omniture

J&T Express membuat penampilan sulung HKEX, pencapaian dalam perjalanannya ke arah menjadi peneraju logistik global

JT Express
2023-10-31 09:22 49

HONG KONG, 31 Oktober 2023 /PRNewswire/ -- J&T Global Express Limited ('J&T Express' atau 'J&T' atau 'syarikat'), penyedia perkhidmatan logistik global, disenaraikan secara rasmi pada Papan Utama Bursa Saham Hong Kong di bawah kod saham "1519". Harga Tawaran Awam ialah HK$ 12.00 bagi setiap Saham Tawaran, dengan hasil bersih daripada Tawaran Global berjumlah HK$ 3.528 bilion (Opsyen Perumpukan-Lebihan belum dilaksanakan). Penyenaraian di Hong Kong ini menandakan langkah penting ke hadapan dalam perjalanan J&T Express ke arah menjadi peneraju global dalam logistik.

J&T Express’s listing ceremony at the HKEX
J&T Express’s listing ceremony at the HKEX

J&T Express merancang untuk menggunakan dana yang dikumpul daripada IPO untuk memperluaskan rangkaian logistiknya, meningkatkan infrastruktur sedia ada dan memperkukuh keupayaan pengisihan dan gudang syarikat ini di Asia Tenggara serta pasaran-pasaran lain. J&T Express juga akan menggunakan dana untuk berkembang ke dalam pasaran baharu dan mempelbagaikan tawaran perkhidmatannya dan untuk penyelidikan dan pembangunan serta inovasi teknologi, tatkala ia berusaha untuk menyampaikan perkhidmatan logistik yang lebih pantas dan lebih mudah kepada pengguna di peringkat global.

Ditubuhkan di Indonesia pada tahun 2015, J&T Express berkembang pesat ke dalam enam negara Asia Tenggara yang lain sebelum menembusi pasaran Cina pada tahun 2020. Menurut Frost & Sullivan, J&T Express merupakan pengendali perkhidmatan penghantaran ekspres nombor satu di Asia Tenggara mengikut volum bungkusan pada tahun 2022 dan merupakan antara pengendali terkemuka di China mengikut bahagian pasaran. Memanfaatkan pertumbuhan kukuh perniagaannya di China dan Asia Tenggara, syarikat ini memperluaskan lagi jangkauannya ke lima negara di Amerika Latin, Timur Tengah dan Afrika Utara pada tahun 2022. Ketika ini, operasi penghantaran ekspres J&T mencakupi 13 negara.

Di majlis penyenaraian, kakitangan barisan hadapan daripada 13 pasaran J&T Express – termasuk kurier, pengendali penghantaran dan wakil pusat panggilan – bersama-sama menyaksikan detik memukul gendang dan penyenaraian syarikat pada Bursa Saham Hong Kong.

En. Charles Hou, Naib Presiden J&T Express, berkata: "Sejak penubuhan kami dalam tahun 2015, J&T berkembang pesat dan meningkatkan perkhidmatan kami secara berterusan. Penyenaraian kami pada Bursa Saham Hong Kong hari ini menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan syarikat. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga J&T Express atas kerja keras dan dedikasi mereka, rakan kongsi kami atas sokongan sekian lama mereka dan pelanggan kami atas kepercayaan mereka terhadap kami. Kami menghargai asal-usul kami dan tetap komited untuk menghubungkan dunia secara lancar melalui pendekatan berpusatkan pelanggan kami dan dedikasi terhadap kecekapan."

En. Dylan Tey, Ketua Pegawai Kewangan J&T Express, berkata: "Hong Kong ialah sebuah pusat kewangan antarabangsa yang terkemuka dan tuan rumah kepada pasaran modal Asia yang paling dinamik. Kami amat berbangga dengan penyenaraian pada Bursa Saham Hong Kong, yang menghimpunkan penerbit dan pelabur dari seluruh dunia. Kami akan terus bekerjasama erat dengan rakan kongsi kami untuk menerajui transformasi industri logistik global. Ini bukan sahaja akan membolehkan kami menyediakan perkhidmatan penghantaran ekspres yang dipertingkat kepada kumpulan pelanggan yang lebih luas merentas lebih banyak pasaran, tetapi turut mencipta nilai yang lebih besar untuk pelabur kami."

Latar Belakang J&T Express

J&T Express ialah penyedia perkhidmatan logistik global dengan perniagaan penghantaran ekspres yang terkemuka di Asia Tenggara dan China, pasaran yang terbesar dan berkembang paling pantas di dunia. Ditubuhkan pada tahun 2015, jaringan J&T Express mencakupi tiga belas negara termasuk Indonesia, Vietnam, Malaysia, Filipina, Thailand, Kemboja, Singapura, China, Arab Saudi, UAE, Mexico, Brazil dan Mesir. Dengan berpegang teguh pada misi "berorientasikan pelanggan dan berasaskan kecekapan", J&T Express komited untuk menyediakan kepada pelanggan dengan penyelesaian logistik bersepadu melalui infrastruktur pintar dan jaringan logistik digital, sebagai sebahagian daripada strategi globalnya untuk menghubungkan dunia dengan kecekapan lebih tinggi dan membawa faedah-faedah logistik buat semua.

Source: JT Express
Related Stocks:
HongKong:1519
Keywords: Banking/Financial Service Transportation Offerings Supply Chain/Logistics