omniture

LAPORAN BARU DARIPADA GENERATION MENDEDAHKAN KAEDAH AMALAN PENGAMBILAN KERJA YANG PERLU DISESUAIKAN OLEH MAJIKAN UNTUK MENARIK BAKAT TEKNOLOGI ARAS PERMULAAN

Generation
2023-06-22 17:00 2

Walaupun terdapat retorik mengenai pengambilan pekerja berasaskan kemahiran, 61% majikan menambah syarat saringan kerja atau pendidikan untuk ambilan pekerja aras permulaan sepanjang tempoh tiga tahun yang lalu

Syarikat yang memansuhkan syarat memiliki ijazah atau pengalaman kerja menyaksikan peningkatan ketara dari segi bilangan pemohon dan prestasi semasa bekerja yang setara 

WASHINGTON, 22 Jun 2023 /PRNewswire/ -- Data baharu daripada Generation, organisasi pekerjaan bukan berkeuntungan global, mendedahkan bahawa organisasi perlu memperbaharui amalan pengambilan pekerja untuk bakat teknologi aras permulaan secara radikal – dan membentangkan langkah pertama yang perlu diambil.

Sebilangan syarikat telah mencuba pelbagai kaedah baharu dan memansuhkan syarat memiliki ijazah atau pengalaman bekerja sejak tiga tahun lalu, dan mereka kini mendapat manfaatnya.

Hampir 60% organisasi yang menghapuskan syarat kelayakan ini menyaksikan peningkatan dari segi bilangan pemohon, membolehkan mereka mengambil lebih ramai pekerja dengan lebih cepat, dan memanfaatkan kumpulan calon baharu yang boleh menyemarakkan kepelbagaian bakat. Malah, mereka turut menyaksikan sedikit perkembangan positif dari segi prestasi apabila calon mula bekerja—dengan 84% syarikat mengatakan bahawa mereka yang diambil bekerja tanpa kelayakan ijazah atau akademik menunjukkan prestasi yang sama atau lebih baik berbanding mereka yang diambil bekerja menggunakan kaedah tradisional.

Penemuan ini datangnya daripada kajian Launching a Tech Hiring Revolution (Melancarkan Revolusi Ambilan Pekerja Teknologi), sebuah kajian yang dijalankan ke atas beribu-ribu majikan, pekerja teknologi aras permulaan dan pencari kerja, yang merangkumi lapan buah negara: Brazil, Kanada, Perancis, Jerman, India, Mexico, UK dan AS. Penyelidikan ini disokong oleh The Hg Foundation serta Bank of America, Clayton, Dubilier & Rice dan MetLife Foundation.

Di peringkat global, 86% majikan yang ditinjau mengatakan bahawa mereka mengambil pekerja untuk peranan teknologi aras permulaan. Organisasi merentasi pelbagai sektor, termasuk perbankan, pembuatan dan peruncitan, semuanya mempunyai keperluan teknologi dan ini menyebabkan mereka terpaksa bersaing untuk mendapatkan bakat. Dan mereka kini sedang menghadapi kesukaran dengan 62% majikan mengatakan bahawa proses pengambilan bakat teknologi aras permulaan perlu diubah.

Pekerjaan teknologi aras permulaan yang sebenar telah hilang, dengan 94% majikan mengatakan bahawa syarat pengambilan pekerja mereka untuk peranan teknologi "aras permulaan" turut merangkumi pengalaman kerja terdahulu dalam bidang berkaitan.

Namun walaupun terdapat retorik berterusan mengenai pengambilan pekerja berasaskan kemahiran ini, hampir dua pertiga majikan di seluruh dunia (61%) menambah syarat kelayakan akademik atau pengalaman bekerja sepanjang tempoh tiga tahun yang lalu untuk peranan teknologi aras permulaan. Dan bukan hanya kemahiran teknikal sahaja yang diambil kira, malah 40% majikan turut menambah syarat kemahiran tingkah laku.

Sebagaimana ditunjukkan oleh majikan yang tidak mengikuti trend ini, peralihan ke arah ambilan kerja berfokuskan kemahiran berbanding ijazah kini merupakan satu cara untuk mengakses kumpulan bakat baharu. Memberi tumpuan kepada teknik berasaskan kemahiran merupakan satu perkara penting dalam memastikan kejayaan majikan bagi kumpulan yang memansuhkan syarat kelayakan, di mana pensijilan industri teknologi memainkan peranan penting. Namun, walaupun kelayakan sijil berfungsi sebagai penyamarata bagi proses pengambilan pekerja merentasi etnik, kecenderungan jantina tetap wujud. Kaum lelaki tanpa sebarang sijil menerima lebih banyak tawaran pekerjaan bagi setiap temu duga berbanding wanita yang mempunyai sijil.

Walaupun majikan sangat bermotivasi untuk mengembangkan aliran bakat teknologi aras permulaan ini, syarikat yang menghadapi kesukaran untuk membuat perubahan memetik tentang belanjawan yang ketat dan kekurangan sokongan eksekutif sebagai suatu halangan yang sukar. Laporan ini menyimpulkan bahawa terdapat empat faktor yang perlu dirungkai untuk melakukan peralihan termasuk:

  • Mengembangkan kumpulan pemohon dengan memansuhkan syarat pengalaman kerja dan ijazah, sebaliknya mengutamakan sijil dan bukti yang menunjukkan kemahiran lain.
  • Semasa proses pengambilan pekerja, gunakan penilaian teknikal untuk memastikan pemohon mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk pekerjaan yang ditawarkan.
  • Sentiasa berikan perhatian kepada kedua-dua kemahiran tingkah laku dan teknikal.
  • Ubah pasukan pengambilan pekerja untuk mengurangkan sifat berat sebelah dan meningkatkan kepelbagaian bakat.

Untuk terus meneroka kemungkinan pendekatan berasaskan kemahiran, Generation akan mengumpulkan pakatan majikan global yang ingin melakukan perubahan sebagaimana yang disarankan oleh penyelidikan ini dan berkongsi hasil secara terbuka untuk mencipta penyelesaian berkekalan yang boleh digunakan dalam pelbagai sektor dan di seluruh dunia.

Anda boleh membaca keseluruhan laporan ini di sini.

Mona Mourshed, Ketua Pegawai Eksekutif Global merangkap Pengasas Generation berkata: 

"Terdapat kepincangan pada peringkat permulaan kerjaya teknologi. Setiap hari di Generation, kami berada di tengah-tengah beribu-ribu majikan dan pelajar, dan kami melihat bahawa terdapat kepincangan dalam proses pengambilan pekerja yang menyukarkan individu berbakat dengan latar belakang yang diperlukan namun tidak diambil kira, untuk merebut peluang kerjaya ini. Itulah sebabnya kami menjalankan penyelidikan ini untuk membantu majikan dan masyarakat memansuhkan apa jua yang menjadi halangan kepada aliran bakat teknologi aras permulaan. Langkah seterusnya ialah meneroka dengan lebih mendalam tentang usaha yang berkesan, dan saya teruja untuk bekerjasama dengan pakatan majikan global yang komited untuk membuka peluang bidang teknologi ini kepada lebih ramai orang."

Martina Sanow, Pemegang Amanah dan Rakan Kongsi Hg Foundation, sebuah badan amal yang memberi geran untuk menghapuskan halangan pendidikan dan kemahiran dalam sektor teknologi, berkata: 

"Mereka yang datang daripada pelbagai latar belakang dan tidak mengikuti laluan kerjaya tradisional mewakili sekumpulan besar bakat yang berpotensi untuk sektor teknologi. Penyelidikan penting ini menunjukkan satu langkah yang telah mengubah pemahaman kami terhadap pasaran bakat aras permulaan global serta mengetahui tentang peluang dan cabarannya. Langkah penting seterusnya adalah untuk melakukan perubahan berdasarkan laporan ini dan mencuba pendekatan ambilan kerja majikan yang inovatif yang akan memanfaatkan kebolehan golongan kurang diberi perhatian."

Nota kepada Editor 

Metodologi 

Penemuan dalam laporan ini diambil daripada tinjauan yang dijalankan oleh Generation dengan kerja-kerja di lapangan yang bermula dari 4 November 2022 hingga 9 Januari 2023. Kajian ini termasuk individu bekerja (berumur 18 tahun ke atas), individu menganggur (berumur 18 tahun ke atas) serta pengurus pengambilan dan teknikal dalam kalangan majikan.

Tinjauan itu mendapat 4,023 respons daripada individu bekerja dan menganggur, serta 1,325 respons daripada majikan di seluruh Brazil, Kanada, Perancis, Jerman, India, Mexico, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Tentang Generation 

Generation ialah sebuah rangkaian pekerjaan global bukan berkeuntungan yang menyokong orang ramai mencapai mobiliti ekonomi agar mereka mampu mengubah kehidupan. Kami melatih dan menempatkan golongan dewasa ke dalam bidang kerjaya yang tidak boleh diakses dan berusaha untuk memperbaiki cara sistem pendidikan dan pekerjaan berfungsi. Generation dilancarkan pada tahun 2015 dan terdiri daripada sebuah hab global dengan rangkaian gabungan dalam negara yang merangkumi 17 buah negara. Sehingga kini, Generation mempunyai lebih 80,000 orang graduan yang telah memperoleh gaji melebihi $630 juta, serta bekerja dengan lebih 11,000 majikan, rakan kongsi pelaksanaan dan pembiaya. Untuk maklumat lanjut, sila layari generation.org.

Tentang Hg Foundation 

Visi Hg Foundation ialah supaya tenaga kerja teknologi pada masa hadapan memanfaatkan bakat semua orang tanpa mengira latar belakang mereka.  Ia menjalankan visi ini dengan menyokong program berasaskan pendidikan dan pekerjaan di seluruh UK, Amerika Syarikat dan Eropah di mana kesan jangka panjang yang boleh diukur dan ditingkatkan dapat ditunjukkan manakala perubahan dapat dilaksanakan ke atas golongan yang paling memerlukan. Sehingga kini, ia telah memperuntukkan sebanyak $14 juta untuk program-program yang menjangkau 10,000 belia dan dewasa daripada latar belakang yang kurang diwakili Nombor Badan Amal berdaftar Hg Foundation ialah 1189216. Ketahui lebih lanjut di https://www.thehgfoundation.com/

 

Source: Generation
Keywords: Computer/Electronics Workforce Management/Human Resources Not for profit Survey, Polls & Research