BERLIN, 11 Oktober 2023 /PRNewswire/ -- Kanser kulit bukan melanoma (NMSC) menyebabkan lebih banyak kematian global berbanding melanoma, iaitu sejenis kanser kulit yang lebih serius, berdasarkan satu kajian baharu yang dibentangkan hari ini di Kongres EADV 2023.
Penyelidik juga percaya bahawa NMSC kurang dilaporkan dan kesan sebenar penyakit ini mungkin lebih tinggi daripada apa yang dianggarkan.
Profesor Thierry Passeron, pengarang utama kajian itu, menjelaskan, "Walaupun NMSC kurang berkemungkinan membawa maut berbanding kanser kulit melanoma, kelazimannya adalah jauh lebih tinggi. Pada tahun 2020, NMSC mewakili 78% daripada semua kes kanser kulit, yang mengakibatkan lebih 63,700 kematian. Sebaliknya, melanoma mengakibatkan kira-kira 57,000 kematian pada tahun yang sama. Oleh itu, insiden NMSC yang lebih tinggi telah membawa kepada kesan keseluruhan yang lebih besar."
Profesor Passeron menambah, "Walaupun angka-angka ini adalah membimbangkan, ia walau bagaimanapun mungkin dipandang remeh. NMSC kebiasaannya kurang dilaporkan dalam pendaftaran kanser, menjadikannya mencabar untuk kita memahami beban sebenar."
Para penyelidik juga mengenal pasti kumpulan populasi tertentu yang lebih berisiko menghidap penyakit ini, termasuk orang yang bekerja di luar, penerima pemindahan organ dan mereka yang mempunyai keadaan kulit yang dikenali sebagai xeroderma pigmentosa.
Kajian itu, yang menggunakan data daripada Agensi Antarabangsa bagi Penyelidikan Kanser Pertubuhan Kesihatan Sedunia, mendapati insiden kanser kulit yang tinggi dalam kalangan populasi berkulit cerah dan warga emas dari Amerika Syarikat, Jerman, UK, Perancis, Australia dan Itali. Walau bagaimanapun, negara yang mempunyai nisbah fenotip gelap yang tinggi masih tidak kebal terhadap risiko kematian akibat kanser kulit.
Pada tahun 2020, terdapat hampir 1.2 juta kes NMSC yang dilaporkan di seluruh dunia berbanding dengan 324,635 kes melanoma. Majoriti kejadian kanser kulit adalah bukan melanoma, merujuk kepada sekumpulan kanser yang berkembang secara perlahan-lahan pada lapisan atas kulit, dengan jenis penyakit biasa termasuk karsinoma sel basal dan karsinoma sel skuamus.
Profesor Passeron mengulas, "Kita harus menyampaikan mesej bahawa bukan hanya melanoma sahaja yang boleh membawa maut, tetapi NMSC juga boleh membawa kepada perkawa yang sama. Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa individu yang mempunyai kulit yang kaya dengan melanin juga berisiko dan boleh kehilangan nyawa akibat kanser kulit. Terdapat keperluan untuk melaksanakan strategi yang berkesan bagi mengurangkan kematian yang berkaitan dengan semua jenis kanser kulit."
"Kita perlu melakukan lebih banyak lagi usaha untuk memastikan bahawa kita mampu menghentikan perkembangan penyakit ini seawal mungkin untuk menyelamatkan nyawa."