KUALA LUMPUR, Malaysia, 14 Jun 2014 /PRNewswire/ -- Modesto Marini, pengasas dan pemilik Marini's on 57, hari ini telah meraikan sambutan ulang tahun kedua bar ikonik beliau, restoran dan juga ruang menunggu Sunset Hours menerusi pelancaran album muzik yang diterbitkan oleh legenda Jose Padilla, menjadikannya jenama tempat makan dan hiburan premium pertama yang melakukannya di Asia, menyertai barisan jenama ikonik lain seperti Cafe Del Mar, Pacha serta Hotel Costes.
Foto - http://photos.prnewswire.com/prnh/20140613/117783
Modesto berkata, "Muzik dan makanan telah lama menjadi minat saya. Pada peringkat awal saya sebagai tukang masak yang menjelajah di Eropah dan Asia, saya akan sentiasa memperuntukkan masa untuk meninjau suasana terkini di kelab dan restoran. Saya mengetahui tentang Cafe Del Mar buat kali pertama ketika saya telah pun berada di Asia dan saya sentiasa menyanjung Jose yang telah memperkenalkan muzik Ibiza dan Balearic sehingga menjadi terkemuka pada peringkat global. Menerusi Sunset Hours Vol. One, dan realisasi impian saya untuk bekerjasama dengan Jose, saya berharap dapat berkongsi muzik ini bersama lebih ramai orang agar dapat benar-benar meningkatkan semangat mereka."
Jose Padilla terkenal sebagai bapa rohani muzik Balearic Chill-Out House yang telah menghasilkan runut bunyi tersendiri sebagai pelengkap kepada pemandangan matahari terbenam yang indah dari Cafe Del Mar pada tahun 1990-an. Sejak itu, beliau telah berjaya memecahkan rekod jualan menerusi sejumlah besar album kompilasi beliau.
Jose berkata, "Saya berpendapat setiap projek yang dihasilkan adalah berbeza, saya cuba bercerita menerusi muzik yang bertepatan dengan suasana sesuatu tempat. Saya mencari semangat berlainan dan berusaha mendapatkan muzik yang tepat untuk setiap kompilasi. Saya cuba bayangkan diri saya bersama teman wanita saya atau bersama sekumpulan rakan dan memilih muzik yang dapat mewujudkan suasana yang sesuai. Bagi kompilasi ini, saya telah memilih 14 runut bunyi yang merdu dan tidak agresif, beberapa runut bunyi tersebut berkaitan Balearic dan ada juga yang lebih bersifat elektronik serta mendalam yang sesuai didengar sambil waktu malam kian beransur lewat."
Album tersebut terdiri daripada muzik daripada Trevor Deep JR, Mark Barrott, 40 Thieves, Cantoma, Osunlade, No Logo dan juga Jose Padilla sendiri dengan runut bunyi yang eksklusif. Album itu juga akan dilancarkan di Ibiza, Sepanyol pada 20 Jun 2014 dan boleh didapati di pelbagai kedai muzik di Eropah, iTunes, Google Play dan juga stor muat turun serta khidmat penstriman muzik terkenal di dunia.