, bersama kenderaan konsep Land Rover baharu Discovery Vision Concept, lalu mempamerkan wawasan bersama tentang semangat perintis, inovasi teknologi serta kecenderungan untuk pengembaraan. Pengumuman ini menunjukkan komitmen yang dikongsi kedua-dua jenama itu terhadap reka bentuk ikonik dan kecemerlangan kejuruteraan serta keinginan untuk melangkaui sempadan perjalanan untuk generasi seterusnya.

Perkongsian ini akan menjadikan kenderaan Land Rover sebahagian daripada kehidupan harian pasukan Virgin Galactic manakala pengalaman angkasa dengan Land Rover pula kini akan bermula untuk semua 'Angkasawan Masa Hadapan' sebaik sahaja mereka tiba di New Mexico untuk latihan, dan akan diteruskan ke saat mereka memandu dari bangunan terminal angkasa ke kapal angkasa yang sedang menunggu. Land Rover akan menyediakan kumpulan kenderaan di pusat ujian Virgin Galactic di Gurun Mojave, California serta di tapak pengendalian New Mexico mereka yang mengagumkan, Spaceport America.

Pengumuman yang menguja ini telah dibuat dalam gaya penuh dramatik di atas USS Intrepid yang dahulunya merupakan kapal induk pesawat udara dan kini sudah dijadikan muzium yang dilabuhkan di Sungai Hudson khusus untuk penerokaan laut, udara serta angkasa. Langkah pertama Land Rover sebagai rakan kongsi eksklusif adalah untuk membawakan replika saiz penuh tersendiri SpaceShipTwo VSS Enterprise ke New York, tempat ia menyertai British Airways Concorde yang hebat serta kapal yang berkongsi namanya, Space Shuttle Enterprise, di atas Intrepid. Seperti Space Shuttle, SpaceShipTwo ialah armada revolusioner pertama yang terdiri daripada kapal angkasa manusia boleh guna semula. Mengumpulkan semua kenderaan ini di tempat yang sama buat julung kalinya melakarkan simbol berkuasa yang mewakili kebijaksanaan manusia serta semangat penerokaan dan penemuan yang berkobar-kobar.

Turut diperkenalkan bersama SpaceShipTwo ialah Discovery Vision Concept Land Rover, wawasan kumpulan kenderaan Discovery masa hadapan milik Land Rover. Kereta konsep itu mempertunjukkan tona reka bentuk baharu yang dinamik serta pelbagai teknologi yang julung kali digunakan di dunia. Discovery Vision Concept mewakili SUV unggul di masa hadapan, berlandaskan kemampuan terkemuka Land Rover untuk meredah semua rupa bumi.

Kenderaan itu menggunakan teknologi realiti luasan bagi menyediakan pemandangan 'tembus' rupa bumi di hadapannya, lalu menjadikan bahagian hadapan kereta itu seakan-akan halimunan dari dalam kabin. Kawalan Gerak Isyarat membenarkan anda membuka pintu, mengendalikan lampu tunjuk arah atau menghidupkan lampu hadapan hanya dengan menggerakkan tangan anda, manakala Rujukan Laser pula memancarkan tanda, simbol serta imej tampak ke atas tanah bagi membantu pergerakan berkelajuan rendah atau pergerakan yang sukar dilakukan.

Lebih 200 tetamu VIP menyaksikan dua kenderaan yang bakal mengubah hala tuju pasaran ini, yang telah diperkenalkan berlatarbelakangkan kota raya Manhattan yang mempesonakan serta jujukan pemetaan pancaran yang mengagumkan.

Richard Branson, Pengasas Virgin Galactic, berkata: "Kami memang sangat gembira apabila Land Rover menyertai kami dalam kembara kami yang hebat ini. Sukar untuk memikirkan jenama lain yang lebih sinonim dengan penerokaan dan pengembaraan. Kecemerlangan keselamatan dan kejuruteraan kenderaan Land Rover, yang sudah sedia dikenali selama lebih 65 tahun, merupakan ciri yang turut dimiliki oleh Virgin Galactic. Kami tidak sabar-sabar lagi untuk melangkaui sempadan terakhir bersama-sama dan menjalin perkongsian berpanjangan yang membuahkan hasil." 

Phil Popham, Pengarah Pemasaran Kumpulan Jaguar Land Rover, berkata: "Inilah penyatuan dua jenama paling ikonik di Britain yang meraikan nilai yang dikongsi bersama, semangat perintis serta kecenderungan untuk pengembaraan. Kami bukan sahaja berkongsi wawasan jangka panjang yang sama bagi membolehkan manusia menerokai, malah kami juga ingin memajukan perkongsian ini agar dapat memberikan ilham kepada yang lain. Daripada puluhan ribu kakitangan dan pelanggan kami kepada sekolah dan universiti, menggalakkan lebih ramai orang muda menceburkan diri dalam bidang kejuruteraan, sains, teknologi serta matematik – lalu menerokai cara perjalanan baharu untuk generasi masa hadapan."

"Nadi Land Rover berdenyut 'lebih jauh lagi' – kamilah perintis darat manakala Virgin Galactic pula ialah perintis angkasa. Inilah padanan jenama secocok yang berkongsi wawasan yang sama."

Kedua-dua jenama menjalinkan hubungan masyarakat yang signifikan dan dipandang tinggi serta menjalankan program pendidikan STEM, yang menggalakkan golongan muda menyimpan cita-cita untuk berjaya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan juga matematik di samping bersama-sama melihat potensi besar untuk memajukan perkongsian ini bagi memberikan ilham kepada orang lain serta menggalakkan lebih ramai orang muda agar berkecimpung dalam semua bidang yang sangat penting ini.

Dengan ihsan Land Rover, SpaceShipTwo akan kekal dipamerkan di Muzium Laut, Udara serta Angkasa Intrepid untuk tayangan umum mulai 15 hingga 22 April. Ia akan berada di samping beberapa artifak penting lain termasuklah kapal angkasa pertama Enterprise, pengorbit NASA prototaip yang telah membuka jalan untuk program kapal angkasa serta syarikat penerbangan kapal terbang penumpang supersonik Concorde yang revolusioner dan turut memecahkan rekod.

Discovery Vision Concept akan dipamerkan di Pameran Kenderaan New York, yang akan dibuka pada hari Rabu 16 April.

Alami sekali keterujaannya sambil kisah ini diteruskan di laman Facebook, Twitter dan juga Instagram Land Rover dan sertai perbualan dengan menaip #ReadyToDiscover.

Bagi menonton filem yang dibikin khas untuk menandakan permulaan perkongsian baharu antara Land Rover dan Virgin Galactic, sila lawati; https://www.youtube.com/watch?v=yhR3GCqT0Zg dan untuk melihat komen Richard Branson tentang perkongsian itu sila lawati: https://www.youtube.com/watch?v=ghrQOWO5r1o

Nota kepada Editor:

DISCOVERY VISION CONCEPT 

Discovery Vision Concept ialah wawasan berani tentang SUV masa hadapan. Land Rover Discovery yang ikonik sedia untuk beralih daripada model tunggal kepada kumpulan kenderaan baharu yang direka bentuk agar memenuhi setiap keperluan pelanggan masa depan. Semangat perintis yang menjadi teras Discovery selama 25 tahun lepas diteruskan lagi dengan wawasan baharu Land Rover yang berani untuk zaman baharu Penemuan: lebih pintar, lebih terhubung, lebih diingini dan juga lebih berkebolehan berbanding sebelum ini.

VIRGIN GALACTIC

Virgin Galactic yang dimiliki Virgin Group Sir Richard Branson dan aabar Investments PJS bakal menjadi rangkaian kapal angkasa komersil pertama di dunia. Sehingga hari ini, syarikat itu telah menerima bayaran pendahuluan melebihi $85 juta daripada lebih 700 individu, kira-kira 20 peratus lebih daripada jumlah orang yang pernah menjejakkan kaki ke angkasa. Kapal angkasa baharu itu (SpaceShipTwo, VSS Enterprise) serta kapal pengangkut (WhiteKnightTwo, VMS Eve) telah dibangunkan untuk armada kenderaan Virgin Galactic oleh Scaled Composites yang berpusat di Mojave. Setelah diasaskan oleh Burt Rutan, Scaled telah membangunkan SpaceShipOne, yang telah merangkul Hadiah Ansari X bernilai $10 juta pada tahun 2004 sebagai kapal angkasa kendalian manusia pertama yang dibangunkan oleh syarikat swasta di dunia. Kenderaan baharu Virgin Galactic, yang akan dibina oleh The Spaceship Company di Mojave, California, berkongsi sebahagian besar reka bentuk asas yang sama, namun dibina untuk membawa enam pelanggan, atau beban muatan penyelidikan saintifik setara, semasa penerbangan angkasa suborbit. Kenderaan itu akan membenarkan pengalaman terapung dalam graviti sifar dengan pemandangan planet menakjubkan dari langit angkasa hitam bagi para pelancong angkasa serta platform mikrograviti tersendiri untuk para penyelidik. Program penerbangan ujian VSS Enterprise dan VMS Eve sedang dibangunkan lalu membawa kepada pengendalian komersil Virgin Galactic, yang akan berpusat di Spaceport America di New Mexico.

LATAR BELAKANG MUZIUM LAUT, UDARA & ANGKASA INTREPID

Muzium Laut, Udara & Angkasa Intrepid ialah institusi pendidikan tanpa untung yang mempamerkan kapal induk pesawat udara penuh legenda Intrepid, kapal angkasa Enterprise, pesawat jet terpantas di dunia serta kapal selam peluru berpandu. Melalui pameran, program pendidikan dan juga koleksi terunggul kapal udara dan kapal yang memecah kebiasaan teknologi, para pelawat semua peringkat umur dijemput untuk mengalami perjalanan interaktif merentasi sejarah bagi mempelajari tentang inovasi dan keberanian Amerika. Muzium Intrepid memenuhi misinya untuk memberi penghormatan kepada para wira, mendidik orang awam dan turut memberi ilham kepada golongan belia dengan merapatkan mereka dengan sejarah melalui penerokaan amali sambil menghubungkan masa hadapan dengan mengilhamkan inovasi.

Source: Land Rover
Keywords: Airlines/Aviation Auto Transportation Licensing/marketing agreements