omniture

BlackBerry Melantik John Giamatteo sebagai CEO

BlackBerry Limited
2023-12-11 22:45 35

Syarikat ini akan Meneruskan Pemisahan Sepenuhnya Unit Perniagaan Internet Benda dan Keselamatan Siber 

  • Veteran industri, Giamatteo akan memimpin BlackBerry sebagai Ketua Pegawai Eksekutif 
  • Unit perniagaan Internet Benda dan Keselamatan Siber menjadi bahagian BlackBerry yang bebas sepenuhnya 
  • Proses sedang dijalankan untuk memisahkan fungsi berpusat dan struktur kos pensaizan wajar 
  • Syarikat ini tidak akan meneruskan IPO anak syarikat perniagaan Internet Benda 
  • Struktur organisasi baharu akan menawarkan pilihan yang lebih besar bagi meningkatkan nilai pemegang saham 

WATERLOO, Ontario, 11 Disember 2023 /PRNewswire/ -- BlackBerry Limited (NYSE: BB; TSX: BB) hari ini mengumumkan pelantikan John J. Giamatteo sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikatnya yang baharu serta sebagai Ahli Lembaga Pengarah yang berkuat kuasa dengan serta-merta. Richard (Dick) Lynch yang telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sementara sejak 4 November 2023 akan meneruskan jawatan beliau sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah. Syarikat ini juga mengumumkan bahawa ia akan memisahkan perniagaan Internet Benda (IoT) dan Keselamatan Siber serta perniagaan ini akan beroperasi sebagai bahagian yang bebas sepenuhnya. BlackBerry tidak akan meneruskan IPO anak syarikat perniagaan IoT.

Pelantikan John J. Giamatteo sebagai CEO BlackBerry

Giamatteo telah berkhidmat sebagai Presiden unit perniagaan Keselamatan Siber BlackBerry sejak bulan Oktober 2021.

Giamatteo mempunyai lebih 30 tahun pengalaman berkhidmat dengan syarikat teknologi global.  Sebagai Presiden unit perniagaan Keselamatan Siber BlackBerry, beliau telah mendorong peningkatan portfolio produk, strategi pasaran bersasar dan kecekapan organisasi dengan ketara. Sebelum menyertai BlackBerry, beliau telah memegang jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Hasil di McAfee.  Sebelum itu, John telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi di AVG Technologies iaitu sebuah syarikat penyedia keselamatan Internet dan mudah alih yang terkemuka. Beliau juga telah memegang jawatan kepimpinan dengan Solera, RealNetworks dan Nortel Networks.

"Kami berbesar hati untuk melantik John sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang bakal menjadi satu tempoh transformasi dalam sejarah BlackBerry, semasa kami berusaha untuk memisahkan sepenuhnya dua unit perniagaan teras kami bagi meningkatkan nilai pemegang saham.  Pengalaman industri beliau yang mendalam dan rekod prestasi yang cemerlang dalam memberi inspirasi kepada pasukan serta menyampaikan kecemerlangan operasi bermakna beliau mempunyai kedudukan yang kukuh untuk mendorong transformasi BlackBerry yang penting ini," kata Mike Daniels, Pengerusi Jawatankuasa Pampasan, Pencalonan dan Tadbir Urus Ahli Lembaga Pengarah BlackBerry.

"Saya berbesar hati dan teruja untuk memimpin fasa seterusnya dalam perkembangan BlackBerry, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat ini. Perniagaan Internet Benda dan Keselamatan Siber BlackBerry memiliki teknologi yang terkemuka di pasaran, pasukan yang luar biasa serta peluang pasaran yang besar," kata John J. Giamatteo. "Ahli Lembaga Pengarah dan saya amat bersetuju dengan langkah seterusnya yang diperlukan bagi menawarkan nilai dalam BlackBerry, malah usaha bagi mencapai matlamat ini akan diteruskan sepantasnya. Saya berharap dapat bekerjasama dengan seluruh pasukan bagi mempertahankan warisan inovasi kami dan terus menyediakan perkhidmatan yang cemerlang kepada para pelanggan serta mencapai matlamat kami."

Penilaian Semula Hala Tuju Strategik 

Susulan penilaian semula hasil Project Imperium yang diumumkan sebelum ini, Ahli Lembaga Pengarah BlackBerry telah memutuskan untuk meneruskan pemisahan perniagaan Internet Benda dan Keselamatan Siber serta menjadikannya sebagai bahagian yang bebas. Syarikat ini tidak akan meneruskan tawaran awam awal anak syarikat bagi unit perniagaan Internet Benda.  Proses tersebut akan merangkumi pemisahan dan penyelarasan fungsi korporat berpusat BlackBerry ke dalam pasukan khusus unit perniagaan tersebut, yang bertujuan supaya setiap bahagian beroperasi secara bebas dan pada asas yang menguntungkan serta aliran tunai yang positif pada masa hadapan.

"Melalui maklumat daripada penasihatnya, Ahli Lembaga Pengarah percaya bahawa pemisahan sepenuhnya perniagaan Keselamatan Siber dan Internet Benda BlackBerry akan memberikan beberapa alternatif strategik yang menawarkan nilai pemegang saham," kata Dick Lynch, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah BlackBerry. "Pengurusan memberi tumpuan untuk bergerak dengan pantas bagi menyelesaikan penyusunan semula ini yang akan meningkatkan lagi tumpuan kedua-dua perniagaan pada pasaran masing-masing serta keupayaan mereka dalam membuat keputusan yang fleksibel dengan pantas."

BlackBerry sedang berada pada peringkat akhir pemilihan sebuah firma perunding untuk membawa kepakaran dan sumber tambahan bagi melakukan penilaian teliti yang bebas untuk membantu proses pemisahan dan pensaizan wajar ini.

Tentang BlackBerry

BlackBerry (NYSE: BB; TSX: BB) menyediakan perisian dan perkhidmatan keselamatan pintar kepada perusahaan dan kerajaan di seluruh dunia. Syarikat ini memperoleh lebih 500 juta titik akhir termasuk lebih 235 juta jentera. Berpangkalan di Waterloo, Ontario, syarikat ini memanfaatkan AI dan pembelajaran mesin untuk menyampaikan penyelesaian inovatif dalam bidang keselamatan siber, sekuriti dan penyelesaian privasi data, serta merupakan peneraju dalam bidang keselamatan titik akhir, pengurusan titik akhir, penyulitan dan sistem terbenam.  Visi BlackBerry adalah jelas - untuk menjamin masa depan yang terhubung yang boleh anda percayai.

Untuk maklumat lanjut, sila layari BlackBerry.com dan ikuti @BlackBerry. 

Hubungan Pelabur:

Perhubungan Pelabur BlackBerry
+1 (519) 888-7465
investorrelations@blackberry.com

Hubungan Media:
Perhubungan Media BlackBerry
+1 (519) 597-7273
mediarelations@blackberry.com

Siaran berita ini mengandungi pernyataan berpandangan ke hadapan mengikut takrifan undang-undang sekuriti tertentu, termasuk mengikut Akta Pembaharuan Litigasi Sekuriti Swasta AS 1995 dan undang-undang sekuriti Kanada yang terpakai, serta pernyataan berkenaan rancangan, strategi dan objektif BlackBerry termasuk jangkaannya berkenaan peningkatan dan penambahbaikan tawaran produk dan perkhidmatannya, serta pernyataan lain yang bukan fakta sejarah.

Perkataan-perkataan seperti "harap", "jangka", "anggar", "mungkin", "akan", "sepatutnya", "boleh", "hasrat", "percaya", "sasar", "rancang" dan ungkapan yang serupa adalah bertujuan untuk mengenal pasti pernyataan berpandangan ke hadapan ini. Pernyataan berpandangan ke hadapan adalah berdasarkan anggaran dan andaian yang dibuat oleh BlackBerry berdasarkan pengalaman dan persepsinya terhadap sejarah trend, keadaan semasa dan perkembangan masa depan yang dijangkakan, serta faktor-faktor lain yang BlackBerry percaya sesuai dalam keadaan tersebut, termasuk tetapi tidak terhad kepada jangkaan BlackBerry berkenaan perniagaan, strategi, peluang dan prospeknya, pelancaran produk dan perkhidmatan baharu, keadaan pasaran ekonomi dan kewangan secara umum, persaingan, dan jangkaan BlackBerry berkenaan prestasi kewangannya.  Banyak faktor boleh menyebabkan keputusan, prestasi atau pencapaian sebenar BlackBerry berbeza secara material daripada yang dinyatakan atau tersirat dalam pernyataan berpandangan ke hadapan ini, termasuk tetapi tidak terhad kepada: risiko berkaitan dengan pemisahan yang dicadangkan mengganggu operasi BlackBerry dan menjadikannya lebih sukar untuk menjalankan perniagaan seperti biasa, termasuk mengekalkan hubungan dengan pelanggan, rakan kongsi saluran atau pihak ketiga yang lain; risiko dan ketidakpastian yang berkaitan dengan keupayaan BlackBerry untuk menyelesaikan pemisahan sepenuhnya unit perniagaan Internet Benda dan Keselamatan Siber pada garis masa yang dijangkakan, atau tidak menyelesaikannya sama sekali; risiko yang berkaitan dengan keupayaan BlackBerry untuk mengendalikan perniagaan Internet Benda dan Keselamatan Siber pada asas yang menguntungkan atau aliran tunai yang positif atau meningkatkan nilai pemegang saham sebagai hasilnya; dan risiko yang dibincangkan dalam Laporan Tahunan BlackBerry pada Borang 10-K dan bahagian "Nota Amaran Berkenaan Pernyataan Berpandangan Ke Hadapan" Perbincangan Pengurusan & Analisis (MD&A) BlackBerry (salinan pemfailan tersebut boleh diperolehi di www.sedar.com atau di www.sec.gov). Semua faktor-faktor ini perlu dipertimbangkan dengan teliti, dan pembaca tidak sepatutnya meletakkan pergantungan yang tidak wajar pada pernyataan berpandangan ke hadapan daripada BlackBerry. Sebarang pernyataan yang merupakan pernyataan berpandangan ke hadapan bertujuan untuk membolehkan para pemegang saham BlackBerry melihat jangkaan prestasi dan prospek BlackBerry daripada perspektif pengurusan pada masa pernyataan tersebut dibuat, dan ia tertakluk kepada risiko yang wujud dalam semua pernyataan berpandangan ke hadapan, seperti yang diterangkan di atas, serta kesukaran dalam meramalkan keputusan kewangan dan prestasi BlackBerry untuk tempoh masa hadapan, terutamanya dalam tempoh yang lebih lama, memandangkan perubahan teknologi dan strategi perniagaan BlackBerry, piawaian industri yang semakin berkembang, persaingan sengit dan kitaran hayat produk yang singkat yang mencirikan industri di mana BlackBerry beroperasi. Sebarang pernyataan berpandangan ke hadapan hanya dibuat berdasarkan pada hari ini dan BlackBerry tidak berhasrat dan tidak bertanggungjawab untuk mengemas kini atau meminda mana-mana pernyataan ini, sama ada hasil daripada maklumat baharu, peristiwa masa hadapan atau sebaliknya, kecuali sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang yang berkenaan.

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/726868/BlackBerry_Logo.jpg?p=medium600

Source: BlackBerry Limited
Related Stocks:
NYSE:BB Toronto:BB
Keywords: Computer Software Computer/Electronics High Tech Security Mobile Entertainment Personnel announcements Cloud Computing / Internet of Things