GUANGZHOU, China, 25 April 2014 /PRNewswire/ -- Fasa 1 Pesta Canton ke-115 telah dimulakan dengan penuh kemeriahan, dengan pertambahan kehadiran para pembeli dari luar negara sebanyak 10 peratus. Walaupun angka pengunjung dari Eropah menurun, para pengunjung dari Afrika dan Asia meningkat secara signifikan, dengan hampir 50 peratus pembeli adalah dari Asia. Sejumlah 24,581 peserta pameran terlibat dalam pesta ini, dengan peningkatan 64 peserta berbanding tahun lalu.
Pesta ini juga semakin mendapat tempat dalam kalangan pembeli Afrika: jumlah pengunjung dan pesanan dirangsang oleh persekitaran politik yang stabil. Para peserta pameran berkata pesanan hari pertama telah meningkat dengan signifikan berbanding pesanan pada tahun 2013, terutamanya bagi bahan pembinaan dan juga barangan elektronik. Seorang pembeli dari Afrika Selatan telah pun menamatkan perundingan dengan pembekal bagi pesanan produk perkakasan yang bernilai USD 2 juta.
"Pesta Canton merupakan pusat untuk bertemu rakan lama bagi para pembeli dan pengeluar," kata Yang Jun, Pengurus Besar Hefei Rongshida Sanyo Electric Co., Ltd. Syarikat beliau telah menerima pesanan bernilai lebih RMB 300 juta.
Mohamyed dari Sudan berkata, "Ini merupakan tahun kelima saya menghadiri pesta ini. Barangan dari China adalah murah, namun kualitinya tetap terjamin dan turut mendapat permintaan di Sudan." Chris dari Nigeria pula berkata, "Ini merupakan lawatan saya buat kali kedua bagi mendapatkan aksesori TV serta peralatan rumah."
Peserta pameran dari Afrika mendapati Pesta ini semakin membuka peluang perniagaan baharu bagi mereka. Dalia Saad, Naib Presiden Bahagian Eksport untuk syarikat Mesir, Unionaire iaitu syarikat yang menghasilkan barangan dapur berkata, "Pesta ini merupakan platform antarabangsa yang terbesar dan membolehkan kami untuk mendapatkan peluang perniagaan dari serata dunia."
Muzzafar dari Pakistan yang mengimport jersi, topi keledar dan juga sarung tangan untuk aktiviti berbasikal pula berkata: "Bidang pembuatan di Pakistan adalah lemah disebabkan oleh infrastruktur yang lemah, kekurangan tenaga kerja serta harga bahan api yang tinggi. Pesta ini merupakan yang terbesar seumpamanya di seluruh dunia."
Menurut Liu Jianjun, Jurucakap Pesta Canton, "Jumlah pembeli dari Afrika semakin meningkat dan mereka mula memainkan peranan yang amat penting. Kami menjangkakan kehadiran dari luar negara bagi sesi kali ini adalah sekitar 200,000, seperti kehadiran di Pesta ke-113." En. Liu turut berkata, "Sesi Musim Bunga kali ini berlaku serentak dengan kemuncak musim membeli bagi para pembeli Afrika."
Pesta tersebut telah memperkenalkan insentif baharu bagi menarik lebih ramai pembeli, terutamanya menerusi kerjasama dengan China Southern Airlines bagi mengurangkan kos penerbangan untuk para pembeli dari Australia serta menggalakkan peserta pameran untuk menarik kedatangan pembeli baharu. Kerjasama dengan dewan perniagaan dari luar negara untuk pertukaran media turut membuahkan hasil.
Para penganjur mengharapkan kehadiran lebih ramai pembeli serta peserta pameran bagi menyertai fasa kedua dan ketiga Pesta ini yang akan berlangsung antara 23 April dan 5 Mei.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, sila layari: http://www.cantonfair.org.cn/en/index.asp