omniture

Infosys akan Melantik Dr. Vishal Sikka sebagai Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Urusan

Infosys
2014-06-13 16:45 229

BANGALORE, India, 13 Jun 2014 /PRNewswire/ -- Lembaga Pengarah Infosys dengan sukacitanya mengumumkan pemilihan Dr. Vishal Sikka sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan (CEO & MD) syarikat itu. Dr. Sikka akan dilantik sebagai pengarah sepenuh masa Lembaga itu dan CEO & MD (Bakal) pada 14 Jun 2014. Beliau akan mengambil alih sebagai CEO & MD daripada En. S. D. Shibulal pada 1 Ogos 2014.

(Logo: http://photos.prnewswire.com/prnh/20130122/589162 )

Lembaga itu juga telah menaikkan pangkat En. U.B. Pravin Rao, Presiden dan pengarah sepenuh masa, sebagai Ketua Pegawai Operasi, berkuat kuasa 14 Jun 2014.

Sehingga baru-baru ini, Dr. Vishal Sikka merupakan ahli Lembaga Eksekutif SAP AG, menerajui semua produk dan memacu inovasi pada peringkat global. Beliau bekerja rapat bersama pemimpin semua syarikat global dalam membina penyelesaian perniagaan yang memecah kebiasaan. Di SAP, beliau bertanggungjawab untuk semua produk, daripada aplikasi tradisional dan aplikasi berasaskan awan sehinggalah produk platform dan teknologi termasuk HANA, analisis, mudah alih dan juga perisian tengah. Tambahan lagi, Dr. Sikka mengetuai pelbagai inisiatif untuk memacu inovasi dan penyelidikan di SAP. Beliau mempunyai ijazah kedoktoran dalam sains komputer daripada Universiti Stanford, AS.

Diminta memberi komen tentang pelantikan beliau, Dr. Sikka berkata, "Saya berbesar hati dapat mengetuai Infosys, syarikat ikonik yang dibina oleh perintis dalam industri teknologi. Saya tidak sabar-sabar lagi mahu bekerjasama dan belajar daripada warga Infosys yang berbakat seluruh dunia. Teknologi pengkomputeran sedang membentuk semula setiap industri dalam segenap lapisan masyarakat. Kami di Infosys mempunyai peluang yang tersendiri untuk menyediakan penyelesaian memecah kebiasaan yang akan membawakan nilai lebih tinggi kepada para pelanggan kami, kakitangan kami, pelabur serta pihak berkepentingan lain. Saya berterima kasih kepada Jawatankuasa Pencalonan dan Pentadbiran Infosys, En. Kamath, En. Murthy dan juga Lembaga untuk peluang ini."

Lembaga itu turut mengumumkan pertukaran berikut:

  • En. N.R. Narayana Murthy dan En. S. Gopalakrishnan dengan suka relanya akan mengundurkan diri masing-masing sebagai Pengerusi Eksekutif dan Naib Pengerusi Eksekutif, pada 14 Jun 2014. Agar dapat membantu melancarkan peralihan tanggungjawab itu, mereka akan terus bertugas dalam Lembaga itu sehingga 10 Oktober 2014 masing-masing sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif dan juga Naib Pengerusi Bukan Eksekutif
  • En. K. V. Kamath akan menjadi Pengerusi Bukan Eksekutif Lembaga itu pada 11 Oktober 2014
  • En. Murthy akan dilantik sebagai Pengerusi Emeritus berkuat kuasa 11 Oktober 2014 bagi mengiktiraf sumbangan beliau kepada syarikat itu
  • En. S. D. Shibulal akan mengundurkan diri sebagai CEO & MD daripada Lembaga itu pada 31 Julai 2014
  • En. Srinath Batni, Pengarah sepenuh masa untuk syarikat itu akan mengundurkan diri daripada Lembaga itu pada 31 Julai 2014
  • Tambahan lagi, syarikat itu telah menaikkan pangkat dua belas ketua kepada jawatan Naib Presiden Eksekutif dengan tanggungjawab tambahan

Pejabat Pengerusi Eksekutif akan dibubarkan berkuat kuasa mulai 14 Jun 2014. Dr. Rohan Murty, dengan pelantikan beliau yang akan tamat tempoh serentak dengan Pengerusi Eksekutif, akan meninggalkan syarikat itu pada 14 Jun 2014. Ahli pejabat Pengerusi yang masih tinggal akan mengambil alih peranan yang lain dalam syarikat itu.

"Saya gembira dengan pemilihan Dr. Vishal Sikka sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu kami," kata Pengerusi Eksekutif, En. N. R. Narayana Murthy. "Vishal membawa pengalaman yang berharga sebagai ketua syarikat global yang besar. Rekod prestasi beliau serta sistem nilai beliau yang cemerlang membuatkan beliau pilihan yang sempurna untuk mengetuai Infosys. Bagi pihak kami semua di Infosys, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada En. Gopalakrishnan, En. Shibulal dan En. Batni untuk sumbangan mereka."

En. Murthy turut berkata, "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan kami, ahli Lembaga, semua rakan kerja saya di Infosys, bekas warga Infosys, para pelabur kami, pihak media serta mereka yang ingin melihat syarikat ini berjaya atas semua sokongan dan galakan mereka. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli bahagian saya, Ketua Pegawai Kewangan dan ketua bahagian Sumber Manusia atas sokongan hebat mereka sepanjang tempoh jawatan kedua saya di Infosys."

En. K. V. Kamath, Pengarah Bebas Utama dan Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan & Pentadbiran berkata, "Jawatankuasa in telah melakukan proses pemilihan yang menyeluruh dengan bantuan pencarian eksekutif global dan firma penilaian yang bereputasi baik. Vishal membawakan kombinasi tersendiri kehandalan teknologi dan kepintaran perniagaan. Lembaga ini komited untuk menyokong beliau dalam mengukuhkan kepimpinan syarikat itu dalam industri teknologi global."

En. S. Gopalakrishnan memberi komen, "Saya gembira kerana Lembaga telah memilih peneraju pemikiran yang telah menunjukkan bagaimana kelebihan teknologi boleh dimanfaatkan untuk membantu perniagaan menjadi lebih berdaya saing. Saya ucapkan semoga berjaya kepada beliau."

En. S. D. Shibulal berkata, "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Lembaga, para kakitangan dan juga pelabur atas sokongan yang telah mereka berikan kepada saya selama ini. Saya percaya Vishal membawakan wawasan dan kemampuan yang kami perlukan bagi membawakan Infosys ke tahap yang lebih tinggi."

En. Srinath Batni berkata, "Saya telah menghabiskan beberapa tahun yang paling memperkaya kehidupan saya di Infosys dan akan sentiasa menghargai pengalaman itu. Dengan Vishal, Infosys berada dalam kedudukan yang sempurna bagi mengorak langkah yang lebih berani ke masa hadapan."

Infosys akan menganjurkan sidang akhbar di Ibu Pejabatnya di Bandar Elektronik, Bangalore pada 12:30 tengah hari (IST) pada 12 Jun 2014.

Syarikat itu juga akan menganjurkan panggilan untuk Juruanalisis Pelabur pada pukul 6:00 petang (IST) pada 12 Jun 2014. Butiran nombor untuk dihubungi bagi panggilan pelabur itu akan dimuat naik pada laman web IR syarikat itu lewat hari ini.

Latar belakang Infosys

Infosys ialah peneraju global dalam penyelesaian khidmat nasihat, teknologi dan juga penyumberan luar. Kami membolehkan para pelanggan, di lebih 30 negara, untuk kekal satu langkah ke hadapan dalam arah aliran perniagaan baru muncul dan mengatasi prestasi pesaing mereka. Kami membantu mereka berubah dan berjaya dalam dunia yang berubah dengan mencipta penyelesaian yang memecah kebiasaan dengan menggabungkan maklumat strategik dan kecemerlangan pelaksanaan.

Lawati http://www.infosys.com untuk melihat bagaimana Infosys (NYSE: INFY), dengan hasil tahunan sebanyak US$ 8.25 bilion dan kakitangan seramai lebih 160,000 orang kini sedang menghidupkan cogan kata Building Tomorrow's Enterprise®.

Kenyataan Perlindungan Diri

Sesetengah kenyataan dalam siaran ini yang melibatkan prospek pertumbuhan masa hadapan kami ialah kenyataan pandang ke hadapan berkenaan jangkaan perniagaan masa hadapan kami yang bertujuan untuk melayakkannya bagi 'kenyataan perlindungan diri' di bawah Akta Pembaharuan Litigasi Sekuriti Swasta 1995, yang melibatkan risiko dan ketidakpastian yang boleh menyebabkan hasil sebenar benar-benar berbeza daripada yang dinyatakan dalam kenyataan pandang ke hadapan itu. Risiko dan ketidakpastian yang berkaitan dengan semua kenyataan ini termasuklah, tetapi tidak terhad kepada, risiko dan ketidakpastian berkaitan turun naik dalam pendapatan, turun naik dalam kadar pertukaran asing, kemampuan kami untuk mengurus pertumbuhan, persaingan sengit dalam perkhidmatan IT termasuk faktor yang boleh menjejaskan kelebihan kos kami, kenaikan kadar upah di India, kemampuan kami untuk menarik dan mengekalkan para profesional berkemahiran tinggi, limpahan masa dan kos untuk kontrak harga tetap dan kerangka masa tetap, kepadatan pelanggan, pengehadan ke atas imigresen, kepadatan segmen industri, kemampuan kami untuk mengurus pengendalian antarabangsa kami, kekurangan permintaan untuk teknologi dalam bidang tumpuan utama kami, gangguan dalam rangkaian telekomunikasi atau kegagalan sistem, kemampuan kami untuk berjaya melengkapkan dan turut menyepadukan pemerolehan berpotensi, liabiliti untuk kerugian ke atas kontrak perkhidmatan kami, kejayaan syarikat yang menerima pelaburan strategik daripada Infosys, penarikan atau penamatan tempoh insentif fiskal kerajaan, ketidakstabilan politik dan juga konflik serantau, larangan undang-undang bagi mengumpul modal atau membeli syarikat di luar India, serta penggunaan harta intelek kami yang tidak dibenarkan dan keadaan ekonomi biasa yang memberi kesan ke atas industri kami. Risiko tambahan yang mungkin boleh menjejaskan hasil pengendalian masa hadapan kami digambarkan dengan lebih terperinci dalam pemfailan kami dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat termasuk Laporan Tahunan kami pada Borang 20-F untuk tahun fiskal yang berakhir pada 31 Mac 2014 dan pada Borang 6-K bagi suku tahun yang berakhir pada 31 Disember 2013. Semua pemfailan ini boleh didapati di http://www.sec.gov. Infosys boleh, dari semasa ke semasa, membuat kenyataan pandang ke hadapan bertulis dan lisan tambahan, termasuk kenyataan yang terkandung dalam pemfailan syarikat kami dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa serta laporan kami kepada para pemegang saham. Tambahan lagi, sila ambil maklum tarikh siaran akhbar ini disebut pada awal siaran ini, manakala sebarang kenyataan pandang ke hadapan lain yang terkandung di dalam siaran ini pula adalah berdasarkan andaian yang kami percaya adalah munasabah setakat tarikh ini. Syarikat ini tidak bertanggungjawab untuk mengemas kini sebarang kenyataan pandang ke hadapan yang mungkin akan dibuat dari semasa ke semasa oleh atau bagi pihak syarikat ini kecuali jika diwajibkan oleh undang-undang.

Sumber: Infosys

Source: Infosys
Related Stocks:
NYSE:INFY
Keywords: Computer Software Computer/Electronics Internet Technology Outsourcing Businesses Personnel announcements