PRETORIA, Afrika Selatan, 30 Mei 2014 /PRNewswire/ -- NTP Radioisotopes SOC Ltd, syarikat subsidiari Perbadanan Tenaga Nuklear Afrika Selatan (Necsa), menghasilkan satu suku daripada radioisotop perubatan dunia yang digunakan bagi membenarkan kira-kira 40 juta imej diagnostik perubatan diambil setiap tahun, lalu menjadikannya sebagai pengeluar dan pembekal ketiga terbesar pada peringkat global. Warga korporat Afrika Selatan yang bangga ini terletak di tapak kemudahan nuklear Necsa yang canggih, di barat Pretoria dan secara rutinnya berkhidmat kepada pelanggan di 60 negara di enam benua dengan rangkaian produk dan perkhidmatan berasaskan radiasi nuklear mereka.
NTP memberi sumbangan besar kepada KDNK Afrika Selatan
Sebagai syarikat yang bertumpu pada pelanggan, dan bertanggungjawab daripada segi sosial dan alam sekitar, NTP telah meletakkan Afrika Selatan di mata dunia sebagai pasaran baru muncul yang mempunyai harapan tinggi, lalu menyumbang hampir R1-bilion dalam hasil radiofarmaseutikal tempatan dan antarabangsa, menurut laporan tahunan.
Phumzile Tshelane, Ketua Pegawai Eksekutif Necsa, berkata NTP menikmati reputasi yang dibina berdasarkan perkhidmatan yang konsisten dan andal, serta kecemerlangan kualiti produk dengan kelebihan daya saing yang mantap terhadap pengeluar isotop lain disebabkan kawalan terus ke atas atau capaian kepada bahan mentah, kemudahan serta proses.
Afrika Selatan ialah negara pertama di dunia yang berjaya melaksanakan penghasilan Mo-99 dan I-131 berasaskan LEU berskala komersil
Satu tanda aras global telah dicapai pada bulan Jun 2009 apabila teras reaktor SAFARI-1 mula-mula sekali menggunakan bahan api uranium diperkaya rendah (gred bukan senjata) (LEU) dan bukan uranium diperkaya tinggi (HEU) seperti yang digunakan sebelum ini. Jelas Tshelane, "Pencapaian ini, bersama penukaran plat sasaran (Mo-99 dan I-131 diekstrak daripadanya) kepada LEU, menandakan permulaan penghasilan Mo-99 sepenuhnya berasaskan LEU berskala komersil yang pertama." Kejayaan ini diikuti oleh penghantaran kumpulan pertama Mo-99 berasaskan LEU kepada seorang pelanggan di AS pada lewat tahun 2010. Penghantaran Mo-99 LEU masih diteruskan.
"SAFARI-1 ialah satu-satunya reaktor penyelidikan di dunia dengan hari beroperasi yang paling banyak dalam setahun (lebih 300 hari), lalu memastikan kapasiti penghasilan radioisotop yang optimum serta mengekalkan jadual penyelenggaraan yang sangat ketat," kata Tshelane. "Walaupun reaktor ini berusia 48 tahun, penyelenggaraannya begitu baik sekali dan kenaikan tarafnya sentiasa dilakukan, bermakna ia boleh beroperasi sekurang-sekurangnya sehingga tahun 2030."
NTP menjalankan proses penukaran plat sasaran Uranium Diperkaya Tinggi (HEU) kepada yang diperbuat daripada Uranium diperkaya rendah (LEU) seperti yang digalakkan oleh Inisiatif Pengurangan Ancaman Global (GTRI) yang dilaksanakan oleh Pentadbiran Keselamatan Nuklear Kebangsaan (NNSA) AS. Inisiatif NNSA itu ingin menghapuskan kemungkinan HEU gred bom jatuh ke tangan pengganas dan NTP telah mendapat pujian peringkat antarabangsa kerana pencapaian rintisnya dalam menyingkirkan kebergantungan pada HEU bagi penghasilan radioisotop.
Don Robertson, Pengarah Urusan NTP berkata, "Molibdenum-99 yang dihasilkan dalam reaktor yang menggunakan LEU sebagai bahan api ialah sumbangan yang penting terhadap keselamatan penghasilan, dan untuk membekalkan industri penjagaan kesihatan dengan capaian selamat dan terjamin, berkesan daripada segi kos serta tidak terganggu kepada prosedur pengimejan perubatan yang kritikal dan sering kalinya, berjaya menyelamatkan nyawa."
Kepakaran Bertaraf Dunia
Kepakaran NTP yang bertaraf dunia dalam penghasilan radioisotop perubatan menggunakan reaktor SAFARI-1 dan kemudahan pemprosesan yang canggih ialah Molibdenum-99 (Mo-99) – produk pereputan Teknetium-99m (Tc-99m) – yang digunakan untuk mendiagnosis barah, penyakit jantung dan banyak lagi penyakit lain serta Iodin-131 (I-131) yang digunakan bagi merawat penyakit tiroid. Jelas Robertson lagi, "Penghasilan Mo-99 oleh NTP, pada skala komersil, telah dibangunkan sewaktu awal tahun 1990-an. Selepas kapasiti penghasilan ini dan penembusannya ke dalam pasaran global, hari ini NTP muncul sebagai salah satu peneraju dunia dalam bidang ini."
Selama 18 tahun lepas, NTP mengekalkan persetujuan bekalan radioisotop konsortium yang berjaya dengan IRE di Belgium. Setiap organisasi telah berjaya menyediakan bekalan Mo-99 sandaran sesama sendiri ketika salah satu daripada mereka mempunyai loji yang tidak dapat beroperasi kerana tujuan penyelenggaraan. Perikatan jangka panjang dengan IRE ini telah menyumbang sebahagian besar kepada status NTP sebagai salah satu peneraju pembekal Mo-99 di dunia, kerana bekalan yang berterusan dan andal sejak sekian lama.
Ketika bercakap tentang pencapaian NTP, Tshelane turut berkata NTP telah mewujudkan perkongsian dengan Organisasi Sains dan Teknologi Nuklear Australia (ANSTO) yang melibatkan pembinaan kemudahan penghasilan Mo-99 berskala besar di ANSTO menggunakan teknologi dan kepakaran NTP, disokong oleh kemampuan dan pengalaman ANSTO yang menyeluruh. Beliau berkata, "Perkongsian penghasilan Mo-99 antara Afrika Selatan dan Australia ini telah diwujudkan pada bulan September 2012 dan muncul pada saat yang kritikal untuk bekalan perubatan nuklear kerana penutupan sesetengah kemudahan penghasilan Mo-99 yang besar di Kanada dan Eropah yang tidak dapat dielakkan."
"Kami berbangga kerana kemajuan teknologi Afrika Selatan sepenuhnya ini telah menyumbang dengan begitu signifikan kepada usaha penghindaran pengedaran nuklear, sambil memperbaiki kehidupan jutaan pesakit yang menikmati faedah daripada penggunaan perubatan nuklear. Ini menunjukkan komitmen Afrika Selatan dan NTP terhadap penggunaan teknologi nuklear yang terbukti untuk tujuan damai," simpul Robertson.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut lawati: http://www.ntp.co.za
SUMBER NTP Radioisotopes SOC Ltd