omniture

Pengubahsuaian "Tren Crucero" Bersejarah di Ecuador Kini Siap

The Ministry of Tourism of Ecuador
2014-06-11 10:11 118

-- Pengunjung Kini Boleh Melancong Dengan Gaya Kelas Pertama dari Pasifik hingga ke Andes

QUITO, Ecuador, 10 Jun 2014 /PRNewswire/ -- Terokai laluan paling indah di Ecuador dengan menaiki "Tren Crucero," yang pada asalnya dibina pada penghujung 1800-an bagi menghubungkan negeri yang dipisahkan oleh pergunungan yang hebat dan agung. Pengubahsuaian kereta api tersebut telah hampir siap bagi menyediakan peluang kepada para pengunjung untuk menikmati budaya yang menarik, kepelbagaian serta cita rasa Ecuador dengan kemudahan serta perkhidmatan yang luar biasa. Kereta api tersebut merangkumi enjin stim asal yang telah dibaik pulih serta empat gerabak yang turut diperbaiki yang dibina dengan gaya Baroque Sepanyol. Para penumpang juga mempunyai pilihan untuk bermalam di beberapa hotel gaya hacienda terpilih sepanjang laluan tersebut.

Terkenal sebagai "Kereta Api Paling Sukar di Dunia", pembinaan Tren Crucero ialah hasil kejuruteraan yang hebat. Laluan tersebut memintas landskap yang indah dan mencabar ketika ia menelusur dari Guayaquil, pada paras laut hingga ke hutan awan di ketinggian Andes. Puncak tertingginya dapat mencapai hingga 12,000 kaki (3,600 meter) di lereng Gunung Chimborazo yang merupakan gunung tertinggi di Ecuador serta menelusur kawasan lembah, sungai serta pergunungan, menerusi Avenue of the Volcanoes dengan lebih sepuluh gunung berapi dan berakhir di Quito, ibu negara Ecuador yang merupakan bandar pertama yang diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1978.

Perjalanan menaiki kereta api selama tiga hari/empat malam adalah sejauh 280 batu (450 km) dengan pelbagai pengalaman yang berharga. Para pelancong akan teruja dengan kawasan perkampungan yang berwarna-warni di bahagian pantai dan di Andes, serta menikmati keindahan semula jadi dan juga pemandangan gunung-ganang yang dramatik. Sepanjang perjalanan, para tetamu akan bermalam di hacienda tradisional dan akan ditemani oleh pemandu yang berpengetahuan dan mampu bertutur dalam dwi-bahasa yang akan berkongsi rahsia rantau purba ini.

Laluan ini boleh digunakan untuk menuju kedua-dua arah – dari Guayaquil ke Quito atau dari Andes ke Pantai Pasifik. Segmen perjalanan juga boleh dipilih, yang merangkumi lawatan ke beberapa tapak yang tiada tandingan untuk aktiviti luar dan keajaiban semula jadi seperti Stesen El Boliche berhampiran Taman Negara Cotopaxi.

Perjalanan ini juga membolehkan setiap pengunjung untuk menghargai kepelbagaian budaya di Ecuador. Selain pemandangan indahnya, setiap stesen, penginapan hacienda atau persiaran melalui pasar tempatan akan membawa pelawat mendekati budaya Ecuador dan masyarakatnya. Devil's Nose yang terkenal adalah saat paling dinantikan sepanjang laluan tersebut dan merupakan hasil kejuruteraan yang mengagumkan. Bagi melalui kawasan pergunungan yang berceracak berhampiran Alausi, kereta api tersebut bergerak secara berundur sepanjang tebing dan berhenti di tengah-tengah cerun yang curam serta melalui jalan gunung yang bengkang-bengkok sejauh tiga batu (dua km) dengan ketinggian 1,300 kaki (400 meter) sebelum meneruskan perjalanan. Ia suatu perkara yang menakjubkan kerana laluan ini telah dibina dengan menggunakan pencungkil dan penyodok pada abad lalu di negara yang penuh keajaiban ini.

Sebagai pemenang anugerah Produk Pelancongan Terbaik Luar Eropah bagi Anugerah Pelancongan Dunia 2013, Tren Crucero kini merupakan calon Kereta Api Terbaik di Amerika Selatan bagi Anugerah Pelancongan Dunia tahun ini.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang Tren Crucero, sila layari www.trenecuador.com. Bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang Ecuador dan segala keindahannya, sila layari: www.ecuador.travel.

Latar Belakang Kementerian Pelancongan Ecuador
Kementerian Pelancongan Ecuador merupakan institusi yang diamanahkan dengan hala tuju, peraturan, kawalan, perancangan, pengurusan, promosi serta penyebaran maklumat bagi menjadikan Ecuador sebagai destinasi pelancongan pilihan menerusi budayanya yang luar biasa, kepelbagaian semula jadi dan kehidupan dengan pelancongan yang bertanggungjawab sebagai aktiviti yang menjurus kepada pembangunan sosial dan ekonomi yang mampan.

Hubungi: Natalia Lopez, 212-715-1600, natalia@finnpartners.com

Source: The Ministry of Tourism of Ecuador
Keywords: Travel New products/services