omniture

PROGRAM PEMBIAKAN PEMULIHARAAN HARIMAU BINTANG ARAB SURUHANJAYA DIRAJA ALULA MENYAMBUT KELAHIRAN TUJUH EKOR ANAK HARIMAU BINTANG BAHARU

The Royal Commission for AlUla (RCU)
2023-11-08 22:41 47
  • Kelahiran 7 ekor anak harimau bintang ini merupakan lebih dua kali ganda kelahiran pada tahun 2022 yang meningkatkan jumlah Harimau Bintang Arab RCU hampir 100% sejak tahun 2020, menjadikannya berjumlah 27 ekor 
  • Kesemua anak harimau bintang ini dilahirkan dalam tempoh lima bulan yang lepas, di mana kakitangan veterinar dan penjaga harimau bintang yang amat terlatih bersedia untuk memantau perkembangan dan menjaga mereka sepanjang 24/7 

ALULA, Arab Saudi, 8 November 2023 /PRNewswire/ -- Suruhanjaya Diraja AlUla (RCU) telah mengawasi kejayaan kelahiran tujuh ekor anak Harimau Bintang Arab setakat ini pada tahun 2023 yang menjadi satu pencapaian penting bagi Program Pembiakan Pemuliharaan yang berusaha menyelamatkan spesies ini daripada status Sangat Terancam.

 

Kesemua anak Harimau Bintang ini dilahirkan di Pusat Pembiakan Pemuliharaan RCU di Taif, barat laut Arab Saudi. RCU menyambut kelahiran anak-anak baharu sejak lima bulan yang lepas yang menjadikan jumlah keseluruhan Harimau Bintang Arab di pusat tersebut sebanyak 27 ekor. Jumlah ini hampir dua kali ganda daripada jumlah asal sebanyak 14 ekor Harimau Bintang Arab yang ada apabila RCU memulakan projeknya untuk memulihara spesies ini pada tahun 2020.

Pelepasan semula jangka panjang Harimau Bintang Arab ke alam liar akan menjadi peringkat akhir bagi penjanaan semula persekitaran semula jadi AlUla yang menyeluruh, yang selaras dengan Wawasan 2030 Arab Saudi. Pada Senarai Merah Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa, Harimau Bintang Arab secara tegasnya diklasifikasikan sebagai 'sangat terancam'. Harimau bintang liar yang hidup di Semenanjung Arab dianggarkan berjumlah kurang daripada 200 ekor. Sebagai mengiktiraf keperluan untuk memulihara spesies yang penting ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengisytiharkan 10 Februari sebagai Hari Harimau Bintang Arab Antarabangsa.

Kelahiran tujuh ekor harimau bintang ini menjadi suatu rangsangan yang besar kepada Program Pembiakan Pemuliharaan yang menyaksikan tiga ekor anak harimau bintang dilahirkan pada tahun lepas. Lima ekor daripada anak-anak harimau bintang baharu ini dibesarkan oleh ibu mereka di pusat tersebut tanpa sebarang penjagaan tambahan daripada kakitangan, yang akan menjaga jarak mereka bagi memastikan ikatan ibu yang kuat.

Baki dua ekor anak harimau bintang ini dijaga oleh kakitangan RCU, setelah mereka ditinggalkan oleh ibu mereka selepas bersalin. Walaupun ia merupakan suatu kejadian semula jadi dan biasa sama ada dalam kurungan atau kehidupan liar, namun kakitangan akan bertindak dengan pantas mengeluarkan bayi baharu lahir yang terbiar daripada kandang mereka selepas memantau dengan teliti tingkah laku ibu.

Memindahkan anak-anak harimau bintang ke pusat jagaan yang dicipta khas bukan sahaja menghalang sebarang kecederaan atau kemalangan yang melibatkan ibu mereka, ia juga meningkatkan peluang mereka untuk terus hidup pada peringkat awal kehidupan mereka yang rentan. Sejajar dengan garis panduan pemuliharaan yang ketat, anak-anak harimau bintang ini akan dijaga oleh kakitangan khusus yang tinggal bersama mereka sepanjang masa, tidur berhampiran dan memberi makan setiap dua jam atau lebih.

Abdulaziz Alenzy, Pengurus Pusat Pembiakan RCU berkata: "Kami semua gembira kerana menyaksikan tujuh ekor anak Harimau Bintang Arab baharu dilahirkan dengan selamat dan hidup dengan baik di Program Pembiakan Pemuliharaan RCU. Ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan kami untuk memulihara spesies ini dengan meningkatkan populasinya setiap tahun bagi mencapai matlamat akhir kami untuk melepaskan semula harimau bintang ini ke hutan belantara AlUla dan Arab yang lebih luas."

Pasukan di Pusat Pembiakan Pemuliharaan RCU memantau harimau bintang ini sepanjang masa melalui kamera CCTV. Apabila kakitangan mengenal pasti tanda-tanda yang menunjukkan bahawa Harimau Bintang Arab bunting, mereka berusaha keras untuk tidak mengganggu atau mendekati harimau betina tersebut selama kira-kira 12 minggu sepanjang tempoh kritikal ini, tetapi memantaunya dengan bergantung kepada kamera sahaja.

Alenzy menambah: "Jelas sekali, adalah lebih baik jika si ibu dibawa kepada anaknya dan membesarkan anaknya secara semula jadi. Tetapi kadang-kadang, selalunya ibu baharu, mereka berkemungkinan akan meninggalkan anaknya kerana tiada pengalaman. Ia tidak tahu bagaimana hendak memberi makan kepada anaknya. Di habitat liar, ia mungkin meninggalkan anaknya sehingga mati. Jelas sekali, memandangkan Harimau Bintang Arab adalah haiwan yang begitu penting di kemudahan kami, maka kami mengambil keputusan untuk menjaganya.

"Anak harimau bintang yang dipelihara oleh manusia adalah sama pentingnya dengan yang dibesarkan sendiri oleh ibu mereka. Tetapi selepas dibesarkan oleh manusia, mereka perlu diperkenalkan semula kepada harimau bintang yang lain, yang memerlukan latihan khas dan banyak kesabaran. Selepas lima hingga enam minggu, kami akan meletakkan mereka semula ke dalam kandang selama beberapa jam setiap hari untuk menyatukan mereka semula. Kami juga menukar diet mereka daripada susu kepada makanan pepejal - ia boleh menjadi suatu proses yang mencabar, tetapi ia menunjukkan betapa pentingnya untuk menyelamatkan setiap anak harimau bintang."

Video - https://mma.prnasia.com/media2/2270889/Arabian_Leopard_Cubs_RCU.mp4
Photo - https://mma.prnasia.com/media2/2270891/Arabian_Leopard_Cub_RCU.jpg?p=medium600
Photo - https://mma.prnasia.com/media2/2270894/Arabian_Leopard_Cubs_RCU.jpg?p=medium600
Photo - https://mma.prnasia.com/media2/2270896/Arabian_Leopard_Cubs_RCU.jpg?p=medium600
Photo - https://mma.prnasia.com/media2/2270897/Arabian_Leopard_Cubs_RCU.jpg?p=medium600

 

Arabian Leopard Cubs
Arabian Leopard Cubs

 

Arabian Leopard Cubs
Arabian Leopard Cubs

 

Arabian Leopard Cubs
Arabian Leopard Cubs

 

Arabian Leopard Cubs
Arabian Leopard Cubs
Source: The Royal Commission for AlUla (RCU)
Keywords: Environmental Products & Services Animals/Pets Conservation/Recycling New products/services