omniture

Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) Anjur Persidangan Antarabangsa ke-13 mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) untuk Memupuk Ketelusan dan Akauntabiliti yang Lebih Tinggi dalam Sektor Kewangan

The Asian Institute of Chartered Bankers (AICB)
2023-10-03 16:41 9

KUALA LUMPUR, Malaysia, 3 Oktober 2023 /PRNewswire/ -- Peralihan global kepada landskap perbankan yang berorientasikan digital bukan sahaja membawa peluang yang lebih besar untuk pertumbuhan dan rangkuman kewangan, bahkan juga beberapa cabaran yang ketara, terutamanya kelaziman jenayah kewangan, pengubahan wang dan pembiayaan kewangan yang semakin meningkat. Kesemua ini merupakan ancaman global yang menghakis kepercayaan dan kestabilan dalam sistem kewangan serta mengganggu pertumbuhan ekonomi. 

Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Rasheed Ghaffour dan Pengerusi AICB Tan Sri Azman Hashim, disampingi Majlis AICB, CEO bank-bank, dan wakil dari SKMM, NFCC serta Polis Diraja Malaysia di IFCTF 2023.
Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Rasheed Ghaffour dan Pengerusi AICB Tan Sri Azman Hashim, disampingi Majlis AICB, CEO bank-bank, dan wakil dari SKMM, NFCC serta Polis Diraja Malaysia di IFCTF 2023.

Membanteras jenayah kewangan memerlukan kerjasama yang kukuh antara orang ramai dengan sektor swasta, selain kerajaan, para pengawal selia, keseluruhan industri, perniagaan, dan individu dari semua lapisan masyarakat bersatu padu dalam memperkukuh daya tahan dan kesediaan sektor kewangan.  Justeru, usaha ini menuntut penglibatan yang lebih aktif dalam inisiatif perkongsian pengetahuan serantau dan global serta pemupukan kerjasama antarabangsa yang lebih teguh untuk mempermantap pertahanan dalam menghadapi risiko jenayah kewangan serta memperkukuh integriti sektor kewangan.

Persidangan Antarabangsa ke-13 mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) dengan tema "Penciptaan Semula Kepercayaan: Membina Budaya Integriti, Ketelusan dan Akauntabiliti yang Mampan", dianjurkan secara bersama oleh Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan kumpulan Rangkaian Pegawai Pematuhan (CONG), serta disokong oleh Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, dan Pihak Berkuasa Kewangan Labuan, dari 2 hingga 4 Oktober 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Persidangan menampilkan perbincangan menarik dan perdebatan hangat yang merangkumi kekompleksan jenayah kewangan pada hari ini, penggunaan teknologi terkini yang mengubah landskap, aspek-aspek penting integriti, ketelusan dan akauntabiliti dari perspektif AML/CFT dalam hubungannya dengan sistem kewangan.

Dalam ucapan alu-aluan beliau, Pengerusi AICB, Tan Sri Azman Hashim menekankan betapa mustahaknya memupuk budaya kepercayaan, dengan integriti, ketelusan dan akauntabiliti sewajarnya diterapkan dalam budaya tempat kerja sektor awam dan juga swasta. Beliau berkata, "Menerusi keahlian profesional dan program AICB, Institut komited untuk mempertingkatkan standard profesional dan etika, serta kecekapan golongan profesional perbankan dan kewangan untuk membantu membanteras jenayah kewangan, seterusnya memperkukuh kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap sektor kewangan dan ekonomi secara lebih meluas."

Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, Gabenor, Bank Negara Malaysia mengiktiraf IFCTF sebagai platform penting bagi pakar-pakar membincangkan isu-isu jenayah kewangan yang penting. Dalam ucaptama majlis tersebut, beliau berkata, "Apa yang kita lakukan adalah penting namun cara kita melakukannya juga sama penting. Menangani jenayah kewangan menuntut integriti, yang merupakan asas untuk mengekalkan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap sistem kewangan. Kita perlu mengembalikan rasa percaya itu, malah mewujudkannya semula. Walau bagaimanapun, usaha ini tidak mampu kita lakukan secara bersendirian. Kita semua perlu memainkan peranan dengan mendukung prinsip integriti, ketelusan, dan akauntabiliti, yang akan memberikan impak yang besar dan berpanjangan dalam usaha mengembalikan rasa percaya itu."

Pengerusi Kumpulan Rangkaian Pegawai Pematuhan, Faradina Ghouse, berkata, "IFCTF merupakan platform tunggal terbesar di Malaysia yang menghubungkan golongan profesional pematuhan, audit, risiko, kewangan dan perundangan untuk menimba ilmu daripada pakar-pakar dalam usaha membanteras jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan.  Pada tahun ini, kita memberikan tumpuan pada penggunaan keupayaan teknologi canggih dan metodologi berstruktur untuk memperkukuh usaha membanteras rasuah. Kita berharap agar para peserta dapat mempertingkatkan amalan mereka untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dengan integriti pada tahap yang tertinggi selain melindungi organisasi mereka daripada ancaman jenayah kewangan."

Di IFCTF 2023, lebih 50 pakar jenayah kewangan serantau dan global menghadiri persidangan untuk berkongsi ilmu pengetahuan, pengalaman dan pandangan mereka tentang isu-isu yang antara lainnya merangkumi usaha mengendalakan pembiayaan percambahan (proliferation financing), risiko dan ancaman berhubung dengan bank digital, penggunaan AI dalam pencegahan dan pengesanan AML, mata wang kripto (cryptocurrency) dan jenayah siber, serta mekanisme kerjasama serantau dan antarabangsa dalam membanteras jenayah transnasional.

Di Persidangan, Persatuan Bank-bank dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) turut melancarkan Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan yang diberikan nafas baharu #JanganKenaScam, dirasmikan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Kempen ini merupakan usaha bersepadu oleh industri perbankan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kelaziman skim penipuan yang semakin berkembang di Malaysia selain menggalakkan orang ramai untuk melindungi diri mereka sendiri dan komuniti mereka daripada menjadi mangsa kepada kegiatan yang memudaratkan ini dengan mengamalkan kewaspadaan dan membiasakan diri mereka dengan taktik penipuan. 

Di samping Persidangan, beberapa perbincangan meja bulat industri dan media peringkat tinggi dan tertutup diadakan untuk terus membincangkan isu-isu yang penting berkaitan dengan jenayah kewangan dan pembiayaan keganasan di Malaysia.  

IFCTF 2023 menarik lebih 1,000 delegasi daripada institusi kewangan tempatan dan antarabangsa.  

Ketahui selanjutnya acara AICB yang akan datang melalui www.aicb.org.my/events/upcoming.

Source: The Asian Institute of Chartered Bankers (AICB)
Keywords: Banking/Financial Service Computer/Electronics Financial Technology