omniture

CGTN: Ikatan melalui sukan, Sukan Asia Hangzhou mendorong komuniti Asia dengan masa depan dikongsi bersama

CGTN
2023-10-11 22:06 65

BEIJING, 11 Oktober 2023 /PRNewswire/ -- Petinju Syria Ahmad Ghousoon meraih pingat gangsa yang diperjuangkan habis-habisan dalam pertandingan 80kg kategori lelaki pada 4 Oktober, satu-satunya pingat Syria di Sukan Asia Hangzhou ke-19.

Lantaran konflik dan sekatan ekonomi di tanah air mereka, masalah seperti kemudahan latihan yang kurang baik merupakan realiti yang dihadapi oleh para atlet Syria dalam dekad yang lalu. Namun begitu, Ghousoon dan atlet-atlet Syria yang lain tidak pernah berputus asa dengan impian mereka untuk bersaing di Sukan Asia.

"Ini merupakan kali ketiga saya datang ke China. Ketika saya berjalan-jalan, ramai orang menyapa saya. Sebaik sahaja kami memerlukan bantuan, ramai orang yang datang membantu kami. Berkunjung ke sini seperti pulang ke tempat asal," kata beliau kepada China Media Group.

Sukan memperkukuh persahabatan

Sukan Asia ke-19, yang melabuhkan tirai pada 8 Oktober, menyediakan pentas untuk pertandingan sekali gus turut mendorong hubungan persahabatan dan perpaduan dalam kalangan individu dari wilayah-wilayah berbeza.

Selepas memenangi pingat emas dalam Pusingan Akhir -87kg Kategori Wanita Kurash, atlet Cina Liu Yi menangis teresak-esak. Beliau mengalami kecederaan berulang kali dan menanggung tekanan yang tinggi untuk memenangi kejohanan itu.

Apabila melihat Liu menangis, saingan beliau dari Iran, Zahra Bagheri mencium pipinya untuk menenangkannya dan kedua-duanya saling berpelukan dan tersenyum.

"Saya berusaha sehabis daya pada hari ini. Beliau merupakan sahabat baik saya dan saya sangat menghormatinya," kata Bagheri selepas itu. "Saya mengucapkan tahniah kepadanya dan saya berharap kami dapat bertemu lagi dalam perlawanan lain di pertandingan lain."

Di samping itu, atlet lompat galah, Ernest John Obiena menghadapi cabaran logistik dengan delegasi Filipina apabila beliau tiba di Hangzhou sebelum pembukaan rasmi Sukan itu. Hussain Al-Hizam dari Arab Saudi membenarkan Obiena menginap di kem Saudi dan berkongsi kemudahan latihan mereka.

Membina komuniti Asia dengan masa depan dikongsi bersama

Pemangku Ketua Pengarah Majlis Olimpik Asia (OCA) Vinod Kumar Tiwari memberi pujian tinggi kepada Sukan Asia Hangzhou pada hari Ahad.

"Dari segi teknikal, kami telah mengadakan salah satu Sukan Asia terbaik yang pernah ada. Standard Sukan telah menjadi sangat tinggi. Kami berasa amat gembira dengannya."

Ghazal Khalaj, kapten pasukan kabaddi wanita Iran, memuji bahagian pengurusan keseluruhan Sukan Asia Hangzhou, terutamanya kerana menyediakan akses penuh kemudahan, ubat-ubatan dan rawatan kepada mereka.

Sejak pembukaan acara itu, Media Village dan hotel-hotel rasmi menerima hampir 300 pucuk surat ucapan terima kasih daripada tetamu dari Jepun, Republik Korea, Filipina, Indonesia serta negara-negara dan wilayah-wilayah lain sementara 37,600 sukarelawan dipuji kerana budi bahasa dan layanan baik mereka.

"Kita harus memanfaatkan sukan untuk mendorong perpaduan, merebut peluang bersejarah dan bangkit bersama-sama untuk menempuh cabaran. Kita harus memberi penghormatan kepada moto OCA iaitu 'Sentiasa Mara Ke Hadapan' ('Ever Onward') dan membuka prospek lebih luas untuk laluan Asia menuju pembangunan, keterbukaan dan penyepaduan bersama," kata Presiden Cina Xi Jinping di majlis jamuan alu-aluan upacara pembukaan Sukan Asia Hangzhou dalam bulan September.

Dengan sukan sebagai jambatan, Sukan Asia Hangzhou merupakan platform untuk pertukaran budaya dan persefahaman tentang tamadun. Sukan Asia pada tahun ini bukan sahaja menyaksikan kesemua 45 anggota OCA mengambil bahagian, tetapi turut menyaksikan bilangan acara terbesar seumpamanya, termasuk olahraga, renang dan sukan Olimpik utama yang lain, selain wushu, sepak takraw, kriket, Kurash dan acara-acara khas lain yang mewakili budaya sukan wilayah-wilayah berbeza.

"Sukan ialah alat. Kita harus sedar bahawa Asia merupakan salah satu benua terkuat di dunia. Kita perlu bersatu… Dengan memanfaatkan bidang sukan, kita menjadi lebih kuat sebagai negara-negara Asia," kata Raja Sapta Oktohari, presiden Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Indonesia kepada CGTN.

https://news.cgtn.com/news/2023-10-08/Hangzhou-Asian-Games-promotes-an-Asian-community-with-a-shared-future-1nJV4lQZUsw/index.html

Source: CGTN
Keywords: Computer/Electronics Multimedia/Online/Internet Publishing/Information Service Sporting Events Sports