Penyelidikan global daripada Persekutuan Diabetes Antarabangsa mendedahkan bahawa 72% orang yang menghidap diabetes hanya menerima diagnosis mereka kerana mereka mempunyai sekurang-kurangnya satu komplikasi yang berkaitan - seperti kehilangan penglihatan, kerosakan saraf atau penyakit jantung.
BRUSSELS, 14 November 2023 /PRNewswire/ -- Kira-kira tujuh daripada sepuluh orang yang menghidap diabetes (72%) hanya mengetahui mereka menghidap penyakit tersebut selepas mengalami komplikasi yang berkaitan dengan keadaan tersebut. Selain itu, hampir kesemua (94%) daripada mereka yang dikaji telah mengalami satu atau lebih komplikasi diabetes sepanjang hayat mereka ketika menghidap diabetes. Penemuan ini datang daripada penyelidikan global yang baru-baru ini dijalankan oleh Persekutuan Diabetes Antarabangsa (International Diabetes Federation, IDF) menjelang Hari Diabetes Sedunia (World Diabetes Day) pada hari Selasa, 14 November. Tinjauan ini dijalankan dalam kalangan penghidap diabetes di seluruh Afrika, Asia, Eropah dan Amerika Selatan untuk memahami tahap kesedaran dan kesan komplikasi berkaitan diabetes.
Komplikasi berkaitan Diabetes boleh menjadi serius dan dalam beberapa kes, boleh mengancam nyawa. Ia termasuk kerosakan pada jantung, mata, buah pinggang dan kaki. Risiko komplikasi memberi tekanan yang ketara kepada penghidap penyakit diabetes. Lebih separuh (55%) responden mengatakan mereka berasa bimbang hampir setiap masa tentang komplikasi yang berkaitan dengan diabetes.
Risiko komplikasi boleh dikurangkan dengan ketara melalui pengesanan awal, rawatan yang tepat pada masanya dan penjagaan diri yang termaklum. Apabila ditanya tentang mencegah komplikasi mereka, empat daripada lima responden (84%) percaya bahawa mereka mampu melakukan lebih banyak perkara untuk menghalangnya; hampir dua pertiga (62%) berpendapat bahawa penyedia penjagaan kesihatan mereka mampu melakukan lebih banyak lagi.
Mengulas mengenai penemuan penyelidikan, Presiden IDF Profesor Akhtar Hussain berkata: "Lebih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran tentang diabetes serta menyediakan pendidikan untuk menyokong pengesanan awal dan pengurusan komplikasi. Apa yang telah kami pelajari menawarkan peringatan yang jelas bahawa diabetes sering tidak dapat dikesan sehinggalah satu atau lebih daripada komplikasinya telah berlaku. Kami tahu bahawa, dengan maklumat dan penjagaan yang betul, orang yang menghidap diabetes boleh mengurangkan risiko komplikasi. Tambahan pula, terdapat langkah-langkah yang boleh diambil oleh orang yang berisiko menghidap diabetes jenis 2 untuk melambatkan atau mencegah permulaan penyakit tersebut sama sekali. Ia penting untuk mengetahui tahap risiko anda, mengetahui perkara yang perlu anda cari dan mengetahui cara untuk bertindak balas."
Terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan peluang untuk menghidap diabetes jenis 2. Ini termasuk sejarah keluarga, berat badan, umur, etnik, ketidakaktifan, dan diabetes semasa kehamilan, di mana beberapa daripadanya boleh dikurangkan risikonya melalui tabiat pemakanan yang sihat dan aktiviti fizikal. Oleh itu, meningkatkan pemahaman dan kesedaran tentang faktor risiko adalah penting untuk menyokong pencegahan, diagnosis awal dan rawatan yang tepat pada masanya.
Diabetes jenis 2, yang merangkumi lebih 90% daripada semua diabetes yang dihidapi, selalunya berkembang secara senyap, dengan gejala yang tidak disedari. Akibatnya, ramai daripada mereka dengan keadaan ini, yang melebihi 50% di sesetengah negara, tidak didiagnosis dan, seperti yang dicadangkan oleh penyelidikan ini, sudah pun wujud komplikasi ke atas mereka. Komplikasi yang paling biasa dialami dalam kalangan responden tinjauan ialah masalah mata (46%), kaki (38%), dan kesihatan mulut (37%).
Profesor Hussain menambah: "Bagi mereka yang tidak mempunyai akses kepada sokongan yang betul, diabetes dan komplikasinya boleh memberi kesan serius kepada kehidupan seharian malah boleh mengancam nyawa. Itulah sebabnya IDF komited untuk meningkatkan kesedaran tentang cara terbaik untuk menguruskan keadaan, membantu penghidap diabetes memahami risiko mereka dan meningkatkan akses kepada penjagaan terbaik yang tersedia. Ahli profesional penjagaan kesihatan harus dilengkapi dengan pengetahuan dan sumber untuk mendiagnosis diabetes lebih awal dan memberikan sokongan yang sewajarnya."
Pada Hari Diabetes Sedunia ini, IDF menyeru setiap individu untuk mengambil tahu tentang risiko diabetes jenis 2 dan untuk setiap kerajaan di seluruh dunia mendedikasikan sumber yang mencukupi untuk meningkatkan akses kepada diagnosis dan penjagaan diabetes. Ketahui lebih lanjut di https://worlddiabetesday.org/.
Metodologi dan sampel
Persekutuan Diabetes Antarabangsa menugaskan Arlington Research, sebuah agensi penyelidikan pasaran bebas, untuk menjalankan penyelidikan dalam talian di peringkat global melibatkan 700 orang dewasa yang menghidap penyakit diabetes di seluruh dunia, termasuk di Sepanyol, Brazil, Mexico, Pakistan, India, China dan Nigeria.
Tentang Persekutuan Diabetes Antarabangsa
Persekutuan Diabetes Antarabangsa (International Diabetes Federation, IDF) ialah organisasi penaung yang melibatkan lebih 240 persatuan diabetes kebangsaan di 160 buah negara dan wilayah. Misinya adalah untuk meningkatkan kehidupan penghidap diabetes dan mencegah diabetes bagi mereka yang berisiko. Persekutuan ini telah menerajui komuniti diabetes global sejak tahun 1950. www.idf.org
Tentang Hari Diabetes Sedunia
Hari Diabetes Sedunia (WDD) telah diwujudkan pada tahun 1991 oleh IDF dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization) sebagai tindak balas kepada kebimbangan yang semakin meningkat terhadap ancaman kesihatan yang semakin meningkat yang ditimbulkan disebabkan oleh diabetes. Hari Diabetes Sedunia menjadi Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang rasmi pada tahun 2006 dengan kelulusan United Nation Resolution 61/225. Ia dipilih setiap tahun pada 14 November, iaitu hari lahir Sir Frederick Banting, yang, bersama-sama dengan Charles Best, dikreditkan dengan penemuan insulin terapeutik pada tahun 1922. Kempen Hari Diabetes Sedunia 2023 ini disokong oleh AstraZeneca, Dexcom, Lilly Diabetes, Merck, Novo Nordisk dan Sanofi. www.worlddiabetesday.org