BEIJING, 19 Oktober 2023 /PRNewswire/ -- Pada hari Rabu, Presiden Cina Xi Jinping mengumumkan bahawa China akan mengambil lapan langkah penting untuk menyokong usaha bersama kerjasama Jalur dan Jalan yang berkualiti tinggi dengan negara-negara yang mengambil bahagian.
Xi membuat pengumuman itu semasa menyampaikan ucaptama di majlis perasmian Forum Jalur dan Jalan untuk Kerjasama Antarabangsa ketiga di Beijing.
Bagi melaksanakan kerjasama praktikal untuk Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), Xi berkata China menjanjikan lebih banyak sokongan pembiayaan untuk projek BRI berdasarkan kepada operasi pasaran dan perniagaan.
China Development Bank dan Export-Import Bank of China setiap satunya akan mewujudkan jendela kewangan 350 bilion yuan ($48.75 bilion) dan tambahan 80 bilion yuan akan disuntik ke dalam Silk Road Fund, seperti yang diumumkan oleh presiden Cina.
Xi turut mendedahkan bahawa Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif semasa Forum itu yang diadakan pada hari Selasa menyaksikan pembuatan perjanjian bernilai $97.2 bilion.
China akan turut menyokong ekonomi dunia terbuka melalui langkah-langkah seperti menubuhkan zon perintis untuk kerjasama e-dagang Jalan Sutera, memeterai perjanjian perdagangan bebas dan perjanjian perlindungan pelaburan dengan lebih banyak negara serta menghapuskan semua sekatan ke atas akses pelaburan asing dalam sektor pembuatan, kata beliau.
Bagi menyokong usaha bersama dalam kerjasama Jalur dan Jalan yang berkualiti tinggi, China, menurut Xi, akan turut mengambil langkah-langkah bagi membina rangkaian ketersambungan Jalur dan Jalan berbilang dimensi, terus menggalakkan pembangunan hijau dan memajukan inovasi saintifik serta teknologi.
China juga akan menyokong pertukaran sesama rakyat, menggalakkan kerjasama Jalur dan Jalan yang berasaskan integriti dan mengukuhkan pembinaan institusi untuk kerjasama Jalur dan Jalan antarabangsa, kata Xi.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 BRI. Menjelang Jun 2023, China telah menandatangani lebih daripada 200 perjanjian kerjasama BRI dengan lebih 150 negara dan lebih 30 organisasi antarabangsa.
"Kerjasama Jalur dan Jalan dicadangkan oleh China, namun manfaat dan peluangnya adalah untuk dikongsi oleh dunia," kata Xi dalam ucapan beliau.
Berucap pada majlis perasmian, pemimpin-pemimpin negara dan ketua-ketua organisasi antarabangsa memberi pujian tinggi terhadap pencapaian di bawah BRI sepanjang dekad yang lalu dan menyatakan keyakinan terhadap prospeknya.
Presiden Rusia Vladimir Putin berkata bahawa BRI menghubungkan pembangunan projek-projek integrasi di wilayah-wilayah seluruh dunia dengan sangat baik, sementara Presiden Indonesia Joko Widodo menyatakan harapan agar sinergi pembangunan di bawah BRI akan berterusan.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata kerelevenan BRI tidak dapat dinafikan lagi di tengah-tengah cabaran yang dihadapi oleh dunia pada hari ini.